Saturday 29 March 2014

Kajian Sintaksis (Jenis Ayat) dalam Novel S.Othman Kelantan

PENGENALAN
Dalam pembentukan sebuah ayat diperlukan kata. Seterusnya kata itu dirangkai dengan kata yang lain menjadi frasa, lalu frasa digabungkan dengan frasa yang lain menjadi klausa atau ayat. Jadi, ayat dibentuk bermula daripada penyusunan perkataan-perkataan untuk membentuk frasa, klausa dan seterusnya ayat. Bahagian atau cabang dalam linguistik yang mengkaji pembentukan ayat inilah yang dikenal sebagai sintaksis.
Sintaksis merupakan subsistem tatabahasa. Bahasa adalah satu system. Hal ini demikian kerana dalam bahasa terdapat sistem bunyi, sistem bagaimana kata-kata disusun menjadi ayat dan sistem makna. Jadi, dalam bahasa terdapat tiga sistem iaitu sistem fonologi, tatabahasa dan juga semantik. Sintaksis sebagai subsistem bahasa bukan saja membicarakan selok-belok ayat tetapi juga membicarakan selok-belok frasa dan klausa. Oleh itu, pembicaraan sintaksis itu daripada frasa hingga ayat.
Ayat terdiri daripada unsur klausa dan intonasi. Intonasi dapat menentukan jenis ayat yang digunakan. Apabila sesuatu ayat itu dipandang dari jenis tindak balas yang diharapkan daripada ujaran tertentu, maka ayat dapat dibahagikan kepada empat jenis iaitu ayat penyata, ayat tanya, ayat perintah dan ayat seruan. Keempat-empat jenis ayat yang didasarkan pada intonasi dan makna yang dinyatakan oleh ayat tersebut. Ayat  menurut Nik Safiah Karim (1993:414), ialah unit pengucapan yang paling tinggi letaknya dalam susunan tatabahasa dan mengandungi makna yang lengkap.
Menurut istilah, sintaksis ialah bidang ilmu bahasa yang mengkaji bentuk, struktur dan binaan atau konstruksi ayat (Nik Safiah Karim, 1993:317). Bagi Abdullah Hassan (1980:164), sintaksis merupakan istilah untuk mengkaji pembentukan ayat iaitu bagaimana morfem dan kata disusun menjadi unit sintaksis yang kecil iaitu frasa, atau menjadi klausa dan ayat merupakan unit terbesar.
Sintaksis merupakan satu bidang bahasa yang tugasnya mengkaji rumus-rumus yang menerbitkan ayat-ayat gramatis sesuatu bahasa serta hukum-hukum tentang susunan kata yang menyebabkan terjadinya ayat sebagai sesuatu bentuk binaan bahasa yang sempurna. Terdapat pelbagai definisi yang telah diberikan untuk bidang ini.
Menurut Samsu Yaacob pula, dalam Senarai Semak Sistem Ejaan dan  Tatabahasa Bahasa Melayu ( Edisi Kemas Kini ), sintaksis adalah suatu bidang linguistik  yang mengkaji proses-proses pembinaan ayat. Unsur-unsur yang terdapat dalam binaan sintaksis ialah frasa dan klausa. Gabungan frasa dan klausa akan menghasilkan ayat yang dapat berfungsi dan bermakna. Sintaksis adalah suatu kajian tentang hukum atau rumus tatabahasa yang mengkaji kaedah penggabungan dan penyusunan perkataan untuk membentuk ayat dalam sesuatu bahasa (Nik Safiah Karim dalam Tatabahasa Dewan Edisi 3).
              Menurut Syarifah Nor Syed merujuk kepada Bahasa Melayu Teks Rujukan Lengkap STPM, sintaksis  dijelaskan sebagai satu bidang ilmu bahasa yang mengkaji proses pembinaan ayat. Kajian yang dimaksudkan ialah merangkumi kajian tentang hukum  tatabahasa berkaitan kaedah pengabungan dan penyusunan perkataan untuk menghasilkan sesuatu ayat yang gramatis dan bermakna.
Oleh itu, sintaksis boleh dijelaskan sebagai suatu bidang ilmu linguistik yang mengkaji proses pembinaan ayat. Binaan sintaksis ini seharusnya terdiri daripada beberapa unsur seperti frasa dan klausa atau subjek dan predikat. Proses pembinaan ayat ini didasari hukum dan peraturan yang tertentu agar ayat-ayat yang dihasilkan mengandungi makna yang lengkap dan difahami. Pembinaan ayat yang gramatis sewajarnya saling dilengkapi   frasa nama, frasa kerja, frasa adjektif atau  frasa sendi nama yang digabungkan dengan klausa bebas atau klausa tidak bebas.
Ayat ialah konstuksi sintaksis yang bebas dan tidak merupakan konsituen daripada konstruksi sintaksis yang lebih besar. Jadi, ayat itu terdiri daripada dua unsur iaitu klausa dan intonasi. Intonasinya dapat berupa intonasi berita, intonasi tanya, intonasi perintah dan intonasi seruan. Klausanya boleh terdiri daripada satu klausa atau lebih. Ayat yang hanya terdiri daripada satu klausa disebut ayat tunggal, manakala ayat yang terdiri daripada satu klausa disebut ayat majmuk. Sesebuah ayat itu harus mengandungi makna kerana sesebuah ayat yang gramatis ialah ayat yang sempurna dari segi bentuk dan maknanya. Dalam sintaksis, makna ayat ditinjau dari sudut makna linguistik.
            Objektif kertas kajian adalah untuk menjelaskan konsep dan ciri ciri ayat ayat tanya, ayat penyata, ayat seru dan ayat perintah yang terkandung dalam novel Orang Kota Bharu karya S. Othman Kelantan. Seterusnya, pengkaji juga akan memberikan contoh-contoh ayat yang terdapat dalam novel Orang Kota Bharu.  
Bahasa Melayu mempunyai berbagai-bagai jenis ayat untuk menyatakan maksud yang sama. Ciri-ciri ini menyebabkan bahasa Melayu merupakan sebuah bahasa yang sentiasa hidup serta menarik. Jika hanya satu jenis ayat saja yang digunakan akan timbul rasa jemu pada pembaca. Oleh sebab itu, sasterawan dan penulis yang baik selalu menggunakan jenis-jenis ayat yang lain, sesuai dengan keperluan.





KONSEP AYAT PENYATA, AYAT TANYA, AYAT PERINTAH DAN AYAT SERUAN
Ayat Penyata
Tatabahasa Dewan menyatakan ayat penyata merupakan suatu ayat yang diucapkan atau diperkatakan  dengan maksud membuat satu pernyataan. Ayat penyata yang diucapkan adalah bertujuan untuk menyatakan keterangan tentang sesuatu hal atau perkara. Selain itu, ayat berita atau ayat keterangan turut dikenali sebagai ayat penyata (Nik Safiah Karim,1996:422). Tatabahasa Bahasa Malaysia pula menyatakan ayat penyata dari segi makna dan intonasi. Dari segi makna, bermaksud ayat yang memberikan keterangan atau menyatakan sesuatu hal atau perkara yang menunjukkan keterangan. Dari segi intonasi pula, buku tersebut telah menyatakan ayat penyata merupakan suatu ayat yang diucapkan dengan intonasi sederhana yang diakhiri dengan nada penutup menurun. Nahu Melayu Moden pula yang menggunakan istilah ayat berita menyatakan  ayat yang menceritakan atau memperlihatkan suatu kejadian atau peristiwa, pandangan atau perasaan seseorang.
Menurut Nik Safiah Karim (1993 : 47), ayat penyata ialah ayat yang diucapkan dengan maksud membuat satu pernyataan. Ayat yang penyata mempunyai tujuan menyatakan atau memberi keterangan tentang sesuatu hal. Ayat jenis ini disebut juga sebagai ayat berita atau ayat keterangan. Ayat ini diujarkan oleh penutur atau penulis untuk mengatakan atau memberikan maklumat atau berita kepada pendengar atau pembaca.
Ayat ini diujarkan tanpa mengharapkan jawapan atau gerak balas, sama ada yang bersifat kebahasaan atau yang bersifat perbuatan. Oleh itu, ayat penyata dapatlah dianggap sebagai ayat untuk melaporkan hal apa pun. Ayat yang bertujuan memberikan keterangan atau menyatakan sesuatu perkara, benda atau orang. Ayat ini turut disebut sebagai ayat berita atau ayat keterangan dan bertujuan untuk menerangkan sesuatu perkara maka kadar intonasinya adalah sederhana dan diakhiri dengan nada penutup turun. Subjek ialah unsur yang hadir pada awal ayat atau yang diterangkan dan predikat pula unsur yang hadir selepas subjek atau yang menerangkan. Struktur ayat penyata boleh terdiri dari ayat tunggal atau ayat majmuk.
Ayat Tanya
Sebenarnya, bagi menjelaskan maksud ayat tanya, pelbagai tafsiran dan pendapat telah dikemukakan oleh ahli-ahli bahasa. Menurut Nik Safiah (1986 : 47), ayat tanya ialah ayat yang digunakan untuk tujuan menanyakan sesuatu hal. Selain itu, pada setiap akhir ayat tanya ini akan diberi satu tanda soal (?). Tanda soal yang digunakan di dalam bahasa tulisan ini sebenarnya berupa nada yang tertutup yang meninggi sebelum disambut oleh kesenyapan.            Arbak Othman pula (1985 : 112) menyatakan bahawa ayat ini biasanya dibawakan oleh pola sebutan yang diakhiri dengan nada penutup meninggi, atau nada penutup menurun yang didahului oleh nada meninggi pada perkataan yang mengakhiri ayat tanya itu. Menurut beliau lagi, ayat tanya mudah dikenali dengan adanya penggunaan kata tanya seperti mengapa, kenapa, siapa, bagaimana, bila dan lain-lain lagi.
            Ahmad mahmood Musanif (1998:37) menyatakan bahawa dalam Bahasa Melayu, ayat tanya mempunyai nada yang meninggi sedikit sebelum kesenyapan terakhir dari sudut fonetik. Hal ini demikian kerana kajian ayat tanya dari sudut nahu bermaksud ayat-ayat tanya diberikan penjelasan berdasarkan criteria nahu semata-mata. Ayat tanya diberi takrif dan perincian menurut golongan dan subgolongannya berdasarkan ciri-ciri struktur, sistem dan maknanya dan segi nahu.
            Sutan Takdir (1961:46) manyatakan bahawa tidak banyak perbezaan yang ketara antara kalimat tanya dan kalimat berita. Perbezaan hanya berlaku pada lagu atau intonasi suara, iaitu intonasi kalimat tanya biasanya agak menaik pada akhir ayat. Kata penghabisan bagi kalimat tanya pula mempunyai suara getar yang dinamakan getar tanya. Menurut Liaw Yock Fang dan Abdullah Hassan (1994:224) pula, ayat tanya ialah ayat yang digunakan untuk meminta jawapan atau keterangan tentang sesuatu.
            Menurut Arbak Othman lagi, ayat tanya mudah dikenali dengan adanya penggunaan kata seperti mengapa, bagaimana, bila, kenapa, siapa, berapa. Untuk tujuan mengeraskan maksud, akhiran-kah boleh diberi kepada mana-mana perkataan yang mahu ditekankan maksudnya. Keterangan Arbak Othman ini dipersetujui oleh Nik Safiah Karim (1993:422) yang menyatakan bahawa ayat tanya ialah ayat yang digunakan untuk tujuan menanyakan sesuatu hal. Nik Safiah juga menekankan bahawa nada suara dan penggunaan perkataan penting dalam ayat tanya.
Ayat Perintah
Menurut Nik Safiah (1993 : 53), ayat perintah ialah ayat yang diucapkan dengan tujuan untuk menimbulkan sesuatu tindakan. Perintah ditujukan kepada orang kedua. Berdasarkan perkataan yang digunakan, ayat perintah boleh dibahagikan kepada empat jenis iaitu ayat suruhan, ayat larangan, ayat silaan dan ayat permintaan.
            Dalam ayat suruhan, subjek ialah ganti nama orang kedua seperti awak, kamu, engkau dan sebagainya yang biasanya digugurkan. Walau bagaimanapun, kerana tujuan penegasan, subjek juga boleh diucapkan. Ayat perintah dapat dibahagikan kepada empat ayat iaitu ayat suruhan, ayat permintaan, ayat silaan dan ayat larangan.
Ayat Seruan
Arbak Othman dalam bukunya ‘Nahu Bahasa Melayu’ (1989 : 115), menyatakan ayat seruan ialah ayat yang diucapkan dengan membawa nada atau intonasi seruan untuk tujuan melahirkan suatu keadaan perasaan seperti takut, marah, takjub, geram, sakit, dan sebagainya. Intonasi seruan ini digambarkan dalam tulisan dengan tanda seru (!) yang biasanya terletak di akhir ayat, sama ada ayat itu didahului oleh kata seru atau tidak. Kata seru yang sering digunakan ialah oh, amboi, wah, cis, eh, aduh, syabas dan sebagainya. Liaw Yock Fang dan Abdullah Hassan (1994 : 231) menyatakan ayat seruan ialah ayat yang dibentuk daripada kata seryuan untuk menyatakan perasaan hairan, marah, takut, benci dan suka. Kata seruan yang sering digunakan termasuklah adoi, aduh, amboi, cis, eh, oh, hei, wah dan sebagainya.
Asmah Haji Omar (1993 : 413) memberi maksud ayat seruan iaitu, seruan merupakan gabungan modus perintah dan berita, menurut situasi penggunaannya. Seruan biasanya ditandai oleh intonasi seruan yang mempunyai tekanan keras yang disertai dengan nada yang meninggi yang menurun sebelum kesenyapan. Dalam tulisan, intonasi seru digambarkan dengan tanda seru (!). Tarigan (1993:68) telah menggunakan istilah kalimat seruan semasa mengemukakan definisi tentang ayat seruan. Menurut beliau, kalimat seruan adalah kalimat pendek yang biasa berpola tetap dengan intonasi tertentu, timbul dari beberapa kejadian yang tidak diduga dalam konteks linguistik atau non-linguistik.
Abdul Hamid Mahmood, (1999 : 163), menyatakan bahawa dalam ayat seruan, tanda seru diletakkan di hujung ayat, dan bukan selepas kata seru di awal ayat. Kata seru diletakkan di hujung ayat kerana yang diseur itu ialah perasaan daripada makna seluruh ayat dan bukannya makna kata seru itu sahaja. Andainya tanda seru itu diletak selepas kata seru, maka ayat itu dianggap tidak gramatis kerana kata itu sahaja diseur, bukan seluruh perasaan yang didukung oleh ayat tersebut.
Oleh itu, sebagai pemahamam pengkaji, berdasarkan beberapa definisi yang dipetik daripada ahli-ahli bahasa, kita dapat rumuskan bahawa ayat seruan ialah ayat yang diucapkan dengan tujuan melahirkan pelbagai keadaan perasaan seperti terkejut, hairan, geram, marah, sedih, seronok dan sebagainya yang ditandai dengan pelbagai kata seru untuk menyatakan perasaan tersebut.
AYAT PENYATA
Ayat ini diujarkan tanpa mengharapkan jawapan atau gerak balas, sama ada yang bersifat kebahasaan atau yang bersifat perbuatan. Oleh itu, ayat penyata dapatlah dianggap sebagai ayat untuk melaporkan hal apa pun.Antara contoh ayat penyata ialah:
1.      Rumah jiran saya dimasuki pencuri semalam.
2.      Nadiah jurutaip.
3.      Abdullah sedang tidur.
4.      Cempaka itu wangi.
Antara contoh-contoh ayat penyata yang terdapat dalam novel Orang Kota Bharu karya S. Othman Kelantan ialah :
1.        Ini gasing uri. (halaman 238)
2.        Uri itu maknanya pusingan. (halaman 238)
3.        Pak Ali, tukang cat. (halaman 421)
4.        Mereka orang miskin. (halaman 421)
5.        Hawa Binti Samat, menjadi peraih emas dalam Pasar Besar Kota Bharu. (halaman 70)
6.        Wakaf Tok Kassim terletak di Kampung Tebing Tinggi. (halaman 85)
7.        Wakaf Tok Kassim berjarak lapan batu dari Kota Bharu. (halaman 89)
8.        Katherine menghidupkan alat rakamannya. (halaman 215)
Berdasarkan petikan di atas, ayat tersebut menjelaskan bahawa ayat yang diungkakan adalah dengan membawa maksud untuk menerangkan sesuatu. Petikan tersebut mengandungi unsur subjek dan predikat. Sebagai contoh, petikan (3), ayat tersebut menjelaskan bahawa Pak Ali itu sebagai tukang cat. Hal ini bermakna, ayat tersebut telah memberikan maksud yang sudahpun difahami oleh pembaca. Sama juga dengan contoh-contoh ayat yang lain, ayat berikut sudahpun lengkap dan ia tidak patut ditanyakan lagi untuk mendapatkan sesuatu jawapan.


AYAT TANYA.
            Ayat tanya dapat digolongkan kepada dua jenis iaitu ayat tanya tanpa kata tanya dan ayat tanya dengan kata tanya.
Ayat Tanya Tanpa Kata Tanya
Menurut Nik Safiah (1993 : 47), ayat tanya tanpa kata tanya ialah ayat yang lazimnya diucapkan dengan nada suara meninggi sebelum kesenyapan akhir ayat. Dalam tulisan, nada tanya ini dilambangkan dengan tanda soal ( Nik Safiah Karim : 1993 : 423). Antara contoh ayat tanya tanpa kata tanya ialah:
1.      Puan Mariam suri rumah?
2.      Adik masih menangis?
3.      Dia tersenyum?
4.      Anuar menjadi pelukis?
5.      Emak membasuh kain?
Contoh ayat tanya tanpa kata tanya yang terdapat dalam novel Orang Kota Bharu karya S. Othman Kelantan ialah :
1.        Tak jadi tutup? (halaman 272)
2.        Alah yang baru naik perahu tu? (halaman 82)
3.        Kau pun bawa mat salih ke mari? (halaman 197)
4.        Boleh? (halaman 60)
5.        50 sen? (halaman 77)
6.        Masihkah lagi kau ada kampung? (halaman 296)
Dalam contoh ayat di atas, jelas menunjukkan bahawa ayat tanya tanpa kata tanya. Dalam contoh ayat tersebut, ia tidak menggunakan perkataan apa, siapa, mana, bagaimana dan sebagainya bagi mengajukan sesuatu soalan. Pihak yang bertanya meminta jawapan ataupun mengharapkan pihak yang dilayan bercakap itu memberikan keterangan tentang sesuatu yang ia belum pasti atau tidak diketahuinya. Namun, ayat jenis ini tidak menggunakan sebarang kata tanya yang mengiringinya sama ada di depan, di tengah atau di awal ayat. Jelas terbukti bahawa ayat tanya jenis ini hanya dibezakan oleh intonasi tanya dan digolongkan sebagai ayat tanya tanpa kata tanya.
Selain itu, cara penggolongan yang berdasarkan strukturnya, ayat tanya juga boleh dilihat dari segi jawapan yang dikehendaki iaitu sama ada ayat tanya tertutup ataupun ayat tanya terbuka. Ayat tanya tertutup ialah ayat tanya yang memerlukan jawapan ya atau tidak/bukan, dan ayat tanya terbuka ialah ayat tanya yang jawapannya tidak terhad kepada perkataan ya atau bukan/tidak tetapi sebaliknya bergantung pada maksud yang terkandung dalam ayat tanya tersebut. Ayat tanya jenis ini ialah ayat tanya yang jawapannya tidak terhad kepada perkataan ya, bukan atau tidak tetapi bergantung kepada maksud yang terdapat dalam ayat tanya tersebut (Nik Safiah Karim, 1993:427).
Ayat tanya jenis ini ditandai dengan adanya kata tanya yang bersifat menggantikan kata-kata yang ditanyakan. Selain itu, ayat tanya jenis ini wujud dengan kehadiran kata tanya seperti apa, bagaimana, berapa, bila, siapa, mana, kenapa, di mana, yang mana.Berikut ialah contoh-contoh ayat tanya tertutup:
1.      Adakah air itu panas?
Ya, air itu panas.
2.      Air itu panas?
Tidak, air itu tidak panas.
Contoh-contoh ayat tanya tertutup yang terdapat dalam novel Orang Kota Bharu karya S. Othman Kelantan ialah :
1.      Jadi, kau pun bawa mat salih ke mari?
Ya. (halaman 197)
2.      Maafkan saya?
Ya, tidak apa. (halaman 201)
3.      Mereka didatangkan dari Siam?
Tidak. Semua orang Siam itu dari Kampung Terbak, Tumpat. (halaman 206)
Petikan dialog di atas jelas menunjukkan bahawa ayat tanya tertutup. Dalam dialog tersebut, jawapan yang diujarkan oleh seseorang yang hanya mengujarkan perkataan ya, dan tidak sahaja sebagai jawapan. Soalan yang diujarkan oleh penutur itu adalah hanya memerlukan jawapan ya atau tidak sahaja. Itu sudah pun menjawab persolan yang ingin deketahui olehnya.
            Pertanyaan terbuka mendapat cirri ‘terbuka’nya itu dari jawapan yang dimintanya. Jawapannya tidak terbatas kepada satu-satu jenis tertentu. Contoh ayat tanya terbuka ialah:
1.      Encik nama apa?
      Kamal Yaakub.
2.      Tinggal di mana?
Kuala Lumpur.
Antara contoh ayat tanya yang terdapat dalam novel Orang Kota Bharu karya S.Othman Kelantan ialah:
1.      Letak di mana?
Depan Balai Polis. (halaman 411)
2.      Pukul berapa air naik?
Waktu itu satu setengah. (halaman 411)
3.      Encik nama apa?
Raja Ismail. Ayah nama Raja Omar. (halaman 56)
4.      Bagaimana Akub?
Tak teruk sangat. (halaman 134)
Petikan tersebut jelas bahawa ayat tanya terbuka boleh menerima pelbagai jawapan yang pelbagai. Soalan yang ditanya perlu dijawab dan jawapan itu meluas.
Ayat Tanya Dengan Kata Tanya
Menurut Nik Safiah (1993 : 50), ayat tanya dengan kata tanya ialah ayat tanya yang menggunakan kata tanya seperti apa, siapa, berapa, mengapa, bagaimana dan selainnya. Ayat-ayat jenis ini terdiri daripada dua golongan iaitu:
a)      Ayat tanya dengan ganti nama tanya
b)      Ayat tanya dengan frasa sendi nama tanya
Bagi ayat tanya dengan ganti tanya, Nik Safiah Karim (1993) menjelaskan bahawa ayat-ayat jenis ini mengandungi kata ganti nama tanya seperti apa, siapa dan mana. Bagi ayat tanya jenis ini, disampig ciri intonasi, kata ganti nama tanya yang terdapat dalam ayat itu sendiri menjadi penanda ayat tanya sebagai nahuan. Kata ganti nama boleh muncul di mana-mana tempat dalam ayat kerana kedudukannya dalam ayat bahasa Melayu tidak terbatas seperti bahasa Eropah moden.
Contoh ayat, ‘berapa lama lagi harus kita menunggu kedatangannya?’, ganti nama tanya ‘berapa’ yang muncul di awal ayat bukan sahaja berperanan sebagai perwujudan judul yang mendukung makna nahuan, tetapi dengan serentaknya meminta maklumat baru tentang proposisi yang terkandung dalam bahagian ayat yang selebihnya. Tegasnya, ganti nama tanya yang menandai ayat tanya ini secara nahuan itu bukan menyampaikan maklumat baru tetapi menunjukkan penanda fokus pembeza yang meminta maklumat baru. Dalam susunan biasa, kata ganti nama tanya menduduki unsur predikat seperti ayat-ayat :
1.      Benda itu apa?
2.      Gurunya siapa?
3.      Adik awak mana?
Contoh ayat yang terdapat dalam novel Orang Kota Bharu karya S. Othman Kelantan ialah :
1.        Encik nama siapa? (halaman 56)
2.        Pergi dengan siapa? (halaman 460)
3.        Kita hendak ke mana? (halaman 205)
4.        Apa yang sudah berlaku? (halaman 160)
5.        Apa yang kau lakukan? (halaman 160)
Petikan di atas menunjukkan ayat tanya dengan ganti nama tanya. Hal ini dapat dijelaskan melalui ayat (1) dan (2), siapa itu telah pun menunjukkan ganti nama tanya.
Namun begitu, bentuk ayat-ayat tersebut merupakan bentuk bahasa lisan. Bagi bentuk bahasa tulisan, ayat-ayat tersebut perlu menerima partikel –kah pada unsur yang dikedepankan seperti contoh:
1.        Encik nama siapakah?
2.        Pergi dengan siapakah?
3.        Kita hendak ke manakah?
4.        Apakah yang sudah berlaku?
5.        Apakah yang kau lakukan?
Menurut Nik Safiah Karim (1993:556), frasa sendi nama ialah frasa yang perkataan utamanya terdiri daripada satu kata sendi nama dan diikuti oleh frasa yang menjadi pelengkap kepada kata sendi nama. Secara mudahnya, frasa sendi nama terdiri atas kata sendi dan frasa nama. Letak kata sendi mendahului frasa nama.
Menurut Nik Safiah Karim (1993:427) menghuraikan bahawa ayat tanya dengan frasa sendi nama tanya ialah ayat-ayat yang terdiri daripada ayat-ayat yang didahului oleh frasa sendi nama tanya seperti di mana, dari mana, ke mana, sejak bila, sampai bila, bagaimana, dengan siapa, daripada siapa. Dalam susunan biasa, unsur ini hadir dalam predikat. Antara contoh yang dikemukakan oleh Nik Safiah Karim ialah :
1.    Latifah ke sekolah.
2.    Gadis itu dari pejabat.
3.    Tuan tinggal di mana?
4.    Ali hendak pergi ke mana?
5.    Mereka mengatasi masalah itu bagaimana?
Berdasarkan novel yang terdapat dalam novel Orang Kota Bharu karya S. Othman Kelantan ialah :
1.      Bagaimana kalau masuk subuh nanti lantai balaisah tenggelam?. (halaman 412)
2.      Itu tak patut. Orang lain bagaimana?. (halaman 77)
3.      Mak Sah dengar dari mana? (halaman 285)
4.      Di manakah tempat yang lebih menarik itu? (halaman 287)
5.      Letak di mana? (halaman 411)
Petikan di atas menunjukkan ayat tanya dengan frasa sendi nama. Hal ini dapat dijelaskan bahawa seperti petikan (3), ayat tersebut menggunakan perkataan dari mana. Jelaslah bahawa, ayat tersebut menunjukkan ayat tanya dengan frasa sendi nama. Kehadiran kata sendi dalam binaan ayat amat penting kerana ketiadaannya menjadikan sesebuah ayat itu tidak gramatis dan tidak mempunyai hubungan logik.
AYAT PERINTAH
Berdasarkan perkataan yang digunakan, ayat perintah boleh dibahagikan kepada empat jenis iaitu ayat suruhan, ayat larangan, ayat silaan dan ayat permintaan.
 Dalam ayat suruhan, subjek ialah ganti nama orang kedua seperti awak, kamu, engkau dan sebagainya yang biasanya digugurkan. Walau bagaimanapun, kerana tujuan penegasan, subjek juga boleh diucapkan. Ayat suruhan ini tidak menggunakan perkataan tolong, sila, jemput, dan sebagainya untuki tujuan suruhan. Ayat tersebut pendek namun ia menunjukkan bahawa ujaran tersebut sudahpun difahami oleh orang kedua bahawa ujaran tersebut adalah untuk menyuruhnya melakukan sesuatu tindakan. Yang berikut adalah ayat-ayat suruhan:
1.    Keluar dari bilik ini!
2.    Pergi dari sini!
3.    Tengok barang-barang ini.
4.    Ambil wang ini!
5.    Pukul ular itu.
6.    Awak siapkan kerja itu sekarang.
Contoh ayat yang terdapat dalam novel Orang Kota Bharu karya S. Othman Kelantan ialah :
1.        Pergi tengok (halaman 413)
2.        Bawa ke rumah aku (halaman 413)
Petikan ayat di atas menunjukkan contoh ayat yang menunjukkan ayat perintah. Sesuatu ujaran yang dilontarkan oleh seseorang sudah boleh difahami dan pendengar akan memahami bahawa seseorang itu memerintahnya. Dengan ujaran ayat tersebut, seseorang pendengar akan menurut apa yang diperintahkan oleh seseorang itu.
Ayat-ayat suruhan boleh menggunakan partikel -lah untuk melembutkannya di samping menegaskan predikat. Seperti dengan konsituen yang menerima –kah, konsituen yang menerima –lah pun mengalami proses pendepanan. Sebagai contoh:
1.      Pergilah tengok
2.      Bawalah ke rumah aku
Ayat larangan ialah ayat yang menggunakan kata larangan seperti jangan, usah atau tak usah sebelum kata kerja dengan tujuan menegah seseorang melakukan sesuatu. Contohnya:
1.    Jangan ambil harta orang.
2.    Jangan duduk disini.
3.    Kamu jangan beritahu dia.
4.    Usah kau pedulikan dia.
5.    Usah ditanyakan siapa orangnya.
6.    Awak tak usah datang lagi.
7.    Tak usah kau ambil tahu akan hal aku lagi.
Ayat larangan yang terdapat dalam novel Orang Kota Bharu karya S. Othman Kelantan ialah :
1.   jangan buruk-burukkan lawan, sebab rakyat sudah maklum. Kita hanya sebutkan bentuk Negara Islam sahaja. (halaman 269)
2.   jangan menghabiskan masa dan wang untuk kongres yang kurang penting itu. ( halaman 282)
3.   jangan bimbang, kata Jali Sabak. Kalau ada masalah beritahu aku. (halaman 293)
4.   kita tidur atas tikar ini saja. Rahim jangan susah-susah. ( halaman 336)
Petikan di atas menunjukkan ayat larangan. Perkataan jangan diucapkan kepada orang kedua dengan tujuan untuk melarang seseorang untuk melakukan sesuatu. Jangan hadir sebelum kata kerja. Sebagai contoh, ayat (2), orang pertama melarang orang kedua untuk menghabiskan masa dengan wang kongres yang kurang penting iu. Ayat tersebut sudah jelas bahawa orang pertama itu melarang orang kedua untuk melakukan kegiatan tersebut.
Ayat-ayat di atas dapat dilembutkan dengan menambahkan partikel –lah, seperti yang berikut:
1.      janganlah buruk-burukkan lawan, sebab rakyat sudah maklum. Kita hanya sebutkan bentuk Negara Islam sahaja.
2.      janganlah menghabiskan masa dan wang untuk kongres yang kurang penting itu.
3.       janganlah bimbang, kata Jali Sabak. Kalau ada masalah beritahu aku.
4.      kita tidur atas tikar ini saja. Rahim janganlah susah-susah.
Seterusnya adalah ayat silaan. Ayat silaan ialah ayat yang menggunakan kata silaan seperti sila atau jemput sebelum kata kerja dengan tujuan menjemput atau mempersilakan seseorang. Lazimnya kata silaan digunakan pada permulaan ayat seperti dalam contoh-contoh berikut:
1.    sila datang ke rumah saya.
2.    Sila buat laporan di sini.
3.    Jemput datang ke majlis sukan hari ini.
4.    Jemput minum.
5.    Jemput naik.
Contoh ayat silaan yang terdapat dalam novel Orang Kota Bharu karya S. Othman Kelantan ialah :
1.    sila minum, encik. Seorang mempersilakan Udin dan rakan-rakannya minum. (halaman 226)
2.    sila duduk Encik Tajul. Tangan Ghazali menunjuk ke arah kerusi yang terdekat dengannya di sebelah kanan. (halaman 303)
Petikan di atas menunjukkan ayat silaan. Hal ini dapat dilihat dalam ayat (1), orang pertama mempersilakan orang kedua untuk minum. Perkataan sila yang diujarkan oleh orang pertama itu jelas menunjukkan ayat tersebut ayat silaan. Orang pertama mempersilakan orang kedua untuk minum.
Seperti ayat-ayat lain juga, ayat-ayat ini dilembutkan dengan penggunaan partikel penegas –lah seperti contoh-contoh berikut:
1.    silalah minum, encik. Seorang mempersilakan Udin dan rakan-rakannya minum.
2.    silalah duduk Encik Tajul. Tangan Ghazali menunjuk ke arah kerusi yang terdekat dengannya di sebelah kanan.
Seterusnya adalah ayat permintaan. Ayat permintaan ialah ayat yang menggunakan kata permintaan seperti minta dan tolong dengan tujuan memohon permintaan dan pertolongan seperti dalam contoh-contoh berikut:
1.      minta tuan-tuan jelaskan yuran persatuan.
2.      Minta tuan benarkan kami masuk.
3.      Tolong tutup pintu depan itu.
4.      Tolong selesaikan pergaduhan ini.
Contoh ayat permintaan yang terdapat dalam novel Orang Kota Bharu karya S. Othman Kelantan ialah :
1.    kalau awak senang, malam ini tolong ikut saya. (halaman 508)
Petikan di atas telah menjelaskan bahawa ayat permintaan. Hal ini dapat dilihat dengan wujudnya perkataan tolong. Tolong itu merupakan ayat permintaan dan seseorang pendengar itu sudah pasti memahami dan akan mengambil tindakan dengan sesuatu permintaan tersebut.







AYAT SERUAN
Oleh itu, sebagai pemahamam pengkaji, berdasarkan beberapa definisi yang dipetik daripada ahli-ahli bahasa, kita dapat rumuskan bahawa ayat seruan ialah ayat yang diucapkan dengan tujuan melahirkan pelbagai keadaan perasaan seperti terkejut, hairan, geram, marah, sedih, seronok dan sebagainya yang ditandai dengan pelbagai kata seru untuk menyatakan perasaan tersebut. Contohnya:
1.      makan!
2.      Pergi!
3.      Cis!
4.      Amboi! Cantiknya
5.      Kan aku sudah kata!
6.      Panjatlah lagi!
7.      Jangan ganggu aku!
Contoh ayat seruan yang terdapat dalam novel Orang Kota Bharu karya S. Othman Kelantan ialah :
1.        ya iblis! (halaman 41)
2.        jalanlah kalau bijak sangat!. (halaman 67)
3.        Berhenti! (halaman 139)
4.        mari! (halaman 140)
5.        hati-hati, jangan terjatuh! Beringat-ingat! Jaga diri!. (halaman 91)
6.        oh, nyanyi lagi, nyanyi Norma. Karang aku bawa balik! (halaman 158)
7.        Cih, celaka! (halaman 173)
Melalui tulisan, ayat seruan dapat dikenali dengan tanda pada akhir ayat. Manakala secara lisan kita dapat mengetahui ayat seruan melalui pengucapan yang ditandai oleh intonasi yang mempunyai tekanan keras dengan nada meninggi yang menurun sebelum kesenyapan. Tegasnya ayat seruan tidak memerlukan jawapan kerana ayat ini merupakan penglahiran perasaan penutur terhadap sesuatu yang berlaku sama ada untuk diri sendiri atau orang lain. Kadang-kadang, ayat seruan ini diucapkan secara bersendirian oleh penutur tanpa memerlukan tindak balas daripada pendengar.
KESIMPULAN
Berdasarkan hasil kajian yang telah dikaji, pengkaji dapat menghuraikan segala persoalan yang terdapat pada objektif iaitu menjelaskan jenis-jenis ayat yang terkandung dalam novel Orang Kota Bharu karya S. Othman Kelantan dan juga pengkaji akan menjelaskan ciri-ciri ayat tanya, ayat penyata, ayat seru dan ayat perintah dalam novel ini dan memberikan contoh-contoh ayat yang terdapat dalam novel Orang Kota Bharu. Ayat-ayat tersebut mempunyai ciri-ciri dan makna yang berbeza. Ayat-ayat tersebut juga mempunyai tujuan dan juga mempunyai peranan masing-masing.

Ayat merupakan aspek yang penting dalam ujaran dan komunikasi seharian sama ada dalam perbualan formal atau tidak formal. Oleh sebab produktifnya ayat tersebut dalam komunikasi, maka terdapat pelbagai bentuk ayat tersebut digunakan. Dalam kajian ini, bentuk-bentuk ayat tanya merujuk kepada bentuk-bentuk pertanyaan yang terdapat dalam novel kajian. Huraian tentang ayat-ayat tanya mengambil kira aspek sintaksis, gramatikal dan juga konteks penggunaannya.