Tuesday 18 March 2014

Pemikiran Dalam Novel Pelangi Jingga karya Hartini Hamzah

PENDAHULUAN
Novel dapat ditafsirkan sebagai sebuah cerita atau prosa, biasanya panjang dan kompleks, yang berkaitan dengan pengalaman manusia dan kelakuan yang sosial. Terdapat beberapa jenis novel seperti novel bergambar atau novel yang megandungi makalah (rencana, karangan dan lain-lain) dan bersifat ilmiah. Novel juga ialah karya fiksyen atau cereka dalam bentuk karangan panjang yang mempunyai ciri tertentu seperti plot, sudut pandangan dan beberapa ciri lain. Menurut S.Othman Kelantan (1985 : 14), mengatakan bahawa pengguna istilah novel sangat baru di Malaysia. Sebagai bentuk prosa yang panjang dan mempunyai ciri tertentu yang berbeza dengan hikayat atau romance, bentuk ini sangat baru dalam kesusasteraan.
Menurut Barat, novel ialah gambaran realiti masyarakat secara keseluruhannya dalam karya kreatif yang berbentuk prosa. Manusia yang hadir dalam novel ialah manusia yang real. Oleh itu, tindak-tanduk manusia dalam alam realiti. Pemikiran, perasaan dan tindakan dalam sesuatu keputusan yang diambil dalam situasi tertentu ialah gambaran sebenar daripada realiti masyarakat. Latar yang digambarkan dalam novel, sama ada latar tempat, latar suasana, latar masa, latar persekitaran, latar pemikiran dan pendidikan, serta latar status yang selalu dihubungkan dengan kehadiran watak ialah gambaran realiti dalam masyarakat manusia yang dapat dikenal secara logik walaupun latar itu diwujudkan secara imaginasi.
   Konsep penting novel ialah isinya mestilah menggambarkan realiti masyarakat iaitu tentang kehidupan manusia dan hubungannya dengan alam dan Tuhan, tentang akal, iman, masalah kepercayaan, keraguan dan keyakinan, dan kini bentuk pemikiran dan perasaan dalam diri manusia. Hal-hal ini diadunkan dengan imaginasi, fantasi, persepsi, sensitiviti dan kreativiti pengarang dalam sebuah novel dengan menyusun struktur tertentu dalam stail bahasa yang kreatif dan iminatif.
Menurut Baharuddin Zainal (2000), menegaskan bahawa karya yang bernilai yang dapat menjelaskan tema dan persoalan yang penting dan relevan kepada masyarakat, pada masa yang sama juga menonjolkan nilai-nilai keindahan. Selain itu, bidang kesusasteraan merupakan satu apresiasi hidup, ekspresi yang penting dalam diri manusia dan dapat digunakan sebagai alat untuk menyempurnakan kehidupan mereka. Jika berbicara tentang prosa sastera ini tidak terlepas dari melihat tema dan persoalan sampingan yang merupakan gambaran masyarakatnya. Hal ini menunjukkan sastera dan masyarakat tidak dapat dipisahkan. Ini kerana kehidupan masyarakat permasalahan sejagat itulah yang digarap oleh pengarang di dalam karyanya.
Novel sebagai sebuah karya prosa naratif secara umumnya tidak terhasil daripada kekosongan makna. Selain itu, novel dalam bentuknya yang lazim berupaya menampung nila-nilai seperti yang ditangani oleh manusia dalam kehidupan seharian. Menurut Shahnon Ahmad (1991), karya terikat dengan keperihalan manusia dan kehidupan, maka tema dan persoalan yang disorot mengungkapkan nilai-nilai yang menjadi pegangan masyarakat.
Novel yang akan dikaji bertajuk “Pelangi Jingga” karya Hartini Hamzah yang baru memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan ExxonMobile 2013. Novel ini mengandungi 200 halaman. Sehubungan itu, novel ini dipecahkan kepada 17 bab.
Pengarang adalah orang yang memainkan peranan yang penting dalam penciptaan novel. Tanpa pengarang sudah tentu novel tidak akan wujud. Oleh itu, pengarang tidak dapat dinafikan dalam perkembangan novel. Proses penciptaan yang memerlukan kemahiran berfikir, pengalaman, penguasaan bahasa dan mengerti budaya sangat penting untuk melahirkan sesebuah novel.  Seperti kata A.Karim Abdullah (1993), dalam pemimpin dan Sasterawan yang menyatakan bahawa para penulis dan sasterawan yang berilmu, berkualiti dan bervisi berupaya mencetuskan kebangkitan intelektual sesuatu bangsa dan menjadi penggerak dan pendukung yang kuat untuk merevolusian masyarakat.
Selain itu, pengarang tidak dapat lari daripada merakamkan setiap perubahan, permasalahan, persoalan masyarakat dan yang lebih penting lagi pengarang mesti mempunyai pegangan diri yang mantap dan profesional. Menurut kata Michael Zeraffa (1979), pengarang adalah manusia biasa yang tidak terlepas daripada propaganda zamannya. Secara langsung atau tidak, pengarang akan terlibat terhadap anggota masyarakatnya. Dalam hal ini, pengarang harus berani dan mempunyai fikiran untuk menyuarakan tugas mereka sebagai juru bicara masyarakat. Mereka perlu bersikap kritis dan berani dalam memperjuangkan kebenaran.











PENYATAAN MASALAH
Dalam membuat penilaian terhadap sesebuah karya sastera yang terdiri daripada beberapa genre, penekanan kepada aspek. Karya prosa seperti novel amnya perlu mempunyai elemen-elemen yang tersusun yang membina struktur karya tersebut. Memandangkan penggunaan bahan-bahan sastera seperti novel begitu berleluasa pada masa sekarang. Para pengkaji terdorong untuk melihat novel dengan melihat idea utama atau kebudayaan atau nilai sosial yang menjadi inti di dalam sesebuah novel. Seorang penulis yang kreatif, harus mencampurkan pemikiran yang berteraskan ilmu yang mana ia memberikan manfaat kepada pembaca.
Sastera bukan sekadar alat hiburan murahan tetapi juga terdapat ilmu dan falsafah yang dapat ditimba untuk memberikan ketenangan jiwa dan fikiran yang gelisah yang mencari-cari kebenaran, Talib Y.K dalam Rahman Shaari (1994: 43) menambah sastera juga menanam persefahaman dan persaudaraan antara manusia dengan syarat kita hendaklah mengikis segala sifat-sifat yang negatif.
Sahlan Mohd. Saman dan Ramli Isin (1998: iv) berpendapat bahawa kesusasteraan mendidik manusia melalui cerita dan watak-watak yang dimunculkan, kesan interaksi ataupun pembawaan pokok persoalan dalam cerita. Banyak hal yang boleh dijadikan teladan hidup, iaitu menerusi perasaan kasih saying akan Negara dan bangsa, kemanusiaan, keinsafan, harga diri, moral dan agama, kebudayaan setempat, politik dan psikologi.
Shahnon Ahmad (1992: 148), menegaskan bahawa karya-karya kreatif adalah bertunjangkan kemanusiaan dalam segala dimensi. Menurutnya lagi, kesusasteraan tanpa kemanusiaan yang bermakna sebenarnya tidak boleh disebut sebagai kesusasteraan. Oleh yang demikian, sesebuah karya yang baik hendaklah diwarnai dengan nilai-nilai kemanusiaan agar dapat dihayati dan dijadikan panduan berguna kepada peminat sastera dan masyarakat pembaca.
Pada masa ini, nilai-nilai yang menjadi dasar perasaan kemanusiaan kian terancam dan mulai pupus seperti yang pernah berlaku sejarah manusia sebelum ini. Muhammad Hj.Salleh (1979), keadaan ini jelas dilihat melalui pergolakan dan segala macam sengketa yang berlaku dalam masyarakat dunia hari ini. Jesteru itu, perkara-perkara yang menyentuh tentang nilai-nilai kemanusiaan dan nilai social sewajarnya dijadikan tema utama dan diberikan penekanan yang khusus dalam genre karya sastera. Hal-hal ini akan membolehkan masyarakat pembaca menilai dan meneladani nilai-nilai yang membawa kebaikan kepada manusia sejagat.
Objektif Kajian
Objektif kajian ini ialah:
1.      Menghuraikan sinopsis novel Pelangi Jingga.
2.      Definisi Nilai sosial.
3.      Mengkaji nilai-nilai sosial dan yang terdapat dalam novel.
Kajian ini mengambil kira novel Pelangi Jingga karya Hartini Hamzah terbitan Utusan Publication & Distributors Sdn.Bhd. Dalam objektif kajian, penekanan dibuat kepada kajian budaya dan nilai-nilai sosial yang terdapat dalam novel Pelangi Jingga.




SINOPSIS
            Muzafar adalah watak utama dalam novel Pelangi Jingga. Perjalanan cerita ini menunjukkan tentang kasih sayang dan juga tanggungjawab yang mana Muzafar tidak putus asa untuk mencari adiknya yang telah lama terpisah. Muzafar telah kehilangan ibu bapanya sejak dia masih kecil lagi. Dia telah dipelihara oleh Pak Jidin dan juga isterinya. Ayah Muzafar telah dubunuh dan dikebumikan di Indonesia kerana jenazahnya tidak dapat di bawa pulang ke Tanah air kerana Dr.Razlan merupakan seorang pengganas yang mati dibom. Muzafar mempunyai seorang adik perempuan yang bernama Surianor. Mereka telah terpisah sejak mereka kecil lagi dan Muzafar bertekad untuk mencari adiknya.
            Muzafar telah membuat laporan polis dan telah mengupah penyiasat persendirian untuk menjejaki keberadaan adiknya itu. Selepas itu, Muzafar mendapat berita bahawa Surianor berada di Kuala Tahan. Muzafar, Pak Jidin dan Abang Khairuddin bersama-sama pergi mencari Surianor di Hutan Kuala Tahan. Muzafar menceritakan tentang Surianor kepada Pak Jidin dan Abang Khairuddin bahawa Surianor terlibat dalam kumpulan ekstremis agama yang menuntut kebebasan. Dalam hutan tersebut, mereka ternampak gumpalan asap dan mereka yakin ada perkampungan di situ. Namun, perkampungan tersebut bukan penduduk orang asli dan mereka semakin yakin, itulah tempat yang mereka cari-cari.
            Selepas itu, Muzafar dan Abang Khairuddin sahaja yang pergi ke perkampungan tersebut. Di sana, mereka berjumpa dengan Arif iaitu kenalan Muzafar semasa mereka menuntut di Universiti. Muzafar berterus terang kepada Arif bahawa kedatangan dia ke hutan itu. Arif menceritakan bahawa mereka tinggal di hutan kerana mereka sedang membuat ‘barang’. Setelah itu, Arif memberitahu Muzafar bahawa Surianor berada di Kuala Lumpur dan dia telah ditugaskan untuk menjaga perakaunan, mengira stok dan menyusun data keluar masuk. Arif telah memberikan alamat tempat tinggal Surianor kepada Muzafar.
            Selepas itu, Muzafar, Abang Khairuddin dan Pak Jidin terus pergi ke Kuala Lumpur untuk mencari Surianor. Mereka mencari Surianor berdasarkan alamat yang telah diberitahu oleh Arif dan mereka telah menemui Surianor di sana. Surianor telah pun berkahwin sengan seorang lelaki yang bernama Hisyam. Muzafar telah memujuk adiknya supaya pulang bersamanya namun Surianor tetap berkeras untuk tidak pulang ke kampung bersama abangnya itu. Ketika bertemuan mereka, Surianor telah memberikan pesanan melalui sampul surat kepada Muzafar dan dalam surat tersebut tertera nama Nurhanim Binti Abu Baka beserta alamat tempat tinggalnya. Nurhanim telah mempunyai dua orang anak dan pernah berkahwin dengan Arif. Lama kelamaan, Muzafar telah jatuh cinta kepada Nurhanim dan berhajat untuk menjadikan perempuan itu sebagai isterinya.
            Muzafar menerima panggilan daripada Surianor dan dia telah menceritakan tentang kegiatan yang dilakukannya selama ini. Surianor juga memberitahu Muzafar bahawa akan ada huru hara di Dataran Merdeka Kuala Lumpur semasa Hari Kemerdekaan nanti. Muzafar dan Abang Khairuddin pergi ke Ibu Pejabat Polis Cawangan Terengganu untuk membuat laporan tentang apa yang diceritakan oleh Surianor itu. Pada malam kemerdakaan tersebut, beberapa orang telah ditangkap oleh pihak berkuasa.
            Selepas itu, Surianor dan Hisyam diminta untuk membayar duit berjumlah seratus ribu ringgit sebagai syarat supaya dia dapat keluar atau tidak menyertai kegiatan itu lagi. Namun, wang tersebut dibayar oleh Muzafar kerana Hisyam anak orang miskin dan tidak mempunyai wang sebanyak itu. Muzafar telah diberitahu bahawa Arif telah ditangkap pada malam menjelang sambutan ulangtahun kemerdekaan kerana disyaki memasang bom di kawasan Dataran Merdeka. Setelah itu, Muzafar dan Nurhanim disahkan menjadi suami isteri manakala Surianor dan Hisyam pulang ke kampung dan tinggal bersama-sama dengan Muzafar dan Nurhanim di kampung.
DEFINISI NILAI SOSIAL
Perkataan ‘nilai’ digunakan dalam konteks yang berlainan seperti nilai moral, nilai estetika, nilai etika, nilai seni, nilai agama dan sebagainya. Keadaan ini agak menyulitkan untuk menerangkan definisi konsep nilai yang sebenar. Menurut Ting Chew Peh (1983), secara umumnya nilai bukanlah satu objek. Oleh sebab itu, ia tidak mempunyai sifat objek seperti bentuk atau warna. Tetapi nilai adalah suatu konsep, suatu pembentukan mental yang dirumuskan daripada tingkah laku manusia.
Nilai adalah salah satu ciri kemanusiaan yang sedia ada dalam mana-mana masyarakat. Tiap-tiap masyarakat mempunyai sistem nilai yang dimiliki bersama dan nilai itu member pengertian dan tujuan kepada kehidupan kelompok. Setiap individu masyarakat menganggap bahawa segala peraturan, matlamat perlakuan, nilai dan norma-norma sosial milik mereka sebagai suatu yang mutlak sifatnya. Misalnya, masyarakat Melayu merasakan bahawa nilai perlakuan mereka yang bertunjangkan kepada ajaran Islam yang paling baik yang harus dipelihara dan dikekalkan dari satu generasi ke generasi.
Mengikut Sharifah Alawiah Alsagoff (1987: 74) nilai merupakan idea-idea yang dikongsi oleh sesebuah masyarakat tentang apa yang baik, betul dan dikehendaki. Nilai juga dapat dikategorikan sebagai sifat ketinggian mengenai pemikiran agama, kemasyarakatan dan lain-lain. (Noresah Baharom, 1994: 930).
Daripada pendapat-pendapat di atas, dapat dikatakan bahawa nilai merupakan satu konsep yang abstrak dan relative sifatnya. Ia merupakan satu fenomena yang bersifat universal yang dimiliki oleh setiap masyarakat itulah yang mengatur segala perlaksanaan sistem perlakuan mereka. Walaubagaimanapun, nilai merujuk kepada nilai apresiasi seseorang individu terhadap sesuatu fenomena atau perlakuan. Baik dan buruk fenomena atau perlakuan itu bergantung kepada bagaimana seseorang menilainya, yang tentunya dirangsangkan pula oleh nilai-nilai sosial atau prinsip-prinsip hidup yang sedia ada dalam kalangan masyarakat yang dianggotainya itu.  
Menurut Mok Soon Sang, sosial ditakrif sebagai satu sistem interaksi dan aktiviti manusia dalam masyarakat, (1993 : 78). Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2005), sosial bermaksud segala yang berkaitan dengan masyarakat, perihal masyarakat dan juga berkaitan dengan persahabatan, pergaulan dan aktiviti masa lapang.
 Jadi, nilai sosial adalah sikap dan perasaan yang diterima oleh masyarakat sebagai dasar untuk merumuskan apa yang benar dan penting di masyarakat. Selain itu nilai sosial dirumuskan sebagai petunjuk dan tafsiran secara sosial terhadap suatu objek . Nilai sosial sifatnya abstrak dan ukuran masing-masing nilai ditempatkan dalam struktur berdasarkan peringkat yang ada masyarakat. Bila sikap dan perasaan tentang nilai sosial itu diikat bersama seluruh anggota masyarakat sebagai sebuah sistem, maka disebut sistem nilai sosial. Namun kenyataannya orang dapat saja mengembangkan perasaan sendiri yang mungkin saja berbeza dengan perasaan sebahagian besar warga masyarakat.
Nilai sosial yang menggagaskan kepentingan agama, norma-norma hidup dan nilai-nilai murni dalam novel Melayu. Nilai sosial yang terpancar dalam novel Pelangi Jingga ini ialah isu-isu yang berkaitan dengan pembangunan diri, hubungan manusia dengan manusia dan hubungan manusia dengan Maha Pencipta.




NILAI SOSIAL HUBUNGAN MANUSIA DENGAN MANUSIA
            Kamus Dewan (1993: 801), mendefinisikan ‘kemanusiaan’ sebagai perihal manusia, sifat-sifat manusia atau perikemanusiaan. Kamus Pelajat Terkini (1996: 315) pula member definisi ‘kemanusiaan’ sebagai hal-hal yang berkaitan dengan manusia; keinsanan. Manakala definisi yang diberikan oleh Kamus Pelajar Lengkap (1997: 278) dan Kamus Harian Federal (1996: 38), ‘kemanusiaan’ ialah mengenai manusia. Akhir sekali, Kamus Dwibahasa Oxford (1999: 186) mendefinisikan ‘kemanusian’ sebagai insani.
            Rumusan kepada definisi-definisi yang diberikan diatas ialah ‘kemanusiaan’ merupakan pertimbangan yang baik dalam segala tindak-tanduk yang sepatutnya diberi atau dibuat kepada manusia lain atas dasar sesame manusia dan insan. Ini bermakna segala tindakan yang akan dilakukan kepada orang lain mestilah difikirkan sebaik-baiknya terlebih dahulu sebelum melakukannya supaya manusia atau insan yang terkena tindakan itu tidak tidak teraniaya.
            Manusia adalah objek yang konkrit yang dapat dapat dilihat dan dibuktikan oleh kebenaran pancaindera. Tetapi kemanusiaan adalah suatu pengertian yang abstrak yang tersembunyi di sebalik perlakuan manusia. Lantaran itu, kemanusiaan hanya dapat dibicarakan oleh akal yang rasional. Kerana itulah kemanusiaan selalu menjadi objek-objek perbahasan yang bersifat falsafah dan keagamaan.
Antara nilai sosial yang terdapat dalam novel Pelangi Jingga adalah hubungan manusia dengan manusia. Terdapat pelbagai nilai sosial dalam novel ini. Antaranya sifat kerjasama, tolong menolong, kasih sayang, sikap mengambil berat dan sebagainya. Kasih sayang merupakan elemen penting dalam hubungan sesame manusia.
Seseorang individu dalam sesebuah institusi masyarakat dapat digambarkan mempunyai hubungan yang rapat. Faktornya ialah kasih sayang. Ikatan kasih sayang dalam konteks ini amat luas sifatnya. Kasih sayang yang terdapat dalam novel ini menunjukkan kasih sayang di antara ibu dan anak, Nurhanim dan Muzafar dan Jidin dan Muzafar. Hal ini dapat dibuktikan melalui petikan ayat :
“ kenapa Surianor? Sakitkah dia? Kali ini Pak Jidin terlantun. Dua beradik itu, walaupun cuma dengan Muzafar dia tahu berkasih sayang, adalah belahan jiwanya satu ketika dahulu. Surianor dia kasihi sama seperti dia menyayangi Muzafar”.
(Pelangi Jingga, halaman 16)
Petikan di atas jelas menunjukkan bahawa Pak Jidin telalu menyayangi Surianor dan juga Muzafar. Semenjak kematian ibu bapa Surianor dan Muzafar, Pak Jidin dan isterinya yang membesarkan dua beradik itu bagai menatang minyak yang penuh.
Seterusnya adalah sikap ambil berat. Muzafar terlalu menyayangi adiknya iaitu Surianor dan terlalu mengambil berat terhadap adiknya itu. Dia tidak pernah putus asa untuk mencari adiknya. Selain itu, Muzafar juga terlalu mengambil berat tentang kehidupan Nurhanim dan anaknya. Pak Jidin dan Abang Khairuddin juga mengambil berat terhadap Muzafar dan adiknya itu. Hal ini dapat dibuktikan melalui petikan:
       “ Beli sikit sahaja, sebab kita pun tak tahu apa kemungkinannya. Semua itu standby kalau-kalau kita kena tidur dalam hutan. Abang Cuma risaukan Pak Jidin. Hutan banat macam tu bukanlah tempat yang sesuai untuk Pak Jidin’.
                                   (Pelangi Jingga, halaman 42)
Petikan di atas jelas menunjukkan bahawa Abang Khairuddindan juga Muzafar mengambil berat tentang kesihatan Pak Jidin. Mereka terlalu risaukan Pak Jidin kerana dia telah berumur dan tidak mempunyai banyak tenaga. 
       “ maafkan saya. Tadi Hanim beritahu, anak-anak demam. Kalau Hanim benarkan, saya nak bawa mereka mendapatkan rawatan. Depan tu tadi saya nampak ada klinik”.
                                 (Pelangi Jingga, halaman 136)
       “Nurhanim tiada telefon bimbit. Hendak dibelikannya satu, itu Nampak sangat. Mujur juga taska tempat tinggalnya ada kemudahan telefon. Setelah diperolehnya nombor telefon taska itu, hamper setiap malam Nurhanim ditelefonnya. Mereka bercakap hal-hal biasa sahaja, kebanyakannya perihal kesihatan anak-anak Nurhanim. Nurhanim menyambutnya dengan baik”.
                                 (Pelangi Jingga, halaman 144)
“ Muzafar yang memadu. Abang Khairuddin di sebelahnya sedang menelefon seseorang, barangkali menelefon Kak Limah. Terdengar Abang Khairuddin memaklumkan pencarian mereka akan mengambil sedikit masa lagi, selain bertanyakan khabar anak-anak.  Abang Khairuddin kelihatan ceria sebaik sahaja selesai perbualan mereka”.
(Pelangi Jingga, halaman 95)
Petikan di atas telah menunjukkan tentang sikap prihatin dan juga sikap ambil berat yang ditunjukkan oleh Muzafar. Dia terlalu mengambil berat tentang kesihatan anak-anak Nurhanim. Dia yang mengantar anak-anak Nurhanim untuk mendapatkan rawatan di klinik. Selain itu, terdapat juga sikap ambil berat yang ditunjukkan oleh sikap Abang Khairuddin. Dia bertanya khabar tentang anak dan isterinya melalui telefon ketika dia sibuk mencari Surianor. Hal ini jelas bahawa, Abang Khairuddin tidak lupa akan tanggungjawabnya untuk keluarganya dan selalu mengingati keluarga walau dimana pun dia berada.
Seterusnya adalah sikap tanggungjawab, tolong menolong dan saling bantu membantu. Bertanggungjawab ialah kewajiban yang dipikul oleh seseorang atas setiap apa jua yang telah diamanahkan kepadanya. Tanggungjawab nilai kemanusiaan yang berat di mana manusia perlu mangambil atau menerima risiko atas segala yang dipertanggungjawabkan. Oleh yang demikian, sebagai hamba di muka bumi ini kita perlu faham dan tahu untuk menunaikan tanggungjawab sama ada dengan Tuhan, ibu bapa, masyarakat, diri sendiri, agama, bangsa dan Negara. Antara petikan yang terdapat dalam novel adalah:
            “ kamu jangan tanya lagi Muzafar. Bulat dah hati Pak Jidin ni nak menolong kamu.
(Pelangi Jingga, halaman 35)
“ hujung minggu pula, cerah sahaja tanah, Muzafar sudah menolongnya menyidai pakaian dan menyapu di halaman rumah, sebelum hilang sekitar jam 11.00. Suriani tahu, sekiranya pagi-pagi lagi anak itu bersegera turun ke tanah membereskan itu ini, bermakna ada janjilah dia dengan Pak Jidinnya”.
(Pelangi Jingga, halaman 27)
Petikan di atas jelas menunjukkan bahawa dia meupakan seorang yang rajin dan suka membantu ibunya. Sebelum Muzafar hendak keluar dengan Pak Jidin, dia terlebih dahulu menyiapkan kerja-kerja rumah. Setelah siap, barulah Muzafar bergegas keluar pergi ke rumah Pak jidin. Ini juga jelas membuktikan bahawa Muzafar merupakan seorang anak yang baik dan juga rajin menolong ibu bapanya. Tanpa disuruh, Muzafar dengan berbesar hati menyiapkan kerja rumah seperti menyapu halaman rumah, menyidai pakaian dan sebagainya.
“ biarlah abang berterus terang. Sebenarnya abang tak pernah pun datang sini. Kelmarin tu abang tipu. Sebabnya abang nak ikut kamu. Abang terpaksa sama-sama menyelamatkan adik kamu. Abang rasa bertanggungjawab. Kalau apa-apa buruk jadi pada dia, abang pun bersalah juga, kerana abang dah tahu”.
(Pelangi Jingga, halaman 52)
 “lalu pertemuan mereka malam itu berakhir dengan Abang Khairuddin mengulangi janjinya untuk membantu Muzafar menyelamatkan Surianor, walau dari sisi apa pun”.
(Pelangi Jingga, halaman 46)
Petikan di atas menunjukkan sikap Abang Khairuddin. Abang Khairuddin menipu Muzafar bahawa dia sudah pergi ke Bukit Tahan, padahal Abang Khairuddin tidak pernah pergi kesana. Abang Khairuddin membertihau Muzafar bahawa dia sudah pergi ke Bukit Tahan kerana, dia berfikir Muzafar akan membenarkan dia ikut kerana beranggapan bahawa pencarian Surianor itu lebih senang dijumpai. Namun, Abang Khairuddin telah berterus terang bahawa dia sangat bertanggungjawab untuk turut mencari Surianor di hutan.
“elok sangatlah Kak Limah datang ni. Saya dengan Pak Jidin pun seminggu dua ni ada hal. Terpaksa ke tempat lain. Bukan apa, minta tolong tengok-tengokkan rumah. Kami ni tak tahu bila baliknya”.
(Pelangi Jingga, halaman 37)
“seisi kampung riuh-rendah. Tidak kira siang atau malam. Semua orang tahu apa peranan mereka. Kaum perempuan membuat kerisik. Ada yang menyiapkan bunga telur di ruang tamu. Orang lelaki menyusun kayu api yang telah siap dibelah sebelumnya. Beberapa orang wanita telah memulakan kerja menghias meja pengantin”.
(Pelangi Jingga, halaman 183 dan 184)
Petikan di atas menunjukkan sikap tolong menolong diantara jiran tetangga dan juga penduduk kampung.  Ramai kaum perempuan dan lelaki turut memeriahkan majlis pernikahan Muzafar dan Nurhanim yang telah diadakan di Kampung. Sikap bekerjasama ini amat penting. Tambahan pula ia dapat menguatkan ikatan di antara penduduk kampung. Hal ini jelas bahawa, sikap seperti ini dapat membuatkan sesuatu perkara dapat diselesaikan da dikerjakan dengan cepat dan jayanya. Seperti, majlis kenduri. Ramai jiran yang datang membantu dan acara itu dapat disiapkan dengan cepat dan mereka dapat bersua muka sesama mereka.
“ Leganya Muzafar dan Abang Khairuddin. Mereka menapak keluar dari balai dengan hati yang lapang. Satu tanggungjawab sudah usai disempurnakan.
(Pelangi Jingga, halaman 155)
       “ada hikmah di sebaliknya, Muzafar. Kampung kita ni selalu dilawati oleh orang kenamaan. Menteri besar kita, pantang dengar kita kena rebut, datang terus dia. Rumah Pak Jidin tu, wajib dia singgah. Makan atas pelantar itulah, duduk bersila. Kak Limah dan kawan-kawannya yang tolong masak”.
(Pelangi Jingga, halaman 115)
 “ sejak itu, berhiba-hiba sahajalah yang Pak Jidin tahu. Makan minumnya mula diuruskan oleh jiran-jirannya terdekat yang belas padanya”.
    (Pelangi Jingga, halaman 31 dan 32)
Petikan di atas menunjukkan sikap Kak Limah dan kawan-kawannya yang saling bantu membantu. Hal ini jelas menunjukkan, semagat saling bantu membantu adalah sangat mulia dan juga penting dalam sesebuah masyarakat. Selain itu, ia juga dapat mengeratkan hubungan silaturrahin di antara masyarakat.







NILAI SOSIAL HUBUNGAN MANUSIA DENGAN MAHA PENCIPTA
Seterusnya adalah hubungan manusia dengan Maha Pencipta. Menurut Mohd Nasir Omar, keimanan kepada Allah adalah teras kepada semua jenis amalan dalam Islam. Ciri etika Islam, keimanan memainkan peranan yang penting dalam membina konsep, pandangan, sikap, gaya berfikir dan sistem tindakan seseorang individu dalam hidupnya. Hal ini dapat dijelaskan melalui jalan cerita dalam novel ini. Semasa berada di dalam hutan, Muzafar, Pak Jidin dan Abang Khairuddin tidak lupa untuk menunaikan suruhan-Nya. Selain itu, mereka juga selalu berdoa agar mereka dapat mencari Surianor. Antara petikan yang terdapat dalam novel ini adalah:
“Berlinang air mata Muzafar saat mengaminkan doa yang dibacakan Pak Jidin sebelum mereka bertolak pagi itu. Doa memohon perlindungan Allah sepanjang kembara yang tidak ketahuan untung nasib mereka nanti. Doa mohon Surianor yang dicari, selamat dibawa pulang”.
(Pelangi Jingga, halaman 47)
Petikan di atas menunjukkan bahawa Muzafar tidak pernah putus asa untuk meminta pertolongannya kepada Allah S.W.T. Muzafar hanya ingin menjejaki adiknya dan ingin membawa pulang Surianor dalam keadaan yang selamat.
“ Muzafar menurut. Tidak sukar untuk mendapat bilik, dan dengan kecepatan luar biasa mereka mengangkut barang-barang peribadi ke dalamnya. Kemudiannya, masing-masing menguruskan diri setelah seharian bermandikan peluh di luar sana. Solat yang mereka niat untuk dijamakkan sebelumnya mereka jamakkan”.
 (Pelangi Jingga, halaman 57)
Petikan tersebut jelas menunjukkan bahawa walaupun penat, Abang Khairuddin, Muzafar dan juga Pak Jidin tetap tidak lupa untuk mengerjakan suruhan dan perintah Tuhan untuk mengerjakan ibadah. Hal ini jelas membuktikan, Muzafar tidak pernah lupa akan suruhan yang Maha Pencipta.
“ Jangan merajuk Muzafar. Air dicencang takkan putus. Tak boleh berbuat apa pun, berdoa tetap boleh. Teruskan berdoa. Allah Maha Mengasihi”.
(Pelangi Jingga, halaman 117)
 “ keluar dari TASKA al-Amin, Muzafar mencari Masjid. Solat Zuhur tidak disempurnakannya lagi, lantaran waktu zuhur belum masuk semasa dia bergegas tadi. Usai bersolat; yang dilaksanakannya bersendirian, Muzafar mengambil masa untuk merenung ke dalam dirinya. Dia bermuhasabah”.
(Pelangi Jingga, halaman 134)
Petikan di atas menunjukkan Muzafar tidak melengah-lengahkan masa untuk menunuaikan solat. Walaupun dia berada dalam keadaan yang sibuk dan terburu-buru, dia selalu menyelesaikan urusannya dengan Maha Pencipta dahulu kerana baginya itu adalah sesuatu amalan yang amat penting baginya.
“ Alhamdulillah. Subhanallah. Kali ini giliran Muzafar pula memanjatkan seribu kesyukuran ke hadrat Allah SWT, atas apa jua rahmat dan kurniaan-Nya sepanjang perjalanannya mencari cinta di atas muka bumi ini”.
(Pelangi Jingga, halaman 161)
Petikan di atas menunjukkan sikap berterima Muzafar Kepada Allah kerana telah memberikan Muzafar kebahagiaan dan juga telah mempertemukan dia dengan jodohnya iaitu Nurhanim. Muzafar memanjatkan syukur ke atas Ilahi kerana memberikan apa yang terbaik untuk Muzafar.


KESIMPULAN
            Berdasarkan kajian yang telah dibuat, sememangnya begitu banyak nilai-nilai sosial yang boleh didapati dalam novel Pelangi Jingga ini.  Keseluruhan bab ini, membuktikan bahawa novel ini mengandungi nilai-nilai sosial seperti kasih sayang, bertanggungjawab, sikap ambil berat, patuh kepada suruhan yang Maha Pencipta dan sebagainya. Hal ini demikian dapat menggugah ataupun menarik minat pembaca.

            Karya sastera yang dihasilkan oleh pengarang mempunyai peranannya yang tersendiri sebagai medium dalam usaha untuk menyampaikan mesej atau amanat yang berguna kepada khalayak pembaca dan masyarakat. Kesusasteraan dapat dijadikan agen pembentukan moral dan etika di samping sebagai satu disiplin. Kesusasteraan itu bukanlah sebagai hiburan dalam melengkapkan jiwa masyarakat, malah perlu disedari dapat membantu mendidik masyarakat kea rah pembentukan nilai-nilai murni. Islam dari segi falsafahnya menyatakan sastera haruslah bertujuan kearah pembentukan peribadi ideal dan menjadi penghubungan ketakwaan kepada Allah. Pengarang perlu menyedari bahawa mereka memainkan peranan penting dalam usaha membantu pembentukan generasi yang bermoral tinggi.

No comments:

Post a Comment