Tuesday 18 March 2014

Pemikiran Dalam Novel Penyeberang Sempadan

PENDAHULUAN

Menurut Baharuddin Zainal (2000), menegaskan bahawa karya yang bernilai yang dapat menjelaskan tema dan persoalan yang penting dan relevan kepada masyarakat, pada masa yang sama juga menonjolkan nilai-nilai keindahan. Selain itu, bidang kesusasteraan merupakan satu apresiasi hidup, ekspresi yang penting dalam diri manusia dan dapat digunakan sebagai alat untuk menyempurnakan kehidupan mereka. Jika berbicara tentang prosa sastera ini tidak terlepas dari melihat tema dan persoalan sampingan yang merupakan gambaran masyarakatnya. Hal ini menunjukkan sastera dan masyarakat tidak dapat dipisahkan. Ini kerana kehidupan masyarakat permasalahan sejagat itulah yang digarap oleh pengarang di dalam karyanya.
Dalam menghasilkan karya-karya sastera, pengarang bebas memaparkan tema dan persoalan-persoalan yang berlaku dalam masyarakat. Hal ni bersesuaian dengan melihat bahawa sastera itu adalah perancangan masyarakat dan budaya. Apabila berbincang tentang tema dan persoalan, biasanya tema dan persoalan lazimnya dipaparkan berkait dengan kasih sayang, kesempitan hidup, cinta dan sebagainya. Dalam kajian ini, pembaca  akan dapat melihat tema dan persoalan serta unsur-unsur ilmu yang terdapat dalam novel yang bertajuk Penyeberang Sempadan hasil karya Anwar Ridhwan yang telah memenangi hadiah pertama Hadiah Sako 3 bagi novel Nasional pada tahun 2002/2007.




TEMA
Menurut Ali Ahmad (1978), tema ialah idea yang mengawal cerita. Tema menjadi panduan kepada pengarang memilih bahan-bahan dalam cerita dan menyusunnya. Tema dalam sebuah cerita tidak dapat dilihat sepenuhnya sehingga cerita itu selesai dibaca. Cara-cara untuk bergerak, berfikir dan bertindak bertentangan diantara satu sama lain, bagaimana cerita itu diselesaikan yang dikemukakan oleh pengarang.
Sahlan Mohd Saman, (1985) menyatakan bahawa tema merupakan satu unsur ekstrinsik atau luaran lazimnya disimpulkan setelah tamat membaca sesebuah karya sastera itu. Menurut Safian Hussain, (1988) dalam Glosari ialah istilah kesusasteraan, tema didefinisikan sebagai idea atau persoalan pokok atau idea yang mengawal sesebuah karya sastera.
Manakala menurut Ramli Isin, (1992) tema adalah gagasan atau pemikiran utama yang akan ditemui atau dirasakan oleh seseorang apabila selesai membaca novel itu. Biasanya tema yang menjadi pemikiran seseorang pengarang berkisar tentang kehidupan manusia samada bersifat kelompok masyarakat atau individu. Sesebuah tema juga biasanya diikuti dengan berbagai-bagai persoalan dan permasalahan.
Bagi Maimunah Haji Omar, (1992) pula tema ialah persoalan utama pada sesuatu kejadian yang berlaku yang dialami oleh sesuatu watak di dalam sebuah cerita yang diutarakan. Ia juga dianggap sebagai pusat penceritaan serta perbincangan dan selalunya dihubungkaitkan dengan masalah yang timbul untuk membangunkan sesebuah cerita yang hendak disampaikan.


PERSOALAN.
            Dalam sesebuah karya pelbagai persoalan ditimbulkan oleh pengarang dalam mengembangkan plot cerita dalam sesebuah novel. Persoalan inilah yang menjadi inti atau binaan kepada plot atau jalan cerita sesebuah novel. Hal ini kerana dalam menghasilkan karya bukan sahaja persoalan utama yang menjadi fokus penceritaan malahan persoalan sampingan turut digarapkan.
            Menurut Ramli Isin dan Razak Mamat, (1980) ‘persoalan’ ialah lebih kecil daripada tema utama. Pada kebiasaannya, ‘persoalan’ ini dimunculkan oleh cerpenis lebih daripada satu dalam sesebuah karya. Kemunculan ‘persoalan’ berhubung dengan tema utama yang menjadi pemikiran dan renungan cerpenisnya. Mereka mengatakan sesuatu ‘persoalan’ dimunculkan dalam sesebuah karya adalah bertujuan untuk menhidupkan lagi penampilan tema utamanya.
            Selain itu, Mana Sikana, (1988) menjelaskan ‘persoalan’ sebagai peristiwa-peristiwa sampingan atau masalah-masalah yang ditimbulkan untuk memperkuatkan tema dan tema pula adalah persoalan yang terpenting dalam sesebuah karya.
TEMA DAN PERSOALAN.
            Tema dalam novel Penyeberang Sempadan ialah pengembaraan Kuay untuk mencari fahaman-fahaman yang baik untuk dijadikan sempadan dan teladan kepada dia dan juga masyarakat kampung Kuala Tuntung. Mula mendapat fahaman ketika berada di Peking. Peking pada ketika itu memegang fahaman komunisme dan sosiolisme yang menjadikan setiap masyarakat di situ setaraf. Kemudian mendapat fahaman demokrasi bebas yang dijalankan di Amerika Syarikat. Pada masa ini, Kuay telah menulis surat kepada kembarnya danmenyatakan bahawa fahaman ini harus dijalankan di kampungnya supaya masyarakat boleh mula berniaga barang pertanian dan boleh mula membina rumah-rumah kedai kemudian sewakannya. Akhirnya, Kuay telah bertemu Syafi’aa dan mengetahui bahawa selama ini fahaman yang diikuti sebenarnya salah. Fahaman Islam merupakan fahaman yang benar dan betul dan harus dijadikan pegangan kepada setiap golongan masyarakat Islam.
            Persoalan dalam novel ini pula ialah bau yang sentiasa mengikuti Kuay semasa dalam pengembaraan ke Peking, Moscow, Amerika Syarikat kemudian bau itu hilang ketika Kuay berada Amman, Kaherah dan Kuala Tuntung. Sebenarnya ‘bau’ itu merupakan simbol fahaman-fahaman yang cuba diungkapan. Seperti:
“bau yang muncul dan lenyap. Lenyap dan muncul di hujung deria ciumannya. Bau yang kadang-kadang begitu cair. Kadang-kadang begitu pekat”
(Penyeberang Sempadan, halaman 2)
“bau itu berkata: Aku hadir dihujung hidungmu untuk kau cium. Bau itu ikut berlari kencang di denai gajah. Melompat banir beringin. Tunduk mengelak dahan dan ranting. Turut bersembunyi daripada dikesan tali barut penjajah”
“bau itu ikut menumpang jong yang dinaikinya di Sai Buri. Bau itu ikut belayar ke Peking. Angin selatan yang kencang, yang menolak layar jong, tidak mampu untuk menerbangkan bau itu dari hujung hidungnya. Bau itu menemaninya di geladak. Di ruang makan. Di kamr tidur kapal yang sempit. Bau itu juga membangunkannya setiap pagi” .
(Penyeberang Sempadan, halaman 3)
“dan bau yang aneh itu tetap mengikut kemana sahaja aku pergi. Bau mayat yang memualkan itu! Di Peking dahulu, bau itu mengikut aku ke pejabat hal ehwal luar Negara China ketika aku membuat pasport untuk ke Moscow” .
“apabila pasport itu siap seminggu kemudian dan aku pergi mengambilnya, bau itu mengepung hujung hidungku. Bau it uterus bertenggek di batang hidungku, ketika aku menyertai teman-teman di stesen kereta api Qianmen untuk ke Moscow melalui darat. Bau itu tidak mahu turun ketika kereta api mula bergerak. Bau itu rela bersesak-sesak dalam gerabak pengap”
(Penyeberang Sempadan, halaman 219)
“Bau” yang sentiasa mengikuti Kuay merupakan fahaman-fahaman atau isme-isme yang cuba Kuay cari dan ikuti.
            Selain itu, kasih sayang antara Kuay dengan keluarganya. Kuay sentiasa berutus surat dengan adik kembarnya. Dalam suratnya juga Kuay sentiasa mengingati ibuya yang bernama Yang Zanariah.
“salam-ku buat ibonda-ku Yang Zanariah yang selalu berada di-dalam ingatan-ku ini. Akan tetapi hanya lambaran ini yang dapat ku- kirimkan sa-bagai chara mengobat sa’at2 rindu-ku kepada semua...”
(Penyeberang Sempadan, halaman 130)
“sembah salam kepada bonda-ku Yang Zanariah walau pun jauh di-saberang lautan, bonda selalu berada di-sebelah-ku. Mudah2an kita akan berjumpa apabila aku balik ke-Malaya melihat hasil perjuangan-ku yang sudah selesai...”
(Penyeberang Sempadan, halaman 342)
“salam yang sangat hangat untok ibu-ku Yang Zanariah serta ingat2an yang sangat dalam kepada-mu...”
(Penyeberang Sempadan, halaman 241)
“Kesturi sampaikan kepada ibunda Yang Zanariah, aku sangat-sangat merinduinya. Aku tidak pernah melupakannya...”
(Penyeberang Sempadan, halaman 394)
Dalam isi surat-surat yang dikirim oleh Kuay kepada Kesturi seperti yang telah diterangkan di atas menunjukkan bahawa Kuay sentiasa mengingati keluarganya terutama ibunya Yang Zanariah.
Sehubungan itu, kasih sayang Kesturi terhadap ibunya juga dapat ditonjolkan dalam novel ini. Ketika Kuay tiada, Kesturi menjaga ibunya yang sedang sakit seperti mana ibunya menjaga mereka sewaktu kecil. Kesturi memandikan, menyucikan dan memberikan ibunya makan.
“kalau Yang Zanariah sakit kepala, Kesturilah yang sapukan minyak ‘Geliga’ , sambil picit-picit dahi Yang Zanariah. Kadang-kadang Kesturi sapu minyak ‘Cap Kapak’ . Kalau Yang Zanariah rasa pening, Kesturilah yang bancuhkan serbuk ‘Cap Kaki Tiga’ dengan air suam dalam gelas...”
(Penyeberang Sempadan, halaman 306) 
“dengan sehelai tuala lembab Kesturi bersihkan muka dan mulut Yang Zanariah. Kemudian Kesturi lap muntah di baju Yang Zanariah, di cadar, dan di lantai. Selepas kesan muntah di lantai itu hilang, Kesturi lap lantai itu dua tiga kali lagi... ”
(Penyeberang Sempadan, halaman 320)
“Soal mandikan Yang Zanariah dia boleh buat. Tenaga lelakinya masih kuat untuk cempung badan Yang Zanariah yang kurus mengecut, bawa ke bilik mandi. Dia boleh pakaikan Yang Zanariah dengan pakaian baru. Bedakkan Yang Zanariah. Kalau Yan tak ada di rumah, kerja menukar lampin Yang Zanariah, atau cuci punggungnya, Kesturi boleh buat. Nak jijik apa? Masa dia kecil dulu, Yang Zanariahlah yang cuci punggungnya...”
(Penyeberang Sempadan, halaman 307)
Selari dengan itu, Kasturi yang telah berkahwin dengan Yan juga menunjukkan kasih sayangnya kepada anak-anak mereka. Selain itu, Yan juga menunjukkan tanggungjawabnya sebagai menantu kepada Yang Zanariah.
“Bagi Yan, jaga emak sendiri atau jaga emak mentua sama saja. Sudah jadi tanggungjawabnya. Dia pernah menjaga emak kandung. Mandikan. Pakaikan baju. Tukarkan kain lampin...”
(Penyeberang Sempadan, halaman 306)
Di sini menunjukkan bahawa Yan memikul tanggungjawabnya untuk menjaga ibu mertuanya sama seperti dia menjaga ibunya sendiri.
Persoalan seterusnya ialah pengorbanan seorang anak. Hal ini dapat dibuktikan ketika Kasturi sanggup berkorban untuk menjaga ibunya yang sakit ketika isterinya yang bernama Yan pergi ke rumah anaknya. Selain itu, pengorbanan yang dapat ditonjolkan ialah ketika Kuay pergi meninggalkan ibunya dan kembarnya untuk pergi mencari fahaman-fahaman tersebut. Pengorbanan Kuay meninggalkan ibu dan kembarnya dapat dilihat dalam perjalanan cerita dalam novel ini sahaja.
“Tengah hari tadi Kesturi masakkan bubur nasi untuk Yang Zanariah. Kesturi campurkan bubur itu dengan bayam, hirisan lobak merah dan ikan bilis sangai...”
(Penyeberang Sempadan, halaman 308)
“Apa yang mak cakap ni,”  Kesturi memotong. “ Kuay memang pergi dari sini, tapi dia tak tinggalkan emak. Dalam surat-suratnya dia tetap ingat mak...”
(Penyeberang Sempadan, halaman 315)
“Mungkin betul...,” suara Yang Zanariah lemah sekali. Suara Yang Zanariah ini, menurur Kesturi, seperti membenarkan penegasannya bahawa Kuay tak pernah berniat meninggalkan Yang Zanariah baik secara zahir mahupun secara batin...”
(Penyeberang Sempadan, halaman 316)
Selain itu, persoalan tentang semangat setia kawan. Ketika Meor menjadi tahanan pihak Inggeris, dia sedaya upaya merahsiakan siapa ketua mereka kerana Kuay merupakan sahabatnya ketika kecil lagi.
“INSPEKTOR: Siapa ketua kamu?
MEOR: (Membisu).
ANGGOTA SB: Cakap, siapa ketua kamu?
MEOR: (Tetap membisu).
INSPEKTOR: Cakap, siapa nama ketua kamu? Raman Manor?
MEOR: (Terus membisu)...”
(Penyeberang Sempadan, halaman 186)
Dalam soal siasat tersebut Meor hanya berdiam diri tanpa menjawab sebarang pertanyaan yang diajukan oleh Inspektor dan Anggota SB.
Sehubungan itu, persoalan setrusnya ialah mengenai keinsafan. Keinsafan ketika wanita yang dikenalinya iaitu Syafi’aa menasihatkan Kuay tentaang fahaman agama yang telah lama Kuay tinggalkan sejak dia pergi mencari fahaman-fahaman dahulu, Syafi’aa telah membuka hati Kuay untuk teruskan fahaman Islam kerana fahaman ini benar dan betul untuk diikuti.
“Benar kata Syafi’aa, isme bikinan manusia baik yang disebut komunisme, sosialisme, dan hatta demokrasi, tetaplah ciptaan manusia yang tidak sempurna. Yang sempurna hanya Tuhan...”
“ Aku berasa, hujah Syafi’aa tentang Islam cepat meresap ke dalam sukmaku...”
(Penyeberang Sempadan, halaman 366 dan 367)
“Aku sudah jauh mengembara dan berjuang, menempuh berbagai-bagai cabaran dan dugaan. Perjalanan panjang itu rupa-rupanya merupakan suatu pencarian bagi menemukan asas perjuangan yang benar. Yang aku maksudkan dengan benar bukanlah benar menurut penilaian manusia. Akan tetapi benar menurut pandangan Allah SWT, Maha Pencipta dan Penguasa bagi seluruh alam dan semua makhluknya yang bersifat baharu...”
(Penyeberang Sempadan, halaman 392)
Dalam ayat-ayat tersebut menunjukkan bahawa Kuay telah menemui jalan kembali menuju kebenaran dan telah dikurniakan hidayah untuk teruskan ajaran Islam yang betul.






ILMU YANG DISAMPAIKAN.
Dalam novel Penyeberang Sempadan terdapat ilmu yang dikaitkan dengan sejarah. Hal ini dapat ditunjukkan pada awal babak dalam novel Penyeberang Sempadan ini. Menurut sejarawan Baverley Southgate (1996), pengertian sejarah dapat didefinisikan sebagai “studi tentang peristiwa di masa lampau”. Dengan demikian,sejarah merupakan peristiwa fakta di masa lampau, bukan kisah rekaan semata. Definisi menurut Baverley Southgate merupakan pemahaman paling sederhana. Pengertian sejarah menurut Baverley menghendaki pemahaman objektif terhadap fakta-fakta sejarah. Kaedah penulisannya menggunakan cerita sejarah dan tidak dibenarkan secara analisis sejarah.
 “beberapa minggu selepas Nagasaki dan Hiroshima diubah menjadi neraka, dengan kepulan cendawan bom atom mencakar langit, mengisyaratkan tentera-tentera Jepun mesti menyerah diri dalam babak akhir perang Dunia Kedua...”
(Penyeberang Sempadan, halaman 29)
“demi untuk kemerdekaan kita berkumpul dan berpisah. Mati dan hidup di tangan Tuhan, tetapi berjuang untuk kemerdekaan!”.
(Penyeberang Sempadan, halaman 43)
“pengganas komunis bukan kolonial, tapi pejuang pembebasan. Mungkin begitu cara dia berfikir. Sebab itulah barangkali, API dan Angkatan Wanita Sedar yang pada mulanya berada di bawah PKMM, menjadi pertubuhan-yang tuan katakan – aliran kiri yang tersendiri...”
  (Penyeberang Sempadan, halaman 85)
Selain itu banyak juga tarikh-tarikh yang menujukkan peristiwa sejarah iaitu sebelum merdeka dan selepas merdeka.


WATAK DAN PERWATAKAN.
Watak utama dalam novel Penyeberang Sempadan ialah Kuay. Kuay mempunyai kembar yang bernama Kesturi. Kuay mempunyai sifat yang bertanggungjawab. Hal ini dapat dibuktikan semasa Kuay menjadi ketua 100 orang lelaki Melayu untuk mempertahankan Tanah Malaya. Ketika itu, ramai anak-anak buahnya telah mati dan cedera ditembak dan Kuay mengarahkan supaya mencari dan membawa mereka yang tercedera ke tempat berlindung. Selain itu, Kuay merupakan seorang yang mudah bergaul. Ketika berada di Peking dia bertemu dengan Bung Suradi. Mereka telah berkawan rapat dan tinggal satu bilik walaupun baru sahaja kenal. Selain itu, sifat mudah bergaulnya juga dapat dilihat ketika Kuay bertemu Syafi’aa di Washington. Kuay dan Syafi’aa terus berhubung dan meneruskan hubungan mereka mendirikan rumah tangga pada umur Kuay 54 tahun.
 Selari dengan itu, Kuay juga mudah menerima teguran. Ketika bertemu Syafi’aa, Kuay telah mendengar nasihat Syafi’aa tentang ajaran agama yang telah lama Kuay tinggalkan. Syafi’aa memberitahu Kuay bahawa semua fahaman yang selama ini dia ikut sebenarnya salah. Kemudian Syafi’aa menasihatinya dan akhirnya Kuay pasrah dan berubah. Selain itu, Kuay juga tidak mudah putus asa. Hal ini dapat dilihat ketika Kuay pergi ke beberapa tempat untuk mencari fahaman-fahaman tersebut. Selain itu, Kuay juga sanggup melakukan apa sahaja asalkan dia dapat ke Moscow. Kuay sanggup bertanding lawan cengkerik dengan Bung Suradi. Padahal Kuay tidak mempunyai pengalaman mengenai cengkerik apaatah lagi perlawanan cengkerik. Akhirnya, Kuay memenangi pertandingan lawan cengkerik tersebut dan dapat pegi ke Moscow.
Watak seterusnya ialah Kesturi. Kesturi mempunyai sifat yang penyayang. Sifat ini dapat ditunjukkan ketika ibunya iaitu Yang Zanariah sakit. Dia menjaga ibunya yang sakit dengan penuh kasih sayang. Dia juga memandikan, menyucikan dan memberi ibunya makan bubur. Kesturi menjaga dan merawat ibunya seperti mana ibunya menjaga dia dan Kuay ketika dia kecil. Selain itu, Kesturi juga seorang yang bertanggungjawab. Kesturi menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang anak apabila ibunya sakit. Kesturi menggantikan semua kerja yang ibunya lakukan. Selari dengan itu, Kesturi juga seorang yang patu pada arahan. Hal ini dapat ditunjukkan ketika Kuay mengirimkan surat kepadanya dan menyuruh Kesturi melakukan apa fahaman yang telah Kuay temui.
PLOT.
Plot mempunyai empat peringkat iaitu permulaan, perkembangan, klimaks dan peleraian. Pada permulaan cerita novel Penyeberang Sempadan ini adalah berlakunya pengembaraan Kuay dari Kuala Tuntung ke Peking, Moscow dan Kaherah. Dia terpaksa meninggalkan ibu dan kembarnya di Kuala Tuntung kerana mahu mencari fahaman-fahaman mengenai komunisme dan sosiolisme. Ketika dia memulakan pengembaraannya, ayahnya telah meninggal dunia kerana ditangkap oleh pihak Inggeris kerana dituduh membunuh kontraktor Inggeris dengan menggunakan lembing. Namun selepas dua minggu ayahnya dihantar dalam keadaan yang tidak bernyawa. Semasa pengembaraannya, dia diganggu oleh ‘bau’ yang sentiasa mengikuti gerak-gerinya. Bau tersebut menimbulkan tanda tanya dan membuatkan Kuay berasa tidak selesa. Namun dia tidak menghiraukan bau yang mengikutinya itu.
            Perkembangan cerita di teruskan dengan Kuay menganggotai Angkatan Pemuda Insaf yang diketuai oleh Leman Kadamad, Raman Manor dan Atan Petakhir. Setelah itu dia juga telah dilantik sebagai kader terbaik dan meneruskan perjuangan API. Dalam pertempuran itu, kaki kiri Kuay terkena tembakan dan bertemu dengan Pak Suparto. Pak Suparto merawat dan menjaganya sehingga kaki kirinya itu pulih. Kemudian bertemu dengan Bung Suradi ketika di Peking. Di Peking, Kuay mendapat sekeping kertas yang tertulis “betul kamu mengakui fahaman ini” . Dia mula tertanya-tanya siapa yang mengirimkan ayat tersebut. Namun Kuay tetap meneruskan pengembaraannya. Sudah hampir empat tahun Kuay bekerja di kilang pakaian milik parti yang terletak di Barat Peking. Ketua kilang ingin menghantar salah seorang komrad menyertai delegasi lima belas komrad antarabangsa ke Moscow. Kuay terpaksa bertanding lawan cengkerik dengan Bung Suradi kerana hanya pemenang yang akan terpilih untuk menyertai komrad ke Moscow. Akhirnya, Kuay menang dalam pertandingan lawan cengkerik itu. Setibanya di Moscow, bau itu menggangu Kuay lagi. Bau itu terus mengekori Kuay. Seterusnya, semasa berada di Moscow Kuay menulis surat kepada Kesturi dan menceritakan tentang fahaman demokrasi yang ditemui di Amerika Syarikat.
Pada peringkat klimaks, Meor ditembak dan jatuh ke cenuram. Meor berasa sangat bertuah kerana dia masih diberikan nafas oleh Allah. Dia dijadikan orang tahanan pihak polis. Pada mulanya Meor tidak mahu menjawab pertanyaan inspektor dan anggota special branch. Selepas pada itu, Meor terpaksa mengaku kerana pistol telah diacukan ke dalam mulut Meor dengan kasar dan Meor akur kerana takut dengan paksaan tersebut. Selepas itu, iklan penangkapan Kuay dikeluarkan dengan tawaran yang berbentuk wang. Meor mula berpakat dengan anggota polis untuk mencari dan menjejaki keberadaan Kuay. Meor mula pergi ke rumah limas Yang Zanariah. Meor bertemu dengan kembar Kuay iaitu Kesturi. Dia mula mengatur strategi untuk mencari maklumat mengenai Kuay. Seterusnya, Kesturi memberikan surat-surat yang dikirimkan oleh Kuay kepada Meor. Di situ, Meor dapat tahu dimana kedudukan Kuay. Ketika di Washington, Kuay bertemu dengan Syafi’aa iaitu pelarian Palestin. Syafi’aa merupakan penganut ajaran agama Islam. Selama mereka berkenalan Syafi’aa banyak berkongsi cerita tentang ajara Islam kepada Kuay. Kuay menerima sedikit demi sedikit pandangan yang dijelaskan oleh Syafi’aa. Hal ini membuatkan Kuay percaya akan kewujudan dan kebasaran kuasa-Nya. Kemudian, anggota polis mula mencari Kuay dan Kuay ditangkap di Jordan.
Pada peringkat peleraian, Kuay telah menerima fahaman Islam dan memberitahu Kesturi melalui suratnya bahawa dia telah jauh mengembara dan berjuang menempuhi pelbagai cabaran dan dugaan. Perjalanan panjang itu rupa-rupanya merupakan suatu pencarian bagi menemukan asas perjuangan yang benar. Pada suratnya juga, Kuay menyatakan bahawa yang dimaksudkan dengan benar bukanlah benar menurut penilaian manusia. Akan tetapi benar menurut pandangan Allah SWT. Kuay telah dibebaskan dan menjadi seorang insan yang berpegang pada fahaman Islam. Kuay pulang ke kampung dengan membawa Syafi’aa sebagai isterinya. Mereka banyak membuat perancangan untuk membina masjid dan menerima ilmu agama dengan betul. Syafi’aa telah menjadi ustazah dalam kampung tersebut dan menyampaikan ilmu agama. Kuay dan Syafi’aa tinggal di rumah pusaka ibu Kuay yang dijaga oleh Yan sejak kematian Kesturi dan Yang Zanariah.










SUDUT PANDANGAN PENGARANG
Novel yang memenangi tempat pertama Hadiah Sako kali ke-3 ini telah dikreatifkan oleh Dr. Anwar melalui ‘bau’ yang mengekori Kuay, seorang lelaki yang telah lama meninggalkan tanah air, ke mana-mana sahaja dia pergi. Namun, bau itu tidak mengekorinya apabila dia tiba di tanah haram Mekah, Amman dan Kuala Tuntung. Bau yang diangkat dalam novel ini sebenarnya melambangkan ideologi-ideologi ciptaan manusia. Ada negara yang memegang fahaman kolonialisme, sosiolisme, demokrasi, Islam liberal dan sebagainya. Apabila Kuay tiba di tanah haram, isme-isme yang dicipta oleh manusia terhenti kerana, konotasi yang dibawa melalui bau itu adalah, tanah haram cuma ada fahaman tentang agama, fahaman tentang Allah swt. Maka, isme yang digambarkan melalui bau itu, tidak memiliki apa-apa kesan atau kelebihan terhadap fahaman bertuhan, yakni fahaman tertinggi dalam diri manusia.
            Secara sinikalnya juga, Dr. Anwar Ridhwan mengangkat tentang isu bangsa dan budaya kita di tanah air. Soalnya, mengapa kita tidak mahu kembali kepada kegemilangan yang pernah kita genggam ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka dahulu? Mengapa kita membenarkan peralihan isme-isme yang mengalir bebas dalam diri bangsa? Mengapa kita masih lagi memegang isme yang dibawa penjajah sedangkan sejarah kita sendiri lebih gemilang suatu masa dahulu dengan perdagangannya yang terkenal, pemikir yang cendekiawan, Bahasa Melayu yang menjadi lingua franca, undang-undang yang hebat seperti Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka juga kesultanan yang bijaksana dan berdaulat.
            Bentuk novel ini juga amat menarik dari segi penyusunan naratifnya. Pada bab-bab yang ganjil; 1,3,5 Dr. Anwar meletakkan sudut pandangan Kuay bagi menggerakkan cerita. Pada bab-bab genap; 2,4,6 pula beliau meletakkan sudut pandangan para penyiasat.
KESIMPULAN.
            Konklusinya, Kuay tidak perlu mencari fahaman-fahaman atau isme-isme tersebut kerana dalam jati dirinya sudah wujud fahaman Islam yang menjadi pegangnya sejak kecil lagi. Tambahan pula, dari kecil dia sudah diajar mendekatkan diri kepada Allah SWT. Hal ini dapat dibuktikan melalui jalan cerita yang menjelaskan bahawa Kuay telah beberapa kali khatam al-Quran. Selain itu juga dia tidak pernah lupa untuk menunaikan solat.
            Seterusnya, fahaman Islam merupakan Fikrah dan kefahaman Islam yang betul dan sahih tidak boleh di selewengkan dengan kefahaman-kefahaman asing yang dibawa oleh musuh-musuh Islam untuk merosakkan akidah Islam dan mengelirukan umat Islam mengenai ajaran Islam yang sebenar. Menurut fahaman mereka untuk membentuk sistem pemerintahan ia adalah fahaman dan bikinan manusia. Apa yang dilakukan itu adalah pilihan manusia dan bukan telah ditetapkan oleh Tuhan dan syariat. Padahal dalam Islam sudah lengkap segalanya termasuk sistem perundangan dan sistem politik. Namun bagi mereka sistem politik mereka adalah mengikut akal dan hawa nafsu semata-mata selain perlu bebas dan tidak terikat dengan mana-mana autoriti.

Oleh itu, fahaman-fahaman seperti komunisme, sosialisme, demokrasi bebas tidak perlu dicari kerana ia tidak membawa sebarang kebaikan dalam kehidupan manusia. Hal ini demikian kerana fahaman-fahaman tersebut hanyalah buatan manusia semata-mata. Fahaman-fahaman seperti itu boleh mewujudkan ketidaksefahaman diantara masyarakat setempat. Oleh itu, jelaslah bahawa tiada yang benar melainkan yang benar di sisi-Nya.

2 comments:

  1. assalamualaikum. saya pelajar peringkat pra-universiti. saya berhasrat untuk mengkaji novel ini untuk mini-thesis saya. bolehkah saya meminjam bku ini daripada pihak saudari ? sebarang maklum balas dan perhatian amatlah dihargai. emel saya : aequoi@yahoo.com

    ReplyDelete
  2. assalamualaikum. saya pelajar peringkat pra-universiti. saya berhasrat untuk mengkaji novel ini untuk mini-thesis saya. bolehkah saya meminjam bku ini daripada pihak saudari ? sebarang maklum balas dan perhatian amatlah dihargai. emel saya : aequoi@yahoo.com

    ReplyDelete