PENGENALAN
Dalam
pembentukan sebuah ayat diperlukan kata. Seterusnya kata itu dirangkai dengan
kata yang lain menjadi frasa, lalu frasa digabungkan dengan frasa yang lain
menjadi klausa atau ayat. Jadi, ayat dibentuk bermula daripada penyusunan perkataan-perkataan
untuk membentuk frasa, klausa dan seterusnya ayat. Bahagian atau cabang dalam
linguistik yang mengkaji pembentukan ayat inilah yang dikenal sebagai
sintaksis.
Sintaksis
merupakan subsistem tatabahasa. Bahasa adalah satu system. Hal ini demikian
kerana dalam bahasa terdapat sistem bunyi, sistem bagaimana kata-kata disusun
menjadi ayat dan sistem makna. Jadi, dalam bahasa terdapat tiga sistem iaitu sistem
fonologi, tatabahasa dan juga semantik. Sintaksis sebagai subsistem bahasa
bukan saja membicarakan selok-belok ayat tetapi juga membicarakan selok-belok
frasa dan klausa. Oleh itu, pembicaraan sintaksis itu daripada frasa hingga
ayat.
Ayat
terdiri daripada unsur klausa dan intonasi. Intonasi dapat menentukan jenis
ayat yang digunakan. Apabila sesuatu ayat itu dipandang dari jenis tindak balas
yang diharapkan daripada ujaran tertentu, maka ayat dapat dibahagikan kepada
empat jenis iaitu ayat penyata, ayat tanya, ayat perintah dan ayat seruan.
Keempat-empat jenis ayat yang didasarkan pada intonasi dan makna yang
dinyatakan oleh ayat tersebut. Ayat
menurut Nik Safiah Karim (1993:414), ialah unit pengucapan yang paling
tinggi letaknya dalam susunan tatabahasa dan mengandungi makna yang lengkap.
Menurut
istilah, sintaksis ialah bidang ilmu bahasa yang mengkaji bentuk, struktur dan
binaan atau konstruksi ayat (Nik Safiah Karim, 1993:317). Bagi Abdullah Hassan
(1980:164), sintaksis merupakan istilah untuk mengkaji pembentukan ayat iaitu
bagaimana morfem dan kata disusun menjadi unit sintaksis yang kecil iaitu
frasa, atau menjadi klausa dan ayat merupakan unit terbesar.
Sintaksis
merupakan satu bidang bahasa yang tugasnya mengkaji rumus-rumus yang
menerbitkan ayat-ayat gramatis sesuatu bahasa serta hukum-hukum tentang susunan
kata yang menyebabkan terjadinya ayat sebagai sesuatu bentuk binaan bahasa yang
sempurna. Terdapat pelbagai definisi yang telah diberikan untuk bidang ini.
Menurut
Samsu Yaacob pula, dalam Senarai Semak Sistem Ejaan dan Tatabahasa Bahasa Melayu ( Edisi Kemas Kini
), sintaksis adalah suatu bidang linguistik
yang mengkaji proses-proses pembinaan ayat. Unsur-unsur yang terdapat
dalam binaan sintaksis ialah frasa dan klausa. Gabungan frasa dan klausa akan
menghasilkan ayat yang dapat berfungsi dan bermakna. Sintaksis adalah suatu kajian
tentang hukum atau rumus tatabahasa yang mengkaji kaedah penggabungan dan
penyusunan perkataan untuk membentuk ayat dalam sesuatu bahasa (Nik Safiah
Karim dalam Tatabahasa Dewan Edisi 3).
Menurut Syarifah Nor Syed merujuk
kepada Bahasa Melayu Teks Rujukan Lengkap STPM, sintaksis dijelaskan sebagai satu bidang ilmu bahasa
yang mengkaji proses pembinaan ayat. Kajian yang dimaksudkan ialah merangkumi
kajian tentang hukum tatabahasa
berkaitan kaedah pengabungan dan penyusunan perkataan untuk menghasilkan
sesuatu ayat yang gramatis dan bermakna.
Oleh
itu, sintaksis boleh dijelaskan sebagai suatu bidang ilmu linguistik yang
mengkaji proses pembinaan ayat. Binaan sintaksis ini seharusnya terdiri
daripada beberapa unsur seperti frasa dan klausa atau subjek dan predikat.
Proses pembinaan ayat ini didasari hukum dan peraturan yang tertentu agar
ayat-ayat yang dihasilkan mengandungi makna yang lengkap dan difahami.
Pembinaan ayat yang gramatis sewajarnya saling dilengkapi frasa nama, frasa kerja, frasa adjektif
atau frasa sendi nama yang digabungkan
dengan klausa bebas atau klausa tidak bebas.
Ayat
ialah konstuksi sintaksis yang bebas dan tidak merupakan konsituen daripada
konstruksi sintaksis yang lebih besar. Jadi, ayat itu terdiri daripada dua
unsur iaitu klausa dan intonasi. Intonasinya dapat berupa intonasi berita,
intonasi tanya, intonasi perintah dan intonasi seruan. Klausanya boleh terdiri
daripada satu klausa atau lebih. Ayat yang hanya terdiri daripada satu klausa
disebut ayat tunggal, manakala ayat yang terdiri daripada satu klausa disebut
ayat majmuk. Sesebuah ayat itu harus mengandungi makna kerana sesebuah ayat
yang gramatis ialah ayat yang sempurna dari segi bentuk dan maknanya. Dalam
sintaksis, makna ayat ditinjau dari sudut makna linguistik.
Objektif kertas kajian adalah untuk menjelaskan
konsep dan ciri ciri ayat ayat tanya, ayat penyata, ayat seru dan ayat perintah
yang terkandung dalam novel Orang Kota
Bharu karya S. Othman Kelantan. Seterusnya, pengkaji juga akan memberikan contoh-contoh
ayat yang terdapat dalam novel Orang Kota
Bharu.
Bahasa
Melayu mempunyai berbagai-bagai jenis ayat untuk menyatakan maksud yang sama.
Ciri-ciri ini menyebabkan bahasa Melayu merupakan sebuah bahasa yang sentiasa
hidup serta menarik. Jika hanya satu jenis ayat saja yang digunakan akan timbul
rasa jemu pada pembaca. Oleh sebab itu, sasterawan dan penulis yang baik selalu
menggunakan jenis-jenis ayat yang lain, sesuai dengan keperluan.
KONSEP
AYAT PENYATA, AYAT TANYA, AYAT PERINTAH DAN AYAT SERUAN
Ayat
Penyata
Tatabahasa
Dewan menyatakan ayat penyata merupakan suatu ayat yang diucapkan atau
diperkatakan dengan maksud membuat satu
pernyataan. Ayat penyata yang diucapkan adalah bertujuan untuk menyatakan
keterangan tentang sesuatu hal atau perkara. Selain itu, ayat berita atau ayat
keterangan turut dikenali sebagai ayat penyata (Nik Safiah Karim,1996:422).
Tatabahasa Bahasa Malaysia pula menyatakan ayat penyata dari segi makna dan
intonasi. Dari segi makna, bermaksud ayat yang memberikan keterangan atau
menyatakan sesuatu hal atau perkara yang menunjukkan keterangan. Dari segi
intonasi pula, buku tersebut telah menyatakan ayat penyata merupakan suatu ayat
yang diucapkan dengan intonasi sederhana yang diakhiri dengan nada penutup
menurun. Nahu Melayu Moden pula yang menggunakan istilah ayat berita
menyatakan ayat yang menceritakan atau
memperlihatkan suatu kejadian atau peristiwa, pandangan atau perasaan
seseorang.
Menurut
Nik Safiah Karim (1993 : 47), ayat penyata ialah ayat yang diucapkan dengan
maksud membuat satu pernyataan. Ayat yang penyata mempunyai tujuan menyatakan
atau memberi keterangan tentang sesuatu hal. Ayat jenis ini disebut juga
sebagai ayat berita atau ayat keterangan. Ayat ini diujarkan oleh penutur atau
penulis untuk mengatakan atau memberikan maklumat atau berita kepada pendengar
atau pembaca.
Ayat
ini diujarkan tanpa mengharapkan jawapan atau gerak balas, sama ada yang
bersifat kebahasaan atau yang bersifat perbuatan. Oleh itu, ayat penyata
dapatlah dianggap sebagai ayat untuk melaporkan hal apa pun. Ayat yang
bertujuan memberikan keterangan atau menyatakan sesuatu perkara, benda atau
orang. Ayat ini turut disebut sebagai ayat berita atau ayat keterangan dan bertujuan
untuk menerangkan sesuatu perkara maka kadar intonasinya adalah sederhana dan
diakhiri dengan nada penutup turun. Subjek ialah unsur yang hadir pada awal
ayat atau yang diterangkan dan predikat pula unsur yang hadir selepas subjek
atau yang menerangkan. Struktur ayat penyata boleh terdiri dari ayat tunggal
atau ayat majmuk.
Ayat
Tanya
Sebenarnya,
bagi menjelaskan maksud ayat tanya, pelbagai tafsiran dan pendapat telah
dikemukakan oleh ahli-ahli bahasa. Menurut Nik Safiah (1986 : 47), ayat tanya
ialah ayat yang digunakan untuk tujuan menanyakan sesuatu hal. Selain itu, pada
setiap akhir ayat tanya ini akan diberi satu tanda soal (?). Tanda soal yang
digunakan di dalam bahasa tulisan ini sebenarnya berupa nada yang tertutup yang
meninggi sebelum disambut oleh kesenyapan. Arbak
Othman pula (1985 : 112) menyatakan bahawa ayat ini biasanya dibawakan oleh
pola sebutan yang diakhiri dengan nada penutup meninggi, atau nada penutup
menurun yang didahului oleh nada meninggi pada perkataan yang mengakhiri ayat
tanya itu. Menurut beliau lagi, ayat tanya mudah dikenali dengan adanya
penggunaan kata tanya seperti mengapa, kenapa, siapa, bagaimana, bila dan
lain-lain lagi.
Ahmad mahmood Musanif (1998:37)
menyatakan bahawa dalam Bahasa Melayu, ayat tanya mempunyai nada yang meninggi
sedikit sebelum kesenyapan terakhir dari sudut fonetik. Hal ini demikian kerana
kajian ayat tanya dari sudut nahu bermaksud ayat-ayat tanya diberikan
penjelasan berdasarkan criteria nahu semata-mata. Ayat tanya diberi takrif dan
perincian menurut golongan dan subgolongannya berdasarkan ciri-ciri struktur,
sistem dan maknanya dan segi nahu.
Sutan Takdir (1961:46) manyatakan
bahawa tidak banyak perbezaan yang ketara antara kalimat tanya dan kalimat
berita. Perbezaan hanya berlaku pada lagu atau intonasi suara, iaitu intonasi
kalimat tanya biasanya agak menaik pada akhir ayat. Kata penghabisan bagi
kalimat tanya pula mempunyai suara getar yang dinamakan getar tanya. Menurut
Liaw Yock Fang dan Abdullah Hassan (1994:224) pula, ayat tanya ialah ayat yang
digunakan untuk meminta jawapan atau keterangan tentang sesuatu.
Menurut Arbak Othman lagi, ayat
tanya mudah dikenali dengan adanya penggunaan kata seperti mengapa, bagaimana,
bila, kenapa, siapa, berapa. Untuk tujuan mengeraskan maksud, akhiran-kah boleh
diberi kepada mana-mana perkataan yang mahu ditekankan maksudnya. Keterangan
Arbak Othman ini dipersetujui oleh Nik Safiah Karim (1993:422) yang menyatakan
bahawa ayat tanya ialah ayat yang digunakan untuk tujuan menanyakan sesuatu
hal. Nik Safiah juga menekankan bahawa nada suara dan penggunaan perkataan penting
dalam ayat tanya.
Ayat
Perintah
Menurut
Nik Safiah (1993 : 53), ayat perintah ialah ayat yang diucapkan dengan tujuan
untuk menimbulkan sesuatu tindakan. Perintah ditujukan kepada orang kedua.
Berdasarkan perkataan yang digunakan, ayat perintah boleh dibahagikan kepada
empat jenis iaitu ayat suruhan, ayat larangan, ayat silaan dan ayat permintaan.
Dalam
ayat suruhan, subjek ialah ganti nama orang kedua seperti awak, kamu, engkau
dan sebagainya yang biasanya digugurkan. Walau bagaimanapun, kerana tujuan
penegasan, subjek juga boleh diucapkan. Ayat perintah dapat dibahagikan kepada
empat ayat iaitu ayat suruhan, ayat permintaan, ayat silaan dan ayat larangan.
Ayat
Seruan
Arbak
Othman dalam bukunya ‘Nahu Bahasa Melayu’ (1989 : 115), menyatakan ayat seruan
ialah ayat yang diucapkan dengan membawa nada atau intonasi seruan untuk tujuan
melahirkan suatu keadaan perasaan seperti takut, marah, takjub, geram, sakit,
dan sebagainya. Intonasi seruan ini digambarkan dalam tulisan dengan tanda seru
(!) yang biasanya terletak di akhir ayat, sama ada ayat itu didahului oleh kata
seru atau tidak. Kata seru yang sering digunakan ialah oh, amboi, wah, cis, eh,
aduh, syabas dan sebagainya. Liaw Yock Fang dan Abdullah Hassan (1994 : 231)
menyatakan ayat seruan ialah ayat yang dibentuk daripada kata seryuan untuk
menyatakan perasaan hairan, marah, takut, benci dan suka. Kata seruan yang
sering digunakan termasuklah adoi, aduh, amboi, cis, eh, oh, hei, wah dan
sebagainya.
Asmah
Haji Omar (1993 : 413) memberi maksud ayat seruan iaitu, seruan merupakan
gabungan modus perintah dan berita, menurut situasi penggunaannya. Seruan
biasanya ditandai oleh intonasi seruan yang mempunyai tekanan keras yang disertai
dengan nada yang meninggi yang menurun sebelum kesenyapan. Dalam tulisan,
intonasi seru digambarkan dengan tanda seru (!). Tarigan (1993:68) telah
menggunakan istilah kalimat seruan semasa mengemukakan definisi tentang ayat
seruan. Menurut beliau, kalimat seruan adalah kalimat pendek yang biasa berpola
tetap dengan intonasi tertentu, timbul dari beberapa kejadian yang tidak diduga
dalam konteks linguistik atau non-linguistik.
Abdul
Hamid Mahmood, (1999 : 163), menyatakan bahawa dalam ayat seruan, tanda seru
diletakkan di hujung ayat, dan bukan selepas kata seru di awal ayat. Kata seru
diletakkan di hujung ayat kerana yang diseur itu ialah perasaan daripada makna
seluruh ayat dan bukannya makna kata seru itu sahaja. Andainya tanda seru itu
diletak selepas kata seru, maka ayat itu dianggap tidak gramatis kerana kata
itu sahaja diseur, bukan seluruh perasaan yang didukung oleh ayat tersebut.
Oleh
itu, sebagai pemahamam pengkaji, berdasarkan beberapa definisi yang dipetik
daripada ahli-ahli bahasa, kita dapat rumuskan bahawa ayat seruan ialah ayat
yang diucapkan dengan tujuan melahirkan pelbagai keadaan perasaan seperti
terkejut, hairan, geram, marah, sedih, seronok dan sebagainya yang ditandai
dengan pelbagai kata seru untuk menyatakan perasaan tersebut.
AYAT
PENYATA
Ayat
ini diujarkan tanpa mengharapkan jawapan atau gerak balas, sama ada yang
bersifat kebahasaan atau yang bersifat perbuatan. Oleh itu, ayat penyata
dapatlah dianggap sebagai ayat untuk melaporkan hal apa pun.Antara contoh ayat
penyata ialah:
1.
Rumah
jiran saya dimasuki pencuri semalam.
2.
Nadiah
jurutaip.
3.
Abdullah
sedang tidur.
4.
Cempaka
itu wangi.
Antara
contoh-contoh ayat penyata yang terdapat dalam novel Orang Kota Bharu karya S.
Othman Kelantan ialah :
1.
Ini
gasing uri. (halaman 238)
2.
Uri
itu maknanya pusingan. (halaman 238)
3.
Pak
Ali, tukang cat. (halaman 421)
4.
Mereka
orang miskin. (halaman 421)
5.
Hawa
Binti Samat, menjadi peraih emas dalam Pasar Besar Kota Bharu. (halaman 70)
6.
Wakaf
Tok Kassim terletak di Kampung Tebing Tinggi. (halaman 85)
7.
Wakaf
Tok Kassim berjarak lapan batu dari Kota Bharu. (halaman 89)
8.
Katherine
menghidupkan alat rakamannya. (halaman 215)
Berdasarkan
petikan di atas, ayat tersebut menjelaskan bahawa ayat yang diungkakan adalah
dengan membawa maksud untuk menerangkan sesuatu. Petikan tersebut mengandungi
unsur subjek dan predikat. Sebagai contoh, petikan (3), ayat tersebut
menjelaskan bahawa Pak Ali itu sebagai tukang cat. Hal ini bermakna, ayat
tersebut telah memberikan maksud yang sudahpun difahami oleh pembaca. Sama juga
dengan contoh-contoh ayat yang lain, ayat berikut sudahpun lengkap dan ia tidak
patut ditanyakan lagi untuk mendapatkan sesuatu jawapan.
AYAT
TANYA.
Ayat tanya dapat digolongkan kepada
dua jenis iaitu ayat tanya tanpa kata tanya dan ayat tanya dengan kata tanya.
Ayat
Tanya Tanpa Kata Tanya
Menurut
Nik Safiah (1993 : 47), ayat tanya tanpa kata tanya ialah ayat yang lazimnya
diucapkan dengan nada suara meninggi sebelum kesenyapan akhir ayat. Dalam
tulisan, nada tanya ini dilambangkan dengan tanda soal ( Nik Safiah Karim :
1993 : 423). Antara contoh ayat tanya tanpa kata tanya ialah:
1.
Puan
Mariam suri rumah?
2.
Adik
masih menangis?
3.
Dia
tersenyum?
4.
Anuar
menjadi pelukis?
5.
Emak
membasuh kain?
Contoh
ayat tanya tanpa kata tanya yang terdapat dalam novel Orang Kota Bharu karya S.
Othman Kelantan ialah :
1.
Tak jadi tutup? (halaman 272)
2.
Alah yang baru naik perahu tu? (halaman
82)
3.
Kau pun bawa mat salih ke mari? (halaman
197)
4.
Boleh? (halaman 60)
5.
50 sen? (halaman 77)
6.
Masihkah lagi kau ada kampung? (halaman
296)
Dalam
contoh ayat di atas, jelas menunjukkan bahawa ayat tanya tanpa kata tanya.
Dalam contoh ayat tersebut, ia tidak menggunakan perkataan apa, siapa, mana,
bagaimana dan sebagainya bagi mengajukan sesuatu soalan. Pihak yang bertanya
meminta jawapan ataupun mengharapkan pihak yang dilayan bercakap itu memberikan
keterangan tentang sesuatu yang ia belum pasti atau tidak diketahuinya. Namun,
ayat jenis ini tidak menggunakan sebarang kata tanya yang mengiringinya sama
ada di depan, di tengah atau di awal ayat. Jelas terbukti bahawa ayat tanya
jenis ini hanya dibezakan oleh intonasi tanya dan digolongkan sebagai ayat
tanya tanpa kata tanya.
Selain
itu, cara penggolongan yang berdasarkan strukturnya, ayat tanya juga boleh
dilihat dari segi jawapan yang dikehendaki iaitu sama ada ayat tanya tertutup
ataupun ayat tanya terbuka. Ayat tanya tertutup ialah ayat tanya yang
memerlukan jawapan ya atau tidak/bukan, dan ayat tanya terbuka ialah ayat tanya
yang jawapannya tidak terhad kepada perkataan ya atau bukan/tidak
tetapi sebaliknya bergantung pada maksud yang terkandung dalam ayat tanya
tersebut. Ayat tanya jenis ini ialah ayat tanya yang jawapannya tidak terhad
kepada perkataan ya, bukan atau tidak tetapi bergantung kepada maksud
yang terdapat dalam ayat tanya tersebut (Nik Safiah Karim, 1993:427).
Ayat
tanya jenis ini ditandai dengan adanya kata tanya yang bersifat menggantikan
kata-kata yang ditanyakan. Selain itu, ayat tanya jenis ini wujud dengan
kehadiran kata tanya seperti apa, bagaimana, berapa, bila, siapa, mana, kenapa,
di mana, yang mana.Berikut ialah contoh-contoh ayat tanya tertutup:
1.
Adakah
air itu panas?
Ya, air itu panas.
2.
Air
itu panas?
Tidak, air itu tidak panas.
Contoh-contoh
ayat tanya tertutup yang terdapat dalam novel Orang Kota Bharu karya S. Othman
Kelantan ialah :
1.
Jadi,
kau pun bawa mat salih ke mari?
Ya.
(halaman 197)
2.
Maafkan
saya?
Ya,
tidak apa. (halaman 201)
3.
Mereka
didatangkan dari Siam?
Tidak.
Semua orang Siam itu dari Kampung Terbak, Tumpat. (halaman 206)
Petikan
dialog di atas jelas menunjukkan bahawa ayat tanya tertutup. Dalam dialog
tersebut, jawapan yang diujarkan oleh seseorang yang hanya mengujarkan
perkataan ya, dan tidak sahaja sebagai jawapan. Soalan yang diujarkan oleh
penutur itu adalah hanya memerlukan jawapan ya atau tidak sahaja. Itu sudah pun
menjawab persolan yang ingin deketahui olehnya.
Pertanyaan terbuka mendapat cirri
‘terbuka’nya itu dari jawapan yang dimintanya. Jawapannya tidak terbatas kepada
satu-satu jenis tertentu. Contoh ayat tanya terbuka ialah:
1.
Encik
nama apa?
Kamal Yaakub.
2.
Tinggal
di mana?
Kuala Lumpur.
Antara
contoh ayat tanya yang terdapat dalam novel Orang Kota Bharu karya S.Othman
Kelantan ialah:
1.
Letak
di mana?
Depan Balai Polis. (halaman 411)
2.
Pukul
berapa air naik?
Waktu itu satu setengah. (halaman 411)
3.
Encik
nama apa?
Raja Ismail. Ayah nama Raja Omar.
(halaman 56)
4.
Bagaimana
Akub?
Tak teruk sangat. (halaman 134)
Petikan
tersebut jelas bahawa ayat tanya terbuka boleh menerima pelbagai jawapan yang
pelbagai. Soalan yang ditanya perlu dijawab dan jawapan itu meluas.
Ayat
Tanya Dengan Kata Tanya
Menurut
Nik Safiah (1993 : 50), ayat tanya dengan kata tanya ialah ayat tanya yang
menggunakan kata tanya seperti apa, siapa, berapa, mengapa, bagaimana dan
selainnya. Ayat-ayat jenis ini terdiri daripada dua golongan iaitu:
a) Ayat
tanya dengan ganti nama tanya
b) Ayat
tanya dengan frasa sendi nama tanya
Bagi
ayat tanya dengan ganti tanya, Nik Safiah Karim (1993) menjelaskan bahawa
ayat-ayat jenis ini mengandungi kata ganti nama tanya seperti apa, siapa dan
mana. Bagi ayat tanya jenis ini, disampig ciri intonasi, kata ganti nama tanya
yang terdapat dalam ayat itu sendiri menjadi penanda ayat tanya sebagai nahuan.
Kata ganti nama boleh muncul di mana-mana tempat dalam ayat kerana kedudukannya
dalam ayat bahasa Melayu tidak terbatas seperti bahasa Eropah moden.
Contoh
ayat, ‘berapa lama lagi harus kita
menunggu kedatangannya?’, ganti nama tanya ‘berapa’ yang muncul di awal ayat bukan sahaja berperanan sebagai
perwujudan judul yang mendukung makna nahuan, tetapi dengan serentaknya meminta
maklumat baru tentang proposisi yang terkandung dalam bahagian ayat yang
selebihnya. Tegasnya, ganti nama tanya yang menandai ayat tanya ini secara
nahuan itu bukan menyampaikan maklumat baru tetapi menunjukkan penanda fokus
pembeza yang meminta maklumat baru. Dalam susunan biasa, kata ganti nama tanya
menduduki unsur predikat seperti ayat-ayat :
1.
Benda
itu apa?
2.
Gurunya
siapa?
3.
Adik
awak mana?
Contoh
ayat yang terdapat dalam novel Orang Kota Bharu karya S. Othman Kelantan ialah
:
1.
Encik
nama siapa? (halaman 56)
2.
Pergi
dengan siapa? (halaman 460)
3.
Kita
hendak ke mana? (halaman 205)
4.
Apa
yang sudah berlaku? (halaman 160)
5.
Apa
yang kau lakukan? (halaman 160)
Petikan
di atas menunjukkan ayat tanya dengan ganti nama tanya. Hal ini dapat
dijelaskan melalui ayat (1) dan (2), siapa
itu telah pun menunjukkan ganti nama tanya.
Namun
begitu, bentuk ayat-ayat tersebut merupakan bentuk bahasa lisan. Bagi bentuk
bahasa tulisan, ayat-ayat tersebut perlu menerima partikel –kah pada unsur yang
dikedepankan seperti contoh:
1.
Encik
nama siapakah?
2.
Pergi
dengan siapakah?
3.
Kita
hendak ke manakah?
4.
Apakah yang sudah berlaku?
5.
Apakah yang kau lakukan?
Menurut
Nik Safiah Karim (1993:556), frasa sendi nama ialah frasa yang perkataan
utamanya terdiri daripada satu kata sendi nama dan diikuti oleh frasa yang
menjadi pelengkap kepada kata sendi nama. Secara mudahnya, frasa sendi nama
terdiri atas kata sendi dan frasa nama. Letak kata sendi mendahului frasa nama.
Menurut
Nik Safiah Karim (1993:427) menghuraikan bahawa ayat tanya dengan frasa sendi
nama tanya ialah ayat-ayat yang terdiri daripada ayat-ayat yang didahului oleh
frasa sendi nama tanya seperti di mana, dari mana, ke mana, sejak bila, sampai
bila, bagaimana, dengan siapa, daripada siapa. Dalam susunan biasa, unsur ini
hadir dalam predikat. Antara contoh yang dikemukakan oleh Nik Safiah Karim
ialah :
1.
Latifah
ke sekolah.
2.
Gadis
itu dari pejabat.
3.
Tuan
tinggal di mana?
4.
Ali
hendak pergi ke mana?
5.
Mereka
mengatasi masalah itu bagaimana?
Berdasarkan
novel yang terdapat dalam novel Orang Kota Bharu karya S. Othman Kelantan ialah
:
1.
Bagaimana kalau masuk
subuh nanti lantai balaisah tenggelam?. (halaman 412)
2.
Itu
tak patut. Orang lain bagaimana?.
(halaman 77)
3.
Mak
Sah dengar dari mana? (halaman 285)
4.
Di manakah tempat yang
lebih menarik itu? (halaman 287)
5.
Letak
di mana? (halaman 411)
Petikan
di atas menunjukkan ayat tanya dengan frasa sendi nama. Hal ini dapat dijelaskan
bahawa seperti petikan (3), ayat tersebut menggunakan perkataan dari mana.
Jelaslah bahawa, ayat tersebut menunjukkan ayat tanya dengan frasa sendi nama.
Kehadiran kata sendi dalam binaan ayat amat penting kerana ketiadaannya
menjadikan sesebuah ayat itu tidak gramatis dan tidak mempunyai hubungan logik.
AYAT
PERINTAH
Berdasarkan
perkataan yang digunakan, ayat perintah boleh dibahagikan kepada empat jenis
iaitu ayat suruhan, ayat larangan, ayat silaan dan ayat permintaan.
Dalam ayat suruhan, subjek ialah ganti nama
orang kedua seperti awak, kamu, engkau dan sebagainya yang biasanya digugurkan.
Walau bagaimanapun, kerana tujuan penegasan, subjek juga boleh diucapkan. Ayat
suruhan ini tidak menggunakan perkataan tolong, sila, jemput, dan sebagainya
untuki tujuan suruhan. Ayat tersebut pendek namun ia menunjukkan bahawa ujaran
tersebut sudahpun difahami oleh orang kedua bahawa ujaran tersebut adalah untuk
menyuruhnya melakukan sesuatu tindakan. Yang berikut adalah ayat-ayat suruhan:
1.
Keluar
dari bilik ini!
2.
Pergi
dari sini!
3.
Tengok
barang-barang ini.
4.
Ambil
wang ini!
5.
Pukul
ular itu.
6.
Awak
siapkan kerja itu sekarang.
Contoh
ayat yang terdapat dalam novel Orang Kota Bharu karya S. Othman Kelantan ialah
:
1.
Pergi
tengok (halaman 413)
2.
Bawa
ke rumah aku (halaman 413)
Petikan
ayat di atas menunjukkan contoh ayat yang menunjukkan ayat perintah. Sesuatu
ujaran yang dilontarkan oleh seseorang sudah boleh difahami dan pendengar akan
memahami bahawa seseorang itu memerintahnya. Dengan ujaran ayat tersebut,
seseorang pendengar akan menurut apa yang diperintahkan oleh seseorang itu.
Ayat-ayat
suruhan boleh menggunakan partikel -lah untuk melembutkannya di samping
menegaskan predikat. Seperti dengan konsituen yang menerima –kah, konsituen
yang menerima –lah pun mengalami proses pendepanan. Sebagai contoh:
1.
Pergilah tengok
2.
Bawalah ke rumah aku
Ayat
larangan ialah ayat yang menggunakan kata larangan seperti jangan, usah atau
tak usah sebelum kata kerja dengan tujuan menegah seseorang melakukan sesuatu. Contohnya:
1.
Jangan ambil harta
orang.
2.
Jangan duduk disini.
3.
Kamu
jangan beritahu dia.
4.
Usah kau pedulikan
dia.
5.
Usah ditanyakan
siapa orangnya.
6.
Awak
tak usah datang lagi.
7.
Tak usah kau ambil tahu
akan hal aku lagi.
Ayat
larangan yang terdapat dalam novel Orang Kota Bharu karya S. Othman Kelantan
ialah :
1. jangan buruk-burukkan lawan, sebab rakyat
sudah maklum. Kita hanya sebutkan bentuk Negara Islam sahaja. (halaman 269)
2. jangan menghabiskan masa dan wang untuk kongres
yang kurang penting itu. ( halaman 282)
3. jangan bimbang, kata Jali Sabak. Kalau ada
masalah beritahu aku. (halaman 293)
4. kita tidur atas
tikar ini saja. Rahim jangan
susah-susah. ( halaman 336)
Petikan di atas menunjukkan ayat
larangan. Perkataan jangan diucapkan
kepada orang kedua dengan tujuan untuk melarang seseorang untuk melakukan
sesuatu. Jangan hadir sebelum kata
kerja. Sebagai contoh, ayat (2), orang pertama melarang orang kedua untuk
menghabiskan masa dengan wang kongres yang kurang penting iu. Ayat tersebut
sudah jelas bahawa orang pertama itu melarang orang kedua untuk melakukan
kegiatan tersebut.
Ayat-ayat
di atas dapat dilembutkan dengan menambahkan partikel –lah, seperti yang
berikut:
1.
janganlah buruk-burukkan lawan, sebab rakyat
sudah maklum. Kita hanya sebutkan bentuk Negara Islam sahaja.
2.
janganlah menghabiskan masa dan wang untuk kongres
yang kurang penting itu.
3.
janganlah
bimbang, kata Jali Sabak. Kalau ada masalah beritahu aku.
4.
kita
tidur atas tikar ini saja. Rahim janganlah
susah-susah.
Seterusnya
adalah ayat silaan. Ayat silaan ialah ayat yang menggunakan kata silaan seperti
sila atau jemput sebelum kata kerja dengan tujuan menjemput atau mempersilakan
seseorang. Lazimnya kata silaan digunakan pada permulaan ayat seperti dalam
contoh-contoh berikut:
1.
sila datang ke rumah
saya.
2.
Sila buat laporan di
sini.
3.
Jemput datang ke
majlis sukan hari ini.
4.
Jemput minum.
5.
Jemput naik.
Contoh
ayat silaan yang terdapat dalam novel Orang Kota Bharu karya S. Othman Kelantan
ialah :
1.
sila minum, encik. Seorang
mempersilakan Udin dan rakan-rakannya minum. (halaman 226)
2.
sila duduk Encik
Tajul. Tangan Ghazali menunjuk ke arah kerusi yang terdekat dengannya di
sebelah kanan. (halaman 303)
Petikan
di atas menunjukkan ayat silaan. Hal ini dapat dilihat dalam ayat (1), orang
pertama mempersilakan orang kedua untuk minum. Perkataan sila yang diujarkan oleh orang pertama itu jelas menunjukkan ayat
tersebut ayat silaan. Orang pertama mempersilakan orang kedua untuk minum.
Seperti
ayat-ayat lain juga, ayat-ayat ini dilembutkan dengan penggunaan partikel
penegas –lah seperti contoh-contoh berikut:
1. silalah
minum, encik. Seorang mempersilakan Udin dan rakan-rakannya minum.
2. silalah
duduk Encik Tajul. Tangan Ghazali menunjuk ke arah kerusi yang terdekat
dengannya di sebelah kanan.
Seterusnya
adalah ayat permintaan. Ayat permintaan ialah ayat yang menggunakan kata
permintaan seperti minta dan tolong dengan tujuan memohon permintaan dan
pertolongan seperti dalam contoh-contoh berikut:
1.
minta tuan-tuan
jelaskan yuran persatuan.
2.
Minta tuan benarkan
kami masuk.
3.
Tolong tutup pintu
depan itu.
4.
Tolong selesaikan
pergaduhan ini.
Contoh
ayat permintaan yang terdapat dalam novel Orang Kota Bharu karya S. Othman Kelantan
ialah :
1.
kalau
awak senang, malam ini tolong ikut saya. (halaman 508)
Petikan
di atas telah menjelaskan bahawa ayat permintaan. Hal ini dapat dilihat dengan
wujudnya perkataan tolong. Tolong itu merupakan ayat permintaan dan
seseorang pendengar itu sudah pasti memahami dan akan mengambil tindakan dengan
sesuatu permintaan tersebut.
AYAT
SERUAN
Oleh
itu, sebagai pemahamam pengkaji, berdasarkan beberapa definisi yang dipetik
daripada ahli-ahli bahasa, kita dapat rumuskan bahawa ayat seruan ialah ayat
yang diucapkan dengan tujuan melahirkan pelbagai keadaan perasaan seperti
terkejut, hairan, geram, marah, sedih, seronok dan sebagainya yang ditandai
dengan pelbagai kata seru untuk menyatakan perasaan tersebut. Contohnya:
1.
makan!
2.
Pergi!
3.
Cis!
4.
Amboi!
Cantiknya
5.
Kan
aku sudah kata!
6.
Panjatlah
lagi!
7.
Jangan
ganggu aku!
Contoh
ayat seruan yang terdapat dalam novel Orang Kota Bharu karya S. Othman Kelantan
ialah :
1.
ya
iblis! (halaman 41)
2.
jalanlah
kalau bijak sangat!. (halaman 67)
3.
Berhenti!
(halaman 139)
4.
mari!
(halaman 140)
5.
hati-hati,
jangan terjatuh! Beringat-ingat! Jaga diri!. (halaman 91)
6.
oh,
nyanyi lagi, nyanyi Norma. Karang aku bawa balik! (halaman 158)
7.
Cih,
celaka! (halaman 173)
Melalui
tulisan, ayat seruan dapat dikenali dengan tanda pada akhir ayat. Manakala
secara lisan kita dapat mengetahui ayat seruan melalui pengucapan yang ditandai
oleh intonasi yang mempunyai tekanan keras dengan nada meninggi yang menurun
sebelum kesenyapan. Tegasnya ayat seruan tidak memerlukan jawapan kerana ayat
ini merupakan penglahiran perasaan penutur terhadap sesuatu yang berlaku sama
ada untuk diri sendiri atau orang lain. Kadang-kadang, ayat seruan ini
diucapkan secara bersendirian oleh penutur tanpa memerlukan tindak balas
daripada pendengar.
KESIMPULAN
Berdasarkan
hasil kajian yang telah dikaji, pengkaji dapat menghuraikan segala persoalan
yang terdapat pada objektif iaitu menjelaskan jenis-jenis ayat yang terkandung
dalam novel Orang Kota Bharu karya S.
Othman Kelantan dan juga pengkaji akan menjelaskan ciri-ciri ayat tanya, ayat
penyata, ayat seru dan ayat perintah dalam novel ini dan memberikan
contoh-contoh ayat yang terdapat dalam novel Orang Kota Bharu. Ayat-ayat tersebut mempunyai ciri-ciri dan makna
yang berbeza. Ayat-ayat tersebut juga mempunyai tujuan dan juga mempunyai
peranan masing-masing.
Ayat
merupakan aspek yang penting dalam ujaran dan komunikasi seharian sama ada
dalam perbualan formal atau tidak formal. Oleh sebab produktifnya ayat tersebut
dalam komunikasi, maka terdapat pelbagai bentuk ayat tersebut digunakan. Dalam
kajian ini, bentuk-bentuk ayat tanya merujuk kepada bentuk-bentuk pertanyaan
yang terdapat dalam novel kajian. Huraian tentang ayat-ayat tanya mengambil
kira aspek sintaksis, gramatikal dan juga konteks penggunaannya.
thanks.. atas perkongsian yang amat berguna..
ReplyDeletethank you!
ReplyDeletevery good..
ReplyDeleteSaya nak tanya... Ayat perintah menurut pendapat nik safiah karim itu dapat daripada buku nik safiah karim yang mana ya?
ReplyDeletesapa nama penuh pnulis ni...sbb kmi skrang buat kajian tntang ayat tnya so kmi prlukan nama full pnulis nj
ReplyDeleteplease insert rujukan
ReplyDeleteBoleh tahu nama penulis untuk blog ini? Saya buat kajian ayat tanya dan perlukan nama penulis ini
ReplyDeleteAyat perintah drpd Nik safiah Karim itu dpt dri buku mna? Saya nk Tahu boleh
ReplyDelete