Saturday 30 March 2013

Teori Linguistik


Pendahuluan.
Istilah ‘semantik’ berasal dari perkataan Yunani ‘semantickos’ yang bermaksud ‘penting’ atau ‘bererti’ .Semantik ialah cabang linguistik yang akan membahaskan erti atau makna (J.W.M. Verhar, 1996). Semantik merupakan bidang studi linguistik yang objek penelitiannya merupakan makna bahasa (Abdul Chaer,1994). Kajian tentang makna perkataan dan penambahan makna sesuatu kata. (Kamus Dewan, 1997: 1228). Bidang yang mengkaji dan menganalisis makna kata dan ayat. Menurut Kamus Dewan edisi keempat (2010: 1659), teori ialah pendapat (bersifat pandangan yang tidak dapat dibuktikan dengan kukuhnya) yang dikemukakan untuk menerangkan sesuatu perkara dan lain-lain.
Lakuan pertuturan merupakan unit asas komunikasi. Hal ini kerana struktur linguistik melibatkan lakuan pertuturan. Unit komunikasi linguistik merupakan lakuan pertuturan yang difahami secara umum sebagai lambang, kata atau ayat, kata ayat atau persembahan pertuturan. Malahan teori bahasa adalah sebahagian daripada teori lakuan yang merupakan satu bentuk lakuan yang terikat dengan pertuturan. Bentuk lakuan merupakan bentuk bahasa yang digunakan untuk bercakap. Sewaktu bercakap, seseorang melakukan satu lakuan pertuturan seperti membuat penyataan, menanyakan soalan, membuat janji dan sebagainya.
            Sebelum kita membicarakan semantik pelakuan pertuturan ini dengan lebih terperinci, penting dijelaskan disini pendirian teoretis ekoran daripada teori semantik sedemikian jika teori ini dijadikan asas mencirikan makna ayat. Makna ayat dan makna perkataan akan dihitung berdasarkan syarat penggunaan yang sesuai, maka apa jua yang tersirat dalam ayat akan dicirikan bukan sebagai sifat ayat tersebut tetapis ebagai perandaian pada pihak penutur yang menggunakan ayat tersebut iaitu satu perangkat kepercayaan yang perlu jika penutur itu mahu menggunakan ayat itu dengan sesuai.




Semantik pelakuan pertuturan.
            Teori lakuan pertuturan adalah sama dengan semantik lakuan pertuturan. Tidak semua teori semantik yang berdasarkan proses perhubungan dikenakan kritikan sedemikian. Khususnya, semantik pelakuan pertuturan tidak pula terdedah kepada kecaman seperti penyempitan makna (reduksionisme) kerana teori ini berusaha mencirikan sifat bahasa bukan berdasarkan unsur-unsur suasana yang dapat diperhatikan tapi berdasarkan konsep pertuturan yang mujarad atau abstak. Wawasan utama dalam semantik pelakuan pertuturan ialah menggunakan bahasa untuk tujuan yang tertentu dan menghuraikan sesuatu hanyalah salah satu penggunaan bahasa. Selain itu, kita juga menggunakan bahasa untuk benjanji, untuk menempelak, untuk bersetuju, untuk mengkritik dan sebagainya.
            Menurut Austin, beliau menyatakan bahawa sewaktu pengucapan sesuatu ayat, penutur kebiasaannya terlibat dalam tiga gerak laku yang berlainan:
          i            Pelakuan pengucapan – gerak laku yang menuturkan sesuatu ayat dengan makna yang tertentu.
        ii            Pelakuan niat pengucapan – penutur mungkin berniat ujarannya itu sebagai sesuatu gerak laku yang memuji, mengkritik, menyetujui dan sebagainya.
      iii            Pelakuan tindak balas pengucapan – penutur mungkin telah menuturkan ayat yang telah diujarkan untuk mendapatkan satu tindak balas tertentu yang langsung daripada pendengar. Sebagai contoh, untuk menakutkan pendengar, menyukarkan hatinya, menyuruhnya melakukan sesuatu dan sebagainya.
Menurut Kempson ( 1991:62-63 ), dengan memberikan contoh, seorang anak enggan berbaring di atas katil untuk tidur, lalu ayahnya berkata, “ saya akan padamkan lampu”. Lakuan pengucapan dalam ujaran ini ialah pengujaran ayat saya akan padamkan lampu. Di samping itu, lakuan niat pengucapan ialah ayah anak tersebut mungkin bermaksud supaya ujaran tersebut ditafsirkan sebagai satu ancaman. Manakala lakuan tindak balas pengucapan pula ialah anak tersebut menjadi takut dan terdiam lalu tidur.
Dalam komunikasi, bahasa digunakan untuk tujuan yang tertentu dalam sesuatu situasi yang digunakan oleh penutur untuk menyatakan atau menghuraikan situasi tersebut. Di samping itu, bahasa juga digunakan untuk berjanji, menempelak, persetujuan, mengkritik dan sebagainya. Selain itu, terdapat sebilangan ujaran yang mengandungi sesuatu atau tidak mengandungi sebarang maklumat yang bermakna. Oleh itu, ayat tidak boleh dianggap sebagai benar ataupun palsu tetapi pertuturan ayat tersebut merupakan sebahagian daripada lakuan.
Austin menyarankan ujaran performatif tidak dinilai benar atau palsu tetapi hanya dapat dinilai sesuai atau tidak dan ujaran itu dapat dicirikan selayaknya berdasarkan perangkat syarat yang berbeza-beza yang perlu bagi kegunaannya yang sesuai. Misalnya, antara syarat kesesuaian utama satu-satu ujaran seperti ‘saya berjanji saya akan berada di stesen’ ialah penutur berhasrat ujarannya itu akan menjadikan dia bertanggungjawab hadir di stesen, bahawa pendengar itu lebih suka jika dia hadir di stesen dan ternyata dia tidak akan hadir di stesen dalam keadaan yang biasa.
Selain itu, terdapat syarat-syarat umum bagi kejayaan perhubungan seperti kedua-dua penutur dan pendengar menggunakan bahasa yang sama, jika mereka dalam suasana pertuturan yang si pendengar tidak pekak dan sebagainya. Kesemua syarat ini mesti dipenuhi jika ujaran tadi hendak dikira sebagai satu janji yang sesuai dan berjaya.
Analisis pelakuan pertuturan yang dikemukakan oleh Austin dan dikembangkan oleh ahli falsafah lain selepas beliau merupakan huraian tentang pelakuan pertuturan, tentang ujaran ia tidak dimaksudkan sebagai satu huraian tentang ayat. Namun, ahli bahasa telah menggunakan huraian pelakuan pertuturan ini sebagai penyelesaian masalah makna. Malah, pernah disarankan bahawa daripada berbicara tentang makna perkataan atau makna ayat tersendiri-sendiri, lebih berfaedah jika seseorang itu berbicara tentang syarat penggunaan yang sesuai bagi kedua-dua ayat dan perkataan.
Ayat perfomatif berbeza dengan ayat konstatif. Menurut Schiffrin, ayat konstatif adalah penyataan yang digambarkan oleh ayat penyata yang dapat ditentukan benar atau palsu manakala ayat perfomatif adalah ayat penyata yang mempersembahkan sesuatu lakuan. Ayat perfomatif mestilah mempunyai syarat-syarat yang tertentu :
                                  i            Subjeknya mestilah kata ganti nama diri pertama.
                                ii            Biasanya mempunyai objek langsung atau objek tidak langsung yang merupakan kata ganti nama diri kedua dalam stukturnya.
                              iii            Berbentuk pengesahan dan tidak berbentuk negatif.
                              iv            Kata kerjanya mestilah satu daripada kata kerja yang utama yang mempunyai makna leksikal. Sebagai contoh, dalam bahasa Inggeris, menurut Ross, kata kerja utama yang mempunyai makna leksikal ialah seperti berikut :
¨      Advise ,answer, ask,  command,  comdemn, declare, demand, offer, request, propose, say, vow, warn, write
Dalam beberapa hal daya niat pengucapan jelas dinyatakan dan inilah yang disebut sebagai ujaran perfomatif yang nyata. Sebagai contoh :
                                  i            Saya berjanji dengan awak saya akan kesana.
                                ii            Saya yakin dia akan jatuh.
                              iii            Saya bersetuju bahawa saya silap.
Dalam jenis ujaran seperti inilah yang dikatakan oleh Austin bahawa tidak munasabah jika dibicarakan sebagai bersifat benar atau palsu kerana ujaran tersebut bukan merupakan cerita tetapi merupakan gerak laku.
Contoh ayat ujaran perfomatif tidak nyata ialah :
          i            Ayah akan padamkan lampu
        ii            Panjatlah lagi pokok tu
      iii            Tak singgah?
Selain itu, dalam teori lakuan pertuturan terdapat empat syarat yang perlu di ambil kira semasa persembahan lakuan pertuturan iaitu :
1)      Syarat kandungan proposisi.
2)      Syarat persediaan.
3)      Syarat keikhlasan.
4)      Syarat tujuan.



Penutup
            Kesimpulannya ialah semantik dikatakan sebahagian daripada linguistik yang mengkaji bahasa secara teliti. Semantik dapat dijelaskan sebagai sesuatu bidang yang mengkaji makna perkataan dan ayat dalam bahasa secara ringkasnya. Kajian mengenai makna kata boleh dilihat dalam aspek makna denotasi dan konotasi, makna dalam konteks, hubungan makna dengan kebudayaan, perubahan makna dan bentuk-bentuk makna daripada hubungan semantik.
            Satu teori yang mencirikan kenalaran bahasa termasuk dalam teori kecekapan berbahasa manakala teori yang memberikan interaksi antara perincian bahasa itu dengan faktor lain yang menentukan keseluruhan ehwal kenalaran perhubungan itu pula termasuk dalam teori pelakuan bahasa. Kita menjelaskan pelakuan berbahasa dari segi tatabahasa kecekapan berbahasa yang menjanakan ayat dan maknanya tetapi kita juga menjelaskan makna tersebut dari segi syarat kegunaannya iaitu pelakuan berbahasanya. Sekiranya kita mengekalkan pendekatan pelakuan pertuturan dalam semantik maka kita mestilah sekurang-kurangnya menilai kembali andaian-andaian yang mendasari perbezaan kecekapan berbahasa.
Selari dengan itu, dalam komunikasi bahasa digunakan oleh penutur atau pendengar untuk menyatakan atau menghuraikan sesuatu perkara. Di samping itu, bahasa juga merupakn cara kita untuk mempersembahkan lakuan pertuturan yang terdiri daripada lakuan pengucapan, lakuan niat pengucapan dan juga lakuan tindak balas pengucapan.
            Selain itu, teori lakuan pertuturan mempunyai empat syarat iaitu syarat kandungan proposisi, syarat persediaan, syarat keikhlasan dan syarat tujuan.
           





Bibliografi.
1)      Ahmad Mahmood Musanif (2001). Monograf Bahasa, Sastera dan Budaya Melayu. Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia. Bilangan 6. Oktober
2)      Ruth M.Kempson ( 1991 ). Penterjemahan: Zaiton Ab.Rahman.Teori Semantik. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia. Kuala Lumpur.
4)      http://id.scribd.com/doc/4634605/Pengertian-Semantik. Diakses pada 3 januari 2013.

No comments:

Post a Comment