Pendahuluan.
Dewasa kini, masyarakat Melayu
memang terkenal dengan hasil kreativiti dalam membuat sesuatu tidak kira sama
ada dari sudut masakan ataupun dari sudut kraf tangan. Sejak dulu lagi,
masyarakat Melayu sudah didedahkan dengan corak kehidupan bekerjasama dan
saling membantu di antara satu sama lain. Hal ini bertujuan supaya mereka dapat
memupuk nilai-nilai murni dalam jiwa masing-masing. Sekali gus dapat menolong
mengelakkan sikap yang tidak baik di antara masyarakat.
Mungkin sudah menjadi alat atau
tradisi masyarakat Melayu apabila selesai sahaja melakukan sesuatu sama ada
bekerja ataupun mendapat sesuatu hasil yang menguntungkan, akan diadakan suatu
pesta atau perayaan untuk meraikan sesuatu kejayaan atau kemenangan. Hal ini
bertujuan untuk mengucapkan syukur kepada Tuhan seterusnya dapat menaikkan
semangat seseorang individu untuk menyimpan azam agar berjaya dalam segala
bidang yang diceburi.
Di kala itu, banyak acara yang akan
diadakan untuk menggambarkan perasaan gembira yang tidak terhingga atas hasil
yang diperolehi ataupun keuntungan yang diraih. Corak kehidupan sebegini yang
menerbitkan semangat kejiranan dan setia kawan yang tinggi dalam kalangan
masyarakat Melayu. Ikatan yang terjalin akan membuahkan suatu perasaan kasih
sayang antara satu sama lain.
Khazanah yang diwarisi daripada
nenek moyang oleh masyarakat Melayu telah menerbitkan satu semangat bekerjasama
dan setia kawan antara masyarakat Melayu. Unsur seni dan permainan adalah asas
bagi kehidupan manusia di dunia dan tidak memungkinkan kedua-duanya dapat
dipisahkan daripada kehidupan masyarakat. Masyarakat Melayu tidak ketinggalan
dalam soal ini dan mereka telah mengisi masa lapang mereka dengan pelbagai
kegiatan yang berfaedah setelah penat dalam mencari rezeki untuk menyara
kehidupan.
Salah satu aktiviti yang dilakukan dapat menghiburkan
hati mereka serta untuk menghilangkan kepenatan ialah mereka bermain satu
permainan yang masih kita boleh lihat warisannya hingga ke hari ini iaitu
bermain gasing. Gasing bukan sahaja menjadi permainan dalam kalangan dewasa
sahaja malah ia turut dimainkan oleh golongan kanak-kanak. Mereka bermain
gasing untuk menghilangkan kepenatan serta cuba beradu kekuatan,kemahiran,
kecekapan, kepantasan dan juga mewujudkan kerjasama berpasukan. Gasing
sememangnya diketahui umum merupakan salah satu permainan tradisional yang
masih dimainkan dan dikekalkan sehingga hari ini.
Permainan gasing ini sukar diperoleh
dipasaran lalu mereka berusaha mencipta peralatan itu sendiri dengan
berbekalkan daya kreativiti, kesungguhan dan idea, mereka mencipta gasing
sebagai alat hiburan daripada saki baki kayu yang mereka tebang atau lebihan membuat
rumah. Kemahiran ini semakin hari semakin di perkemaskan berdasarkan
penglihatan, pengalaman, dan persahabatan yang membolehkan mereka
bertukar-tukar fikiran. Turut diperkemaskan lagi ialah dalam soal pengendalian
alat permainan ini untuk ditunjukkan kepada tetamu dan dijadikan hadiah kepada anak-anak mereka.
Selain itu, mereka dapat berbincang tentang gaya pembuatan, bermain, jenis kayu
yang baik dan memproseskan kayu.
Dengan adanya gelanggang yang
ringkas dan kemudahan untuk mendapatkan bahan membuat gasing, menjadikannya
pilihan utama anak muda zaman itu untuk bermain gasing. Permainan gasing bagi
orang melayu mengukur tahap kemahiran dan kepantasan seseorang dalam menghadapi
sesuatu situasi ketepatan dan kepekaan seseorang amat penting untuk dipupuk
supaya sentiasa menghadapi sebarang suasana. Kemahiran dan kebolehan diamalkan
secara sistematik dalam gelanggang gasing. Seorang tekong perlu pantas
bertindak jika mahu memperoleh kemenangan bagi pasukan mereka.
Selain itu, permainan gasing harus dimainkan
oleh generasi muda sekarang sebagai langkah mengekalkan daya kreativiti bangsa
melayu mencipta permainan berasaskan serpihan kayu. Pemulihan permainan ini
diharapkan dapat memaparkan kepada umum tentang warisan bahasa Melayu yang
telah dilupakan agar terus berkekalan.
Nilai Seni Dalam
Permainan Gasing Tradisional
Dalam
permainan gasing tradisional, gerakan badan ketika menghayun gasing akan
memberikan susunan paduan tubuh pemain secara menyeluruh. Susunan yang kemas
serta menyerupai gerak silat akan menembahkan lagi kekuatan dan semangat pemain
dengan bersendikan semangat, mereka juga akan dapat meningkatkan mutu
permainan. Gasing yang dicipta berdasarkan buah-buahan tempatan melambangkan
betapa pekanya orang Melayu kepada persekitaran. Kemahiran yang datang daripada
pengalaman akan memberikan identity peribadi untuk gasing yang hamper serupa
menunjukkan hubungan yang rapat antara tukang-tukang gasing tersebut.
Ini secara umum memberikan jawapan
mengapa wujudnya perbezaan permainan gasing disetiap daerah, negeri dan negara.
Perbezaan yang sering terdapat ialah dari segi reka bentuk, bahan buatan,
hiasan, proses persediaan awal, pembuatan dan peralatan tambahan. Perbezaan
inilah yang memberikan kita nilai seni dan identiti antara kaum dan keturunan.
Sebagai contoh. Gasing yang dimainkan oleh pemain keturunan Jawa mempunyai
perbezaan yang sungguh ketara apatah lagi juka dibandingkan dengan gasing
Minang, Mendaling atau Kelantan. Jika dalam sesuatu daerah terdapat pemain
berbangsa India dan Cina tentulah lebih banyak perbezaan dan nilai seni yang
akan kita temui.
Permainan gasing mempunyai nilai
seni dari segi bentuknya yang unik dan pelbagai. Tukang yang mahir bukan sahaja
menghasilkan gasing yang cantik, tetapi juga mengukirkan hiasan bahagian
tertentu pada gasing. Kemahiran tukang gasing ialah kebolehannya mengadunkan
antara kemahiran, idea, kehidupan dan perasaan. Tukang gasing juga hanya menggunakan
peralatan yang telah sedia ada seperti peraut, penggarik, pahat, parang, pisau
dan pelarik.
Peralatan yang mereka gunakan
semuanya terdapat disekitar kawasan rumah mereka. Untuk melicinkan permukaan
gasing, mereka menggunakan pasir, kaca atau daun mempelas yang terkenal kasar
tetapi tidak beracun. Untuk memusingkannya pula mereka menggunakan tali yang
dibuat daripada kulit terap, pandan sabut dan apa juga jenis tumbuhan yang
menghasilkan jerami. Tali ini dianyam, dipintal dan disaring supaya tegang,
kemas, dan kuat. Tali hasil pintalan ini ternyata kukuh, kuat dan tahan lama.
Gasing Pemangkah.
Gasing pemangkah adalah gasing yang
digunakan khas untuk memangkah. Fungsi gasing dalam masa permainan ialah
memangkah gasing lawan, memipil dan menghasilkan uri yang ligat, kuat dan
tegak. Bentuk gasing pemangkah adalah tinggi, pataknya agak membulat dan
bahunya melengkung atau cembung. Gasingnya juga berat untuk menghasilkan
momentum yang kuat dan mampat. Antara jenis-jenis gasing tradisional yang digunakan
untuk memangkah ialah gasing lang laut, gasing bakal boya, gasing tunjang,
gasing botol dan gasing tempayan.
Gasing Pemusing.
Gasing pemusing merupakan gasing
yang merupakan gasing yang digunakan hanya untuk memusing, berlawan ligat dan
mengekalkan pusingan. Bentuknya rendah dan agak leper, pataknya meruncing,
bahagian bahunya rata atau melengkung dan paksinya membulat atau rata. Untuk
dijadikan gasing pemusing ia mestilah dibuat daripada kayu, jenis berat, liat
dan kuat. Antara jenis kayu yang sesuai dibuat gasing ialah kayu kempas,
cengal, mengaris, penaga, keranji, meranti dan merbau. Oleh sebab gasing
dipangkah maka binaannya hendaklah kukuh serta mempunyai perlindungan
dibahagian kepala, bahu, labu dan patak. Bahagian bahunya dipasang simpai dan dibahagian
kepala pula dipasang dengan besi sebagai pelindung. Gasing tradisional yang
sesuai digunakan untuk memusing ialah gasing peyek, gasing piring, gasing
berembang dan gasing leper. Gambarajah di bawah menunjukkan gambar gasing:
Peralatan Membuat
Gasing.
Tukang gasing Melayu tradisional
tidak menggunakan alat yang terlalu rencam, mahal atau besar tetapi
peralatannya biasa dan mudah ditemui di kebanyakan kedai dan dimiliko oleh
tukang kayu. Peralatan yang digunakan adalah seperti parang, penggarik, kikir,
apit, pemutar skru, berus kikir, pahat, mesin pelarik, kertas pasir dan
lain-lain lagi. Semua alat ini penting bagi menyediakan gasing daripada
peringkat awal hinggalah kepada mengimbang gasing.
Pembuatan gasing dari awal hingga
akhir sentiasa menekankan keseimbangan dan keseragaman. Untuk menghasilkan
ciri-ciri penting ini, mesin pelarik digunakan. Selain itu, terdapat pelbagai
model mesin pelarik melayu tradisional yang telah direka bagi memudahkan kerja
melarik. Daripada yang paling ringkas hinggalah kepada yang dikendalikan oleh
elektrik atau disel. Gambarajah menunjukkan peralatan membuat gasing :
Membakal Kayu
Membakal ialah proses menyediakan
kayu daripada kayu tongkol kepada bentuk kubus dan menarahkannya kepada bentuk
empat segi. Proses ini dilakukan sebelum kerja memasang paksi dan melarik.
Bentuk empat segi ialah bentuk asas gasing secara kasar dan bentuk ini belum
lagi menampakkan ciri kepala, bahu, patak dan paksi. Tapi, bentuk gasing dari
segi labu dan bakal kedudukan kepala serta paksi adalah jelas.
Setongkol kayu tidak boleh terus
dilarik untuk dibuat gasing kerana saiznya tidak seragam. Untuk memudahkan
kerja melarik, kayu ini hendaklah ditarah supaya menjadi bulat dibahagian atas
dan bawahnya. Kayu ini juga mestilah diteliti supaya tidak berlubang, retak
atau merekah. Kayu yang digunakan untuk
membuat gasing tidak semestinya daripada satu bahagian sahaja tetapi ia boleh
digunakan dari perdu hinggalah ke bahagian dahan. Bahagian yang paling sesuai
ialah dibahagian banir, batang dan cabang pokok. Dengan memilih bahagian ini,
kerja mengimbang tidak banyak dilakukan. Hanya yang perlu ialah larikan sekata
dan licin. Bahagian ini juga sukar dipecahkan apabila dipangkah. Menambah berat
tidak perlu dilakukan jika kayu yang digunakan daripada jenis keras seperti
kayu bakau dan cengal.
Membakal kayu juga memberikan kesan
kepada gasing yang akan dihasilkan. Tukang gasing harus dapat melarik dengan
baik dan menjangkakan kedudukan gasing yang akan dibuangkan. Membakal kayu
boleh dilakukan selari atau melintangi urat kayu. Bagi kayu jenis keras,
melarik dan membakal boleh dilakukan selari dengan urat kayu, tetapi kayu jenis
lembut ia akan menjadikan gasing mudah pecah apabila dipangkah. Kayu yang keras
tetapi rapuh juga kurang sesuai dibuat gasing dengan mengikut urat selari
kerana ia akan menyebabkan kayu mudah terbelah.
Membakal kayu melintangi urat adalah
paling sesuai untuk semua jenis kayu tidak kira kayu lembut atau kayu keras.
Kayu yang dipotong melintangi urat kayu sukar retak atau rempil. Hal ini kerana
binaan kayu ini cukup kukuh dan teguh. Cuma kerja yang sebegini agak sukar jika
dilakukan dengan tangan. Jika kayu itu kecil dan hanya sesuai untuk dijadikan
satu gasing, terpaksalah digunakan mengikut urat kayu dan kita akan menghadapi
masalah dalam ‘empulur’, sama ada terlalu lembut atau terlalu keras. Cara ini
boleh dilakukan jika kayu itu tidak berlubang ditengahnya. Kayu yang sesuai dan
boleh dilakukan begini ialah seperti kayu kopi, leban, bakau, jaring dan limau.
Kayu penaga juga boleh dilakukan sebegini tetapi kayu ini mudah retak atau
merekah. Gambarajah 3.0 di bawah menunjukkan cara membakal kayu.
Melarik.
Melarik.
Melarik
ialah kerja yang terpenting dalam proses membuat gasing. Ia merupakan kerja
membulatkan, meratakan, menyamakan dan melicinkan permukaan gasing. Secara umum
bolehlah dikatakan melarik ialah kerja memutarkan kayu dengan tetap supaya
bahagian kayu itu boleh diguris dengan sekata, sama dan licin bagi menghasilkan
bentuk yang seragam dan bulat.
Dua kaedah yang digunakan untuk
melarik iaitu melarik kayu panjang untuk membentuk dua atau lebih gasing atau
membentuk gasing dalam satu masa. Kedua-dua kaedah ini berbeza antara satu
dengan yang lain serta mempunyai kelemahan dan kebaikan yang tersendiri. Di
Pahang, tukang gasing melarik sebiji gasing sahaja.
Pelarik adalah alat yang telah lama
dicipta oleh manusia. Alat ini digunakan secara meluas sejak dahulu dan telah
mengalami beberapa perubahan yang nyata. Dengan menggunakan pelarik, ia akan
dapat membentuk objek menjadi bulat, licin dan cantik. Memandangkan kegunaan
yang tidak terhad ini, orang Melayu terus memperbaiki dan mengubahsuai fungsi,
reka bentuk dan tenaga kendalian mesin pelarik ini.
Melarik dengan kaedah ini memerlukan
kecekapan dan kepantasan. Kayu yang digunakan adalah daripada jenis kayu
panjang kerana kayu ini lebih mudah dibentuk bulat dengan hanya sedikit tarahan
sahaja. Pelarit akan membulatkan kayu persegi dan seterunya pengarit boleh
digunakan untuk menandakan kedudukan kepala, tubuh dan bahagian patak gasing.
Setelah ditarah, barulah kerja memasangkan bindu dilakukan dengan mengapitnya
pada mesin pelarik.
Sedikit minyak diletakkan pada bindu
untuk mengelakkan kayu daripada melekat. Setelah diapit kemas, kayu boleh
dilicinkan dengan menggunakan pahat
kuku. Setelah semua kerja melicin dan membulatkan selesai, barulah
ditanda kedudukan kepala, tubuh dan sebagainya. Pahat pemepat boleh digunakan
untuk membentuk badan gasing. Ketika melarik kayu hendaklah diletakkan menegak,
tetap dan kukuh supaya tidak tercampak keluar.
Semua peralatan melarik hendaklah
dipastikan tajam dan tidak cacat seperti sumbing, retak atau terlalu ketat.
Setelah semua kerja selesai barulah bahagian kepala dan patak dipotong. Paksi
pula akan dipasangkan kemudian dan kerja melicin dilakukan dengan kaca atau
daun mempelas. Gasing yang boleh dibentuk dengan kaedah ini adalah jenis kecil
seperti gasing telur, jantung, berembang atau peyek. Untuk gasing yang jenisnya
besar, kaedah ini kurang sesuai digunakan.
Kaedah yang sering digunakan oleh
orang Melayu ialah melarik sebiji gasing. Gasing yang jenis besar dan lebih
moden selalu menggunakan cara ini. Cara ini juga sesuai untuk gasing yang
diperbuat daripada kayu jenis keras, kuat dan liat. Setelah kayu dibakal, paksi
akan dipasangkan pada kedudukan kayu bakal yang paling pendek. Memasang paksi
dilakukan dengan mengapit kayu pada apit dan menebuk lubang dengan gerudi.
Pelarik elektrik.
Pelarik elektrik.
Berdasarkan takadun manusia, tidak
dapat dinafikan bahawa mesin pelarik merupakan mesin yang tertua yang pernah
dicipta. Kebolehan manusia akhirnya dapat mempelbagai jenis kerja yang akan
dilakukan daripada membulatkan benda hinggalah kepada meratakannya. Mesin ini pula terdapat dalam berbagai-bagai saiz.
Ada saiz berkemampuan memutar kelajuan dan ayunan terbesar. Pelarik elektrik
mampu melakukan kerja yang lebih rumit, keras serta kuat dan tidak hanya
tertakluk kepada melarik kayu, malah batu dan logam juga boleh dilarik.
Gambarajah di bawah menunjukkan pelarik elektrik :
Kaedah
bermain gasing dahulu dan sekarang tidak mempunyai perbezaannya. Dalam
permainan gasing semua pemain mesti mempunyai kemahiran memusing, memangkah,
mengangkat dan menegak uri. Untuk mencapai kemahiran ini, mereka perlu
mempelajarinya secara sistematik. Kemahiran mengangkat gasing merupakan perkara
yang paling penting untuk memastikan hayat uri gasing tahan lebih lama. Bukan
semua gasing boleh diangkat dengan menggunakan kaedah yang sama, tetapi
keperluan memanjangkan hayat urinya adalah penting.
Bentuk gasing yang unik dan saiz
yang berbeza, secara umum menggambarkan betapa kemahiran yang berlainan
diperlukan. Semua gasing mempunyai keistimewaan yang tersendiri, jadi kemahiran
mengendalikan gasing akan menentukan keunggulan permainan gasing. Namun
ciri-ciri permainan gasing tetap sama, iaitu memusing, memangkah dan membela
uri. Hanya yang berlainan mungkin bilangan pemain, saiz gasing, bentuk
gelanggang dan peraturan yang diamalkan oleh pemain.
Pada masa dahulu, permainan gasing dimainkan
oleh semua peringkat masyarakat tanpa mengira pangkat dan kedudukan. Mereka
bermain gasing apabila mempunyai masa lapang dan ketika cuaca baik, terutamanya
selepas bekerja waktu petang. Bagi kanak-kanak pila, mereka bermain gasing pada
waktu petang sementara tiba waktu mengaji. Pada hari-hari kelepasan pula,
gasing dijadikan sebahagian daripada pertandingan terbuka yang disertai oleh
ramai peminat. Peraturan ketika itu terhad kepada peraturan untuk sesuatu
pertandingan dan digubal di kalangan ketua-ketua kampong sahaja.
Pada masa dahulu, bilangan pemain
bagi sesuatu pertandingan gasing tidak tetap dan sistem permainan juga mengikut
bilangan pemain. Jika hanya berdua, mereka berlawan ligat dan jika
terdapat empat orang pemain, mereka
bermain sistem raja.
Melilit
atau mengikat tali
Terdapat
berbagai-bagai cara untuk mengikat tali. Tali gasing terlebih dahulu diikat
pada sebatang pokok dan hujung tali yang satu lagi akan diikat pada kepala
gasing. Getah kecupu akan dilumur pada tali supaya ia lebih melekat pada
lilitan gasing. Semasa mengikat ia perlu dilakukan dengan berhati-hati dan kuat
supaya ikatan menjadi kemas. Tali akan diikat pada gasing sehingga habis. Tali
yang diikat pada pokok itu kemudiannya ditanggalkan secara perlahan-lahan dan
diikat pada lengan tangan sambil memegang gasing.
Terdapat dua cara untuk melilit tali
iaitu dengan cara melilit di lengan tangan atau di jari kelingking. Kedua-dua
kaedah ini penting sebelum memulakan permainan. Tali yang diikat perlulah kemas
dan tidak terlalu panjang kerana ia akan
menghasilkan pusingan gasing yang lama. Tali yang pertama dipakai dengan
memasukkan pergelangan tali ke dalam lengan tangan iaitu hujung tali yang
diikat secara membulat akan menjadi penyimpul hidup. Ini penting bagi pemain
kerana apabila ditarik, ia tidak mudah terurai. Pusingan tali pada lengan
bergantung kepada keselesaan pemain.
Kaedah yang kedua pula dilakukan
dengan membuat lilitan di jari kelingking pemain iaitu tidak kira sama ada
sebelah kanan atau kiri. Cecincin pada hujung tali akan dimasukkan pada jari
kelingking oleh pemain dan tali tadi akan dililit pada tapak tangan. Biasanya
cara ini banyak dilakukan oleh mereka yang sudah berusia kerana dengan cara ini
tali akan menjadi lebih panjang dan mempunyai cengkaman yang lebih kuat pada
gasing. Untuk menghayunkan gasing, gasing akan diangkat tinggi dan sebelah kaki
diangkat ke belakang untuk mendapatkan tenaga yang lebih kemudian barulah
gasing dilepaskan. Kelajuan putaran gasing dapat ditentukan melalui ikatan yang
kemas, tenaga yang digunakan, ketepatan paksi dan cara hayunan. Jika tidak,
putaran gasing akan bergoyang dan tidak stabil.
Melilit
Gasing
Terdapat dua cara untuk melilit
gasing yang biasa diamalkan. Iaitu menekan tali gasing pada leher gasing dahulu
kemudian barulah dililit di sekeliling gasing. Cara lain adalah seperti yang
dilakukan oleh seseorang permainan gasing tradisional iaitu melilit gasing
dengan mengikat pada lengan dan lilitan ini akan menjadi lebih kemas bagi
menghasilkan pusingan yang lama. Semua tali yang dililit hendaklah dipastikan
bahu, labu dan pataknya berada dalam keadaan yang betul dan jika labu tidak
rata, maka kerja meratakan labu perlu dilakukan dengan mengikir dan menggosok
dengan kertas kaca. Bagi menghasilkan cengkaman yang kuat, seseorang pemain
gasing akan menyapu kanji di bahagian bahu gasing.
Untuk melilit gasing, gasing
mestilah dipegang dengan tangan kiri dan tangan kanan bersedia untuk melilit.
Ibu jari kiri digunakan untuk menekan rambu pada gasing. Lilitan pada gasing
adalah melawan arah pusingan jam dan tali hendaklah dipastikan ketat dan kuat.
Lilitan kedua dan ketiga hendaklah dilakukan seperti lilitan pertama. Pastikan
ia sentiasa mencecah ke bahu gasing untuk mendapatkan lilitan yang kemas, padat
dan sejat. Semasa melilit, pastikan yang tali tidak bertindih dan jika ia
berlaku, gasing akan borot dan membahayakan orang lain.
Jenis-jenis Gasing.
Permaianan gasing ini memang
terkenal di kalangan golongan dewasa tapi terdapat juga gasing yang lebih kecil
dan ringan yang dimainkan oleh kanak-kanak. Gasing kanak-kanak ada dua jenis
iaitu gasing Melayu dan satu lagi bentuk yang dipanggil gasing Cina. Ia
berbentuk seperti telur, besar di bahagian atasnya serta tirus di bahagian
bawahnya. Di bahagian bawah inilah dipasang paku untuk gasing tersebut
berpusing. Pada umumnya kanak-kanak suka bermain dengan gasing gasing Cina.
Bagi golongan kanak-kanak, selain daripada dua jenis gasing ini, terdapat satu
lagi jenis gasing yang dimainkan oleh mereka yang diperbuat daripada buah
pinang atau buku benang. Buah pinang atau buku benang yang telah dibentuk khas,
dicucukkan sebatang kayu bulat yang agak panjang di atasnya tetapi sedikit
pendek di bahagian bawahnya. Pangkal kayu di bahagian bawah itu dijadikan
bontot gasing dan ia ditajamkan sedikit untuk menjadi tempat gasing itu
berpusing. Gasing ini dipusing dengan menggunakan tali dan sebatang kayu atau
buluh panjang yang telah ditipiskan.
Kanak-kanak ini bermain gasing
dengan mengadakan kumpulan gasing masing-masing dan antaranya sering mengadakan
perlawanan sesama mereka. Oleh kerana permainan gasing ini merupakan permainan
yang digemari oleh kanak-kanak, maka pada masa dahulu gasing banyak dijual di
kedai-kedai dan jenis gasing yang dijual ialah gasing Cina.
Selain
itu, permainan gasing ini juga mempunyai berbagai-bagai jenis antaranya ialah :
• Gasing Jantung
• Gasing Piring
• Gasing Kelamar
• Gasing Telur
• Gasing Berembang
• Gasing Kepala Duri
Jenis-jenis
gasing inilah yang sering dimainkan oleh orang dewasa sahaja. Manakala gasing
Melayu dan Cina pula dimainkan oleh kanak-kanak. Gasing yang dimainkan oleh
orang dewasa agak leper dan besar. Gasing ini memerlukan tenaga yang kuat untuk
melilit tali ataupun melempar gasing. Lemparan yang lemah akan menjadikan
gasing berpusing dengan perlahan dan tidak lama.
Selain
itu, terdapat juga kini berbagai-bagai jenis gasing yang biasanya dapat dilihat
dinegeri Pantai Timur kerana di sanalah aktiviti permainan gasing ini begitu
popular. Antara yang dapat diketahui jenis gasing ini ialah :
a) Gasing
Uri
Gasing
Uri ini berbentuk rendah dan agak leper serta mempunyai berat 6kg, lilitannya
pula sepanjang 60cm serta mempunyai ketinggian setinggi 8cm. gasing ini amat
popular di negeri Kelantan juga. Badan asas bagi gasing ini adalah kecil dan
dililit dengan simpai. Gasing ini disimpai dengan menggunakan timah, besi atau
plumbum. Jika simpai ini diperbuat daripada timah, ia digunakan untuk memusing
dan jika simpainya diperbuat daripada besi maka ia digunakan untuk memangkah.
Gasing ini berbentuk kecil namun ia berat.
b) Gasing
Baba
Gasing
jenis ini biasanya berbentuk tinggi dan seperti telur. Ia mempunyai berat lebih
kurang 0.6kg, lilitannya pula sepanjang 38cm dan mempunyai ketinggian setinggi
20cm. gasing yang beridentitikan wang seringgit ini juga merupakan jenis gasing
yang digunakan dan dimainkan oleh kaum Baba. Gasing ini banyak terdapat di
Kelantan, Pahang, Perlis, Negeri Sembilan dan Selangor. Pada asasnya gasing ini
berbentuk telur.
c) Gasing
Kuno
Gasing
jenis ini biasanya dapat dilihat dalam bentuk yang sederhana dan berembang.
Gasing ini mempunyai berat 0.6kg, mempunyai lilitan sepanjang 30cm serta
mempunyai ketinggian 8cm. gasing ini merupakan reka bentuk lama yang diperbaiki
pembuatannya daripada bentuk asalnya yang seperti buah berembang. Biasanya ia
hanya digunakan untuk proses memangkah dan diperbuat daripada kayu merbau, ru,
meranti dan keranji.
d) Gasing
Jantung
Gasing
ini berbentuk jantung dan mempunyai berat 0.25kg serta mempunyai ukur lilit sepanjang
20cm serta mempunyai ketinggian setinggi 12cm.
Gasing jenis ini biasanya terdapat di negeri Kelantan, Kedah, Pahang,
Perak, Negeri Sembilan dan Sarawak. Terdapat juga sesetengah pemain yang
menggelarkan gasing ini sebagai gasing lundu. Jenis kayu yang digunakan untuk
membuat gasing ini yang akan membezakan negeri asal gasing tersebut. Seperti di
Pahang, gasing diperbuat dengan menggunakan kayu melawis dan mengaris.
Cara pembuatan gasing.
Pada zaman dahulu, pembuatan gasing
adalah dibuat secara tradisional dan secara manual. Kaedah ini biasanya
mengambil masa yang panjang dan lama. Hanya orang yang mahir sahaja mampu
menyiapkannya dalam masa yang begitu singkat dan berkualiti. Lazimnya bagi
pembuat gasing yang membuat gasing secara tradisional akan mengambil masa
selama dua hari untuk menyiapkan sesebuah gasing yang menarik.
Bagaimanapun, perubahan keadaan
waktu dan zaman telah mengubah cara pembuatan gasing. Peralatan moden
diperkenalkan dan hasilnya dalam proses membuat gasing kini ia mampu menghasilkan
beberapa buah gasing dalam masa satu hari dan mutu gasing yang dihasilkan pula
jauh lebih baik daripada hasil membuat gasing secara tradisional.
Terdapat beberapa perkara yang perly
diambil perhatian dalam cara pembuatan sesebuah gasing iaitu :
I. Pemilihan kayu
II. Memasukkan paksi
III. Melarik
IV. Memasang timah
V. Menggilap
VI. Menyediakan tali
Gelanggang Gasing.
Sejak mula dikenali hinggalah
sekarang, gasing telah mengalami berbagai-bagai perubahan yang menyeluruh.
Kalau dahulu gelanggang gasing sekadar kawasan lapang di halaman rumah atau di
bawah pokok, tetapi sebagai langkah yang lebih kemas dan teratur,gelanggang
sekarang telah diberikan ukuran dan saiz yang tertentu. Bahan binaannya juga
teratur dan kemas bagi mengelak mendapan atau air bertakung. Selain menyediakan
gelanggang dengan bahan yang baik dan seragam, langkah pengawasannya juga
dikenakan. Semua proses pembinaan, pemilihan bahan, pemadatan dan pemeliharaan
kelembapan juga dititikberatkan.
Permainan gasing merupakan permainan
yang tidak memerlukan peralatan yang rumit dan mahal. Peralatan ini boleh
disediakan sendiri tanpa melibatkan perbelanjaan yang besar. Gelanggang gasing
adalah tanah dan biasanya sekadar di halaman rumah sahaja. Ini kerana halaman
rumah orang Melayu tradisional biasanya luas, rata, tidak berumput atau ditanam
dengan pokok-pokok. Selain itu ia juga dijaga dengan rapi dan
kedudukan-kedudukan yang menghadap jalan akan mudah menarik orang ramai lalu
lalang. Sifat gelanggang yang terdedah ini akan dapat melembapkannya terutama
apabila hari hujan dan dikeringkan apabila hari panas.
Gelanggang Moden.
Gelanggang gasing moden biasanya
tidak mempunyai ukuran yang tertentu. Ukuran yang khas juga tidak jelas, yang
ada hanyalah ukuran umum sahaja. Bagi gelanggang moden ia mempunyai ukuran yang
khas dan menetapkan sebuah bangunan untuk menutup gelanggang daripada hujan dan
panas. Gelanggang tertutup ini akan dijaga dari segi kelembapan dan kekeringan.
Untuk mengembangkan sukan gasing
secara lebih terbuka dan meluas, satu bentuk gelanggang telah dibentuk.
Gelanggang ini berbentuk empat segi sama dan berukuran 8m x 8m. ukuran ini
adalah ukuran yang telah dipersetujui oleh Persatuan Gasing Malaysia dan
Kementerian Belia dan Sukan. Pada masa kini terdapat beberapa gelanggang khas.
Bentuk Gelanggang Moden
Tapak gelanggang ini diperbuat
daripada tanah keras, rata, tidak berumput dan terbuka luas. Gelanggang ini
berbentuk segi empat sama yang berukuran 8m x 8m. panjang keempat-empat
gelanggang penjuru ini adalah sama.
Membuat Tapak Uri
Selain memiliki gasing yang ligat,
pemain yang cekap dan gelanggang yang baik, pemain juga harus menyediakan tapak
uri yang khas. Tapak uri ini ialah permukaan tanah yang dipadatkan, diketuk
supaya keras dan dititiskan dengan minyak secara licin. Antara minyak yang
selalu digunakan ialah minyak zaitun atau minyak kelapa. Jadi apabila semua
gasing selesai dipangkah gasing yang masih hidup akan diangkat dan dialihkan ke
tapak uri.
Langkah Memusing.
Terdapat berbagai-bagai gaya dalam
memusing gasing, sama ada gasing tradisional atau gasing moden. Memusing
mengikut cara yang betul akan menghasilkan pusingan yang tegak, kuat, ligat dan
tetap. Untuk menghasilkan pusingan seperti ini, langkah yang disusun hendaklah
mengikut cara yang betul supaya gasing tidak jatuh mengiring, meleret atau
borot. Pastikan supaya ia tidak disentap kerana sentapan yang kuat mungkin akan
mencederakan kaki pemain atau penonton.
Umumnya terdapat dua jenis pusingan
yang biasa diamalkan, iaitu pusingan sorong tarik dan pusingan sentap. Pusingan
sorong tarik hanya sebagai pusingan tektikal dan pusingan sentap pula merupakan
pusingan gasing berpusing tegak, ligat dan kuat. Yang membezakan pusingan ini
ialah gaya dan bentuk pusingan gasing iu serta fungsi pusingannya.
1)
Pusing
Sorong Tarik
Gasing hendaklah dipegang secara
mengiring dan dihayun ke belakang. Serentak dengan itu, mata mestilah tertumpu kea rah sasaran di hadapan.
Kedudukan gasing hendaklah sentiasa mengiring semasa gerakan ini. Semasa menghayun,
gasing mestilah dalam kedudukan mengiring sehingga gasing tiba dihadapan,
barulah gasing ditegakkan sebelum dilepaskan. Kedudukan badan mestilah rendah
dan kaki berada tidak jauh dari sasaran yang hendak dipusingkan. Hayunan tangan
pemain hendaklah mengikut hayunan gasing dan badan membongkok. Pusingan gaya
ini agak rendah dan dekat, tetapi kedudukannya tepat. Walaupun ini merupakan
pusingan tektikal, tetapi untuk melakukannya pemain memerlukan kemahiran,
kecekapan dan tahap ketepatan yang tinggi dari segi masa, sasaran dan jangkaan
terhadap pihak lawan.
2)
Pusing
Sentap
Gaya
pusingan ini menghasilkan pusingan yang tegak, ligat dan kuat. Pemain memegang
gasing dengan kedudukan tegak, iaitu kepala gasing menghala keatas dan diangkat
tinggi. Kedudukan tangan kira-kira 30 darjah dari paras lengan. Tangan dihayun
kearah sasaran dengan kedudukan gasing tegak sehinggalah tiba ke hadapan,
sebelum dilepaskan. Setelah gasing tercacak ke bumi, sedikit sentapan dikenakan
dan pastikan ia berada dalam keadaan yang tegak. Jika tidak, gasing akan meliuk
dan pusingannya akan menjadi kurang ligat.
1)
Pusingan
Lemper
Pusingan ini agak mudah untuk
dipelajari. Kedudukan gasing hanya pada paras dada dan dalam keadaan tegak.
Semasa melemparkan, gasing tidak perlu disentap, sekadar mencecah ke bumi.
Pusingan yang dihasilkan adalah ligat dan tegak tetapi tidaklah seligat dan
sekuat pusingan sentap. Cara pusingan ini selalunya untuk merapatkan gasing
atau menutup ruang menarik gasing dari tepi ke tengah. Gaya seperti ini banyak
dilihat dalam permainan gasing talar, gasing leper dan gasing piring.
Memangkah Gasing.
Memangkah adalah salah satu gerakan
penting dalam permainan gasing. Tumpuan, perhatian dan hayunan hendaklah tepat
mengenai sasaran sipaya gasing akan menghasilkan uri yang ligat, tegak dan
kuat. Langkah pangkahan hendaklah dilakukan dengan betul agar tidak
membahayakan pemangkah sendiri. Umpamanya terdapat empat gaya pemangkah yang
biasa dimainkan oleh pemain dalam apa jua pertandingan iaitu pangkah totok,
pangkah hentak, pangkah layang dan pangkah terbang. Kesan pangkah ini adalah
berlainan kerana ia bergantung kepada kekuatan dan sasaran yang berlainan.
Pemangkah harus lebih berhati-hati ketika menjangkakan sasaran yang akan
dihalakan untuk mengelakkan daripada mendapat kecederaan. Penonton dan pengadil
juga patut peka kepada gaya pangkahan seseorang pemain.
Jenis pemangkahan yang digunakan
adalah mengikut keperluan dan kesesuaian dalam regu. Bukan semua pemangkah
sesuai melakukan pemangkahan yang sama. Pemangkah pertama biasanya hanya
memipil, manakala pemain ketiga dan tekong berfungsi sebagai pembuat uri. Jika
tekong gagal membuat uri, kemungkinan pasukan-pasukan mengalami kekalahan
adalah jelas. Kemahiran memangkah bukan sekadar mengenai sasaran sahaja, tetapi
memerlukan juga kecekapan menghala kearah gasing lawan dan dapat membuat uri
seperti yang diperlukan.
Selain empat bentuk pangkahan tadi,
terdapat juga pangkahan bentuk lain yang terbit daripada pengalaman. Umumnya
sasaran pangkahan adalah mengikut jenis pangkahan seperti pangkah layang dan
pangkah hentak tertumpu pada bahu dan kepala gasing.
1)
Pangkah
Tokok.
Pangkahan yang dilakukan dari jarak
dekat dan pemain perlu membongkokkan badan. Kemudian gasing mestilah di atas
bahu dan siku, selaras pula dengan bahu pemangkah. Sasarannya pula ialah pada
bahagian labu, kepala atau bahu gasing. Pangkahan ini bertujuan untuk
menghalakan gasing lawan keluar dari gelanggang. Jika mrnggunakan gasing yang
amat berat, pangkahan jenis ini kurang sesuai. Gasing yang berbentuk tinggi
adalah sesuai dengan jenis pangkahan ini.
2)
Pangkah
Hentak
Untuk melakukan pangkah hentak,
badan pemangkah mestilah tegak. Tangan pula diletakkan tegak atas kepala dengan
memegang gasing secara tegak. Gasing dihayun tegak serta kuat kearah sasaran.
Hayunan ini akan dilepaskan kesisi kiri atau kanan pemangkah. Sasarannya ialah
pada kepala, labu atau bahu gasing. Jika tepat mengenai sasaran, kesannya amat
ketara kerana ia boleh memecahkan gasing lawan. Sebab itulah dalam latihan
biasa pemangkah ini tidak digalakkan. Jenis gasing yang sesuai untuk melakukan
pangkah hentak ialah gasing berembang dan gasing leper. Pangkahan ini bertujuan
mematikan dan merosakkan gasing lawan.
3)
Pangkah
Layang
Kedudukan tubuh pemangkah mestilah
tegak. Tangan pula hendaklah tegak di atas kepala dengan memegang gasing secara
tegak. Gasing dihayunkan ke arah sasaran dengan kuat, cepat dan kencang.
Hayunan ini terus ke sisi kanan bagi pemain kidal dank e sisi iri bagi pemain
tangan kanan. Kesan pangkahan ini amat ketara seperti terdapatnya gurisan,
kepada gasing tertanggal dan yang paling teruk ialah gasing terbelah. Pangkahan
ini selalunya menghasilkan pusingan yang ligat dan terus keluar dari sasaran
selepas memangkah. Bahayanya pangkahan ini ialah jika digunakan untuk memangkah
gasing pemain kidal kerana ia boleh merosakkan gasing pemangkah itu sendiri.
Pangkahan jenis ini bukan bertujuan merosakkan, tetapi sekadar mengenai sasaran
dan menghasilkan uri yang baik. Sasaran pangkahan jenis ini ialah bahagian
bahu, labu, kepala atau tengkuk gasing.
4)
Pangkah
Tebang
Pangkahan ini bertujuan mengeluarkan
gasing lawan jauh dari sasaran dan ia juga merupakan pangkahan jarak jauh.
Untuk menghasilkan pangkahan yang kuat, kedudukan pangkah mestilah tegak.
Gasing pemangkah akan mengenai labu gasing lawan serentak dengan paksinya
mencecah ke bumi. Ini sering menyebabkan salah faham dikalangan pengadil dan
penonton. Gasing yang paling sesuai untuk tujuan ini ialah gasing lipat kajang,
gasing tanjung kerana sifatnya yang berat dan pepat.
Permainan Gasing.
Pada keseluruhannya, permainan
gasing di seluruh Negara adalah sama iaitu bermula dengan berlawan uri untuk
menentukan pemusing dan pemangkah memusing, memangkah, mengangkat uri dan
membela uri. Yang membezakan ialah cara memulakan dan pengiraan dalam permainan
itu. Kebanyakan permainan gasing bermula dengan berlawan ligat untuk menentukan
pihak pemusing dan pihak pemangkah.
Setelah pemusing dan pemangkah
ditentukan, pemusing akan memusingkan gasingnya dalam satu gelanggang dengan
rapat. Setelah pusingan dibuat, pemangkah akan memangkah gasing satu persatu.
Seorang pemangkah akan hanya memangkah sebiji gasing yang belum dipangkah. Jika
memangkah lebih daripada satu gasing dinamakan ‘rambang’ dan jika memangkah
gasing yang telah dipangkah pula dikatakan ‘debus’. Jika kedua-dua ini
dilakukan, pasukan itu dikenakan tukar pusing.
Hanya permainan gasing kanak-kanak
sahaja yang tidak menetapkan peraturan. Gasing yang telah dipusingkan boleh
dipangkah sesuka hati, tidak mengira gasing itu telah dipangkah atau belum.
Permainan ini mempunyai persamaan dengan cara permainan gasing paku.
Bermain
I.
Pemusing memusing keempat-empat biji
gasing kedalam bulatan dan kemudian pemangkah akan memangkah gasing-gasing itu.
II.
Jika pemangkah menang, ia mendapat mata
dan memangkah lagi. Jika pemusing menang, maka ‘tukar pusing’. Jika seri, pemangkah akan memangkah lagi.
III.
Jika pemangkah ‘batal’, maka ‘tukar
pusing’.
Pemberian mata kepada pemangkah
I.
Pemangkah diberi 2 mata jika menang uri,
1 mata jika regu pemusing ‘faul’, dan dalam kedua-dua hal pemangkah memangkah
terus.
II.
Mata tidak diberi jika gasing pemangkah
dan gasing pemusing tidak beruri atau ‘seri uri’.
Memusing
I.
Memusing gasing setelah pengadil membunyikan
wisel.
II.
Memusing gasing dari tepi bulatan.
III.
Pemusing tidak boleh memijak, melangkah
atau mengangkat kaki di atas garisan semasa memusing gasing.
IV.
Keempat-empat biji gasing hendaklah
dipusing dalam bulatan dalam masa 10 minit.
Memangkah
I.
Pemangkah dikehendaki memangkah dari
dalam salah satu lorong pemangkah.
II.
Boleh memangkah mana-mana gasing dalam
bulatan yang belum dipangkah.
Uri
I.
Uri gasing boleh dibela dalam gelanggang
dengan menggunakan tali gasing.
II.
Bela uri dibenarkan selepas
keempat-empat gasing dipangkah.
III.
Setelah gasing diletakkan di tapak uri,
pemain-pemain dikehendaki keluar dari gelanggang permainan. Hanya seorang
pemain bagi tiap-tiap pasukan dibenarkan masuk kedalam gelanggang semula untuk
membela uri gasing. Setelah selesai ianya dikehendaki keluar dari gelanggang
permainan.
IV.
Uri
hidup ialah uri yang sah iaitu :
a) Gasing pemusing berada dalam bulatan
sebelum dipangkah.
b) Gasing pemusing berada di dalam
gelanggang pemain setelah dipangkah.
c) Gasing
yang dipusing itu tercicah di luar bulatan dan serta merta tertarik ke dalam
bulatan dengan pusingan itu juga, maka gasing itu dikira dalam bulatan.
d) Gasing pemangkah berada di dalam
gelanggang permainan setelah memangkah.
e) Gasing
‘uri hidup’ bergerak dan dengan tidak sengaja kena pada anggota pemain pasukan
lawan.
V.
Uri
mati
ialah uri yang tidak sah iaitu :
a) Gasing
pemusing berada di luar bulatan sebelum dipangkah.
b) Gasing
pemusing atau gasing pemangkah keluar dari gelanggang permainan.
c) Uri
yang dibela sebelum keempat-empat gasing dipangkah.
d) Uri
yang dibela dengan benda selain daripada tali gasing.
e) Uri
gasing yang kena pada anggota pemain pasukannya.
f) Uri
gasing tidak dialih setelah diarahkan oleh pengadil.
Kesimpulan
Permainan gasing bukanlah suatu
permainan yang asing bagi kebanyakan penduduk di Negara ini, khususnya dari
rantau Asia umumnya. Mewujudkan sistem permainan yang baru adalah sebagai satu
langkah menyatukan permainan gasing agar dapat diterima oleh semua golongan dan
lapisan masyarakat. Diharapkan suatu ketika nanti permainan ini dapat
diketengahkan dengan lebih meluas dan menyeluruh. Pada masa yang sama kita juga
mahu permainan yang dimiliki oleh negeri dan daerah ini dipelajari, dihayati
dan dikekelkan keseniaannya agar ia tidak terus dilupakan.
Sistem permainan antara negeri berbeza bukan sahaja
dari segi cara dan gaya pengadilan tetapi juga latihan dan pengurusan. Yang
nyata ialah daerah mempunyai cara yang tersendiri yang telah diwarisi sejak
zaman-berzaman. Gaya permainan tradisional perlulah dikekalkan untuk dijadikan
sebagai pertunjukan dan pertandingan. Untuk tujuan pertandingan, sistem
pengadilan mestilah diikuti.
Sebagai langkah menyeragamkan corak
permainan gasing pula, satu sukatan pelajaran yang khusus telah dirangkakan
untuk bakal jurulatih yang akan membantu mengajarkan permainan ini di kalangan
generasi muda. Aspek sejarah, perkembangan, reka bentuk dan teknologi gasing
juga mendapat perhatian dalam sukatan tersebut. Semoga dengan ini nanti akan
menjadikan gasing lebih sistematik dan diterima umum sebagai satu sukan tanah air
lagi.
Oleh itu, usaha yang sihat dan
meluas harus dijalankan kepada seluruh masyarakat agar sesuatu jenis sukan
tidak hanya tertumpu pada golongan tertentu sahaja. Semangat kesukanan harus
dihayati dan diamalkan bersama supaya menjadi penghubung kea rah perpaduan.
Permainan gasing bukan sekadar ingin
dijadikan sukan dalam pertunjukan atau pengisi masa lapang sahaja, malah
hendaklah dimainkan secara terbuka dan meluas. Sukan tradisional kini bukan
bersifat seni malah mampu memberi saingan kepada sukan-sukan lain. Sebagai
sukan yang telah diamalkan turun-temurun ia boleh dimainkan oleh semua
peringkat masyarakat.
Thank you for a very informative write-up.
ReplyDeletethank you for the information :)
ReplyDelete