Saturday 30 March 2013

Gasing


Pendahuluan.    
            Dewasa kini, masyarakat Melayu memang terkenal dengan hasil kreativiti dalam membuat sesuatu tidak kira sama ada dari sudut masakan ataupun dari sudut kraf tangan. Sejak dulu lagi, masyarakat Melayu sudah didedahkan dengan corak kehidupan bekerjasama dan saling membantu di antara satu sama lain. Hal ini bertujuan supaya mereka dapat memupuk nilai-nilai murni dalam jiwa masing-masing. Sekali gus dapat menolong mengelakkan sikap yang tidak baik di antara masyarakat.
            Mungkin sudah menjadi alat atau tradisi masyarakat Melayu apabila selesai sahaja melakukan sesuatu sama ada bekerja ataupun mendapat sesuatu hasil yang menguntungkan, akan diadakan suatu pesta atau perayaan untuk meraikan sesuatu kejayaan atau kemenangan. Hal ini bertujuan untuk mengucapkan syukur kepada Tuhan seterusnya dapat menaikkan semangat seseorang individu untuk menyimpan azam agar berjaya dalam segala bidang yang diceburi.
            Di kala itu, banyak acara yang akan diadakan untuk menggambarkan perasaan gembira yang tidak terhingga atas hasil yang diperolehi ataupun keuntungan yang diraih. Corak kehidupan sebegini yang menerbitkan semangat kejiranan dan setia kawan yang tinggi dalam kalangan masyarakat Melayu. Ikatan yang terjalin akan membuahkan suatu perasaan kasih sayang antara satu sama lain.
            Khazanah yang diwarisi daripada nenek moyang oleh masyarakat Melayu telah menerbitkan satu semangat bekerjasama dan setia kawan antara masyarakat Melayu. Unsur seni dan permainan adalah asas bagi kehidupan manusia di dunia dan tidak memungkinkan kedua-duanya dapat dipisahkan daripada kehidupan masyarakat. Masyarakat Melayu tidak ketinggalan dalam soal ini dan mereka telah mengisi masa lapang mereka dengan pelbagai kegiatan yang berfaedah setelah penat dalam mencari rezeki untuk menyara kehidupan.
            Salah satu aktiviti yang dilakukan dapat menghiburkan hati mereka serta untuk menghilangkan kepenatan ialah mereka bermain satu permainan yang masih kita boleh lihat warisannya hingga ke hari ini iaitu bermain gasing. Gasing bukan sahaja menjadi permainan dalam kalangan dewasa sahaja malah ia turut dimainkan oleh golongan kanak-kanak. Mereka bermain gasing untuk menghilangkan kepenatan serta cuba beradu kekuatan,kemahiran, kecekapan, kepantasan dan juga mewujudkan kerjasama berpasukan. Gasing sememangnya diketahui umum merupakan salah satu permainan tradisional yang masih dimainkan dan dikekalkan sehingga hari ini.
            Permainan gasing ini sukar diperoleh dipasaran lalu mereka berusaha mencipta peralatan itu sendiri dengan berbekalkan daya kreativiti, kesungguhan dan idea, mereka mencipta gasing sebagai alat hiburan daripada saki baki kayu yang mereka tebang atau lebihan membuat rumah. Kemahiran ini semakin hari semakin di perkemaskan berdasarkan penglihatan, pengalaman, dan persahabatan yang membolehkan mereka bertukar-tukar fikiran. Turut diperkemaskan lagi ialah dalam soal pengendalian alat permainan ini untuk ditunjukkan kepada tetamu  dan dijadikan hadiah kepada anak-anak mereka. Selain itu, mereka dapat berbincang tentang gaya pembuatan, bermain, jenis kayu yang baik dan memproseskan kayu.
            Dengan adanya gelanggang yang ringkas dan kemudahan untuk mendapatkan bahan membuat gasing, menjadikannya pilihan utama anak muda zaman itu untuk bermain gasing. Permainan gasing bagi orang melayu mengukur tahap kemahiran dan kepantasan seseorang dalam menghadapi sesuatu situasi ketepatan dan kepekaan seseorang amat penting untuk dipupuk supaya sentiasa menghadapi sebarang suasana. Kemahiran dan kebolehan diamalkan secara sistematik dalam gelanggang gasing. Seorang tekong perlu pantas bertindak jika mahu memperoleh kemenangan bagi pasukan mereka.
            Selain itu, permainan gasing harus dimainkan oleh generasi muda sekarang sebagai langkah mengekalkan daya kreativiti bangsa melayu mencipta permainan berasaskan serpihan kayu. Pemulihan permainan ini diharapkan dapat memaparkan kepada umum tentang warisan bahasa Melayu yang telah dilupakan agar terus berkekalan.
                                                                                         
Nilai Seni Dalam Permainan Gasing Tradisional
            Dalam permainan gasing tradisional, gerakan badan ketika menghayun gasing akan memberikan susunan paduan tubuh pemain secara menyeluruh. Susunan yang kemas serta menyerupai gerak silat akan menembahkan lagi kekuatan dan semangat pemain dengan bersendikan semangat, mereka juga akan dapat meningkatkan mutu permainan. Gasing yang dicipta berdasarkan buah-buahan tempatan melambangkan betapa pekanya orang Melayu kepada persekitaran. Kemahiran yang datang daripada pengalaman akan memberikan identity peribadi untuk gasing yang hamper serupa menunjukkan hubungan yang rapat antara tukang-tukang gasing tersebut.
            Ini secara umum memberikan jawapan mengapa wujudnya perbezaan permainan gasing disetiap daerah, negeri dan negara. Perbezaan yang sering terdapat ialah dari segi reka bentuk, bahan buatan, hiasan, proses persediaan awal, pembuatan dan peralatan tambahan. Perbezaan inilah yang memberikan kita nilai seni dan identiti antara kaum dan keturunan. Sebagai contoh. Gasing yang dimainkan oleh pemain keturunan Jawa mempunyai perbezaan yang sungguh ketara apatah lagi juka dibandingkan dengan gasing Minang, Mendaling atau Kelantan. Jika dalam sesuatu daerah terdapat pemain berbangsa India dan Cina tentulah lebih banyak perbezaan dan nilai seni yang akan kita temui.
            Permainan gasing mempunyai nilai seni dari segi bentuknya yang unik dan pelbagai. Tukang yang mahir bukan sahaja menghasilkan gasing yang cantik, tetapi juga mengukirkan hiasan bahagian tertentu pada gasing. Kemahiran tukang gasing ialah kebolehannya mengadunkan antara kemahiran, idea, kehidupan dan perasaan. Tukang gasing juga hanya menggunakan peralatan yang telah sedia ada seperti peraut, penggarik, pahat, parang, pisau dan pelarik.
            Peralatan yang mereka gunakan semuanya terdapat disekitar kawasan rumah mereka. Untuk melicinkan permukaan gasing, mereka menggunakan pasir, kaca atau daun mempelas yang terkenal kasar tetapi tidak beracun. Untuk memusingkannya pula mereka menggunakan tali yang dibuat daripada kulit terap, pandan sabut dan apa juga jenis tumbuhan yang menghasilkan jerami. Tali ini dianyam, dipintal dan disaring supaya tegang, kemas, dan kuat. Tali hasil pintalan ini ternyata kukuh, kuat dan tahan lama.
Gasing Pemangkah.
            Gasing pemangkah adalah gasing yang digunakan khas untuk memangkah. Fungsi gasing dalam masa permainan ialah memangkah gasing lawan, memipil dan menghasilkan uri yang ligat, kuat dan tegak. Bentuk gasing pemangkah adalah tinggi, pataknya agak membulat dan bahunya melengkung atau cembung. Gasingnya juga berat untuk menghasilkan momentum yang kuat dan mampat. Antara jenis-jenis gasing tradisional yang digunakan untuk memangkah ialah gasing lang laut, gasing bakal boya, gasing tunjang, gasing botol dan gasing tempayan.
Gasing Pemusing.
            Gasing pemusing merupakan gasing yang merupakan gasing yang digunakan hanya untuk memusing, berlawan ligat dan mengekalkan pusingan. Bentuknya rendah dan agak leper, pataknya meruncing, bahagian bahunya rata atau melengkung dan paksinya membulat atau rata. Untuk dijadikan gasing pemusing ia mestilah dibuat daripada kayu, jenis berat, liat dan kuat. Antara jenis kayu yang sesuai dibuat gasing ialah kayu kempas, cengal, mengaris, penaga, keranji, meranti dan merbau. Oleh sebab gasing dipangkah maka binaannya hendaklah kukuh serta mempunyai perlindungan dibahagian kepala, bahu, labu dan patak. Bahagian bahunya dipasang simpai dan dibahagian kepala pula dipasang dengan besi sebagai pelindung. Gasing tradisional yang sesuai digunakan untuk memusing ialah gasing peyek, gasing piring, gasing berembang dan gasing leper. Gambarajah di bawah menunjukkan gambar gasing:
       
Peralatan Membuat Gasing.
            Tukang gasing Melayu tradisional tidak menggunakan alat yang terlalu rencam, mahal atau besar tetapi peralatannya biasa dan mudah ditemui di kebanyakan kedai dan dimiliko oleh tukang kayu. Peralatan yang digunakan adalah seperti parang, penggarik, kikir, apit, pemutar skru, berus kikir, pahat, mesin pelarik, kertas pasir dan lain-lain lagi. Semua alat ini penting bagi menyediakan gasing daripada peringkat awal hinggalah kepada mengimbang gasing.
            Pembuatan gasing dari awal hingga akhir sentiasa menekankan keseimbangan dan keseragaman. Untuk menghasilkan ciri-ciri penting ini, mesin pelarik digunakan. Selain itu, terdapat pelbagai model mesin pelarik melayu tradisional yang telah direka bagi memudahkan kerja melarik. Daripada yang paling ringkas hinggalah kepada yang dikendalikan oleh elektrik atau disel. Gambarajah menunjukkan peralatan membuat gasing :
          
 Membakal Kayu
            Membakal ialah proses menyediakan kayu daripada kayu tongkol kepada bentuk kubus dan menarahkannya kepada bentuk empat segi. Proses ini dilakukan sebelum kerja memasang paksi dan melarik. Bentuk empat segi ialah bentuk asas gasing secara kasar dan bentuk ini belum lagi menampakkan ciri kepala, bahu, patak dan paksi. Tapi, bentuk gasing dari segi labu dan bakal kedudukan kepala serta paksi adalah jelas.
            Setongkol kayu tidak boleh terus dilarik untuk dibuat gasing kerana saiznya tidak seragam. Untuk memudahkan kerja melarik, kayu ini hendaklah ditarah supaya menjadi bulat dibahagian atas dan bawahnya. Kayu ini juga mestilah diteliti supaya tidak berlubang, retak atau merekah.  Kayu yang digunakan untuk membuat gasing tidak semestinya daripada satu bahagian sahaja tetapi ia boleh digunakan dari perdu hinggalah ke bahagian dahan. Bahagian yang paling sesuai ialah dibahagian banir, batang dan cabang pokok. Dengan memilih bahagian ini, kerja mengimbang tidak banyak dilakukan. Hanya yang perlu ialah larikan sekata dan licin. Bahagian ini juga sukar dipecahkan apabila dipangkah. Menambah berat tidak perlu dilakukan jika kayu yang digunakan daripada jenis keras seperti kayu bakau dan cengal.
            Membakal kayu juga memberikan kesan kepada gasing yang akan dihasilkan. Tukang gasing harus dapat melarik dengan baik dan menjangkakan kedudukan gasing yang akan dibuangkan. Membakal kayu boleh dilakukan selari atau melintangi urat kayu. Bagi kayu jenis keras, melarik dan membakal boleh dilakukan selari dengan urat kayu, tetapi kayu jenis lembut ia akan menjadikan gasing mudah pecah apabila dipangkah. Kayu yang keras tetapi rapuh juga kurang sesuai dibuat gasing dengan mengikut urat selari kerana ia akan menyebabkan kayu mudah terbelah.
            Membakal kayu melintangi urat adalah paling sesuai untuk semua jenis kayu tidak kira kayu lembut atau kayu keras. Kayu yang dipotong melintangi urat kayu sukar retak atau rempil. Hal ini kerana binaan kayu ini cukup kukuh dan teguh. Cuma kerja yang sebegini agak sukar jika dilakukan dengan tangan. Jika kayu itu kecil dan hanya sesuai untuk dijadikan satu gasing, terpaksalah digunakan mengikut urat kayu dan kita akan menghadapi masalah dalam ‘empulur’, sama ada terlalu lembut atau terlalu keras. Cara ini boleh dilakukan jika kayu itu tidak berlubang ditengahnya. Kayu yang sesuai dan boleh dilakukan begini ialah seperti kayu kopi, leban, bakau, jaring dan limau. Kayu penaga juga boleh dilakukan sebegini tetapi kayu ini mudah retak atau merekah. Gambarajah 3.0 di bawah menunjukkan cara membakal kayu.

Melarik.
Melarik ialah kerja yang terpenting dalam proses membuat gasing. Ia merupakan kerja membulatkan, meratakan, menyamakan dan melicinkan permukaan gasing. Secara umum bolehlah dikatakan melarik ialah kerja memutarkan kayu dengan tetap supaya bahagian kayu itu boleh diguris dengan sekata, sama dan licin bagi menghasilkan bentuk yang seragam dan bulat.
            Dua kaedah yang digunakan untuk melarik iaitu melarik kayu panjang untuk membentuk dua atau lebih gasing atau membentuk gasing dalam satu masa. Kedua-dua kaedah ini berbeza antara satu dengan yang lain serta mempunyai kelemahan dan kebaikan yang tersendiri. Di Pahang, tukang gasing melarik sebiji gasing sahaja.
            Pelarik adalah alat yang telah lama dicipta oleh manusia. Alat ini digunakan secara meluas sejak dahulu dan telah mengalami beberapa perubahan yang nyata. Dengan menggunakan pelarik, ia akan dapat membentuk objek menjadi bulat, licin dan cantik. Memandangkan kegunaan yang tidak terhad ini, orang Melayu terus memperbaiki dan mengubahsuai fungsi, reka bentuk dan tenaga kendalian mesin pelarik ini.
            Melarik dengan kaedah ini memerlukan kecekapan dan kepantasan. Kayu yang digunakan adalah daripada jenis kayu panjang kerana kayu ini lebih mudah dibentuk bulat dengan hanya sedikit tarahan sahaja. Pelarit akan membulatkan kayu persegi dan seterunya pengarit boleh digunakan untuk menandakan kedudukan kepala, tubuh dan bahagian patak gasing. Setelah ditarah, barulah kerja memasangkan bindu dilakukan dengan mengapitnya pada mesin pelarik.
            Sedikit minyak diletakkan pada bindu untuk mengelakkan kayu daripada melekat. Setelah diapit kemas, kayu boleh dilicinkan dengan menggunakan pahat  kuku. Setelah semua kerja melicin dan membulatkan selesai, barulah ditanda kedudukan kepala, tubuh dan sebagainya. Pahat pemepat boleh digunakan untuk membentuk badan gasing. Ketika melarik kayu hendaklah diletakkan menegak, tetap dan kukuh supaya tidak tercampak keluar.
            Semua peralatan melarik hendaklah dipastikan tajam dan tidak cacat seperti sumbing, retak atau terlalu ketat. Setelah semua kerja selesai barulah bahagian kepala dan patak dipotong. Paksi pula akan dipasangkan kemudian dan kerja melicin dilakukan dengan kaca atau daun mempelas. Gasing yang boleh dibentuk dengan kaedah ini adalah jenis kecil seperti gasing telur, jantung, berembang atau peyek. Untuk gasing yang jenisnya besar, kaedah ini kurang sesuai digunakan.
            Kaedah yang sering digunakan oleh orang Melayu ialah melarik sebiji gasing. Gasing yang jenis besar dan lebih moden selalu menggunakan cara ini. Cara ini juga sesuai untuk gasing yang diperbuat daripada kayu jenis keras, kuat dan liat. Setelah kayu dibakal, paksi akan dipasangkan pada kedudukan kayu bakal yang paling pendek. Memasang paksi dilakukan dengan mengapit kayu pada apit dan menebuk lubang dengan gerudi. 

Pelarik elektrik.
            Berdasarkan takadun manusia, tidak dapat dinafikan bahawa mesin pelarik merupakan mesin yang tertua yang pernah dicipta. Kebolehan manusia akhirnya dapat mempelbagai jenis kerja yang akan dilakukan daripada membulatkan benda hinggalah kepada meratakannya. Mesin  ini pula terdapat dalam berbagai-bagai saiz. Ada saiz berkemampuan memutar kelajuan dan ayunan terbesar. Pelarik elektrik mampu melakukan kerja yang lebih rumit, keras serta kuat dan tidak hanya tertakluk kepada melarik kayu, malah batu dan logam juga boleh dilarik. Gambarajah di bawah menunjukkan pelarik elektrik :

 Cara Bermain Gasing
            Kaedah bermain gasing dahulu dan sekarang tidak mempunyai perbezaannya. Dalam permainan gasing semua pemain mesti mempunyai kemahiran memusing, memangkah, mengangkat dan menegak uri. Untuk mencapai kemahiran ini, mereka perlu mempelajarinya secara sistematik. Kemahiran mengangkat gasing merupakan perkara yang paling penting untuk memastikan hayat uri gasing tahan lebih lama. Bukan semua gasing boleh diangkat dengan menggunakan kaedah yang sama, tetapi keperluan memanjangkan hayat urinya adalah penting.
            Bentuk gasing yang unik dan saiz yang berbeza, secara umum menggambarkan betapa kemahiran yang berlainan diperlukan. Semua gasing mempunyai keistimewaan yang tersendiri, jadi kemahiran mengendalikan gasing akan menentukan keunggulan permainan gasing. Namun ciri-ciri permainan gasing tetap sama, iaitu memusing, memangkah dan membela uri. Hanya yang berlainan mungkin bilangan pemain, saiz gasing, bentuk gelanggang dan peraturan yang diamalkan oleh pemain.
            Pada masa dahulu, permainan gasing dimainkan oleh semua peringkat masyarakat tanpa mengira pangkat dan kedudukan. Mereka bermain gasing apabila mempunyai masa lapang dan ketika cuaca baik, terutamanya selepas bekerja waktu petang. Bagi kanak-kanak pila, mereka bermain gasing pada waktu petang sementara tiba waktu mengaji. Pada hari-hari kelepasan pula, gasing dijadikan sebahagian daripada pertandingan terbuka yang disertai oleh ramai peminat. Peraturan ketika itu terhad kepada peraturan untuk sesuatu pertandingan dan digubal di kalangan ketua-ketua kampong sahaja.
            Pada masa dahulu, bilangan pemain bagi sesuatu pertandingan gasing tidak tetap dan sistem permainan juga mengikut bilangan pemain. Jika hanya berdua, mereka berlawan ligat dan jika terdapat  empat orang pemain, mereka bermain sistem raja.
Melilit atau mengikat tali
Terdapat berbagai-bagai cara untuk mengikat tali. Tali gasing terlebih dahulu diikat pada sebatang pokok dan hujung tali yang satu lagi akan diikat pada kepala gasing. Getah kecupu akan dilumur pada tali supaya ia lebih melekat pada lilitan gasing. Semasa mengikat ia perlu dilakukan dengan berhati-hati dan kuat supaya ikatan menjadi kemas. Tali akan diikat pada gasing sehingga habis. Tali yang diikat pada pokok itu kemudiannya ditanggalkan secara perlahan-lahan dan diikat pada lengan tangan sambil memegang gasing.
            Terdapat dua cara untuk melilit tali iaitu dengan cara melilit di lengan tangan atau di jari kelingking. Kedua-dua kaedah ini penting sebelum memulakan permainan. Tali yang diikat perlulah kemas dan tidak terlalu panjang kerana ia  akan menghasilkan pusingan gasing yang lama. Tali yang pertama dipakai dengan memasukkan pergelangan tali ke dalam lengan tangan iaitu hujung tali yang diikat secara membulat akan menjadi penyimpul hidup. Ini penting bagi pemain kerana apabila ditarik, ia tidak mudah terurai. Pusingan tali pada lengan bergantung kepada keselesaan pemain.
            Kaedah yang kedua pula dilakukan dengan membuat lilitan di jari kelingking pemain iaitu tidak kira sama ada sebelah kanan atau kiri. Cecincin pada hujung tali akan dimasukkan pada jari kelingking oleh pemain dan tali tadi akan dililit pada tapak tangan. Biasanya cara ini banyak dilakukan oleh mereka yang sudah berusia kerana dengan cara ini tali akan menjadi lebih panjang dan mempunyai cengkaman yang lebih kuat pada gasing. Untuk menghayunkan gasing, gasing akan diangkat tinggi dan sebelah kaki diangkat ke belakang untuk mendapatkan tenaga yang lebih kemudian barulah gasing dilepaskan. Kelajuan putaran gasing dapat ditentukan melalui ikatan yang kemas, tenaga yang digunakan, ketepatan paksi dan cara hayunan. Jika tidak, putaran gasing akan bergoyang dan tidak stabil.
Melilit Gasing
            Terdapat dua cara untuk melilit gasing yang biasa diamalkan. Iaitu menekan tali gasing pada leher gasing dahulu kemudian barulah dililit di sekeliling gasing. Cara lain adalah seperti yang dilakukan oleh seseorang permainan gasing tradisional iaitu melilit gasing dengan mengikat pada lengan dan lilitan ini akan menjadi lebih kemas bagi menghasilkan pusingan yang lama. Semua tali yang dililit hendaklah dipastikan bahu, labu dan pataknya berada dalam keadaan yang betul dan jika labu tidak rata, maka kerja meratakan labu perlu dilakukan dengan mengikir dan menggosok dengan kertas kaca. Bagi menghasilkan cengkaman yang kuat, seseorang pemain gasing akan menyapu kanji di bahagian bahu gasing.
            Untuk melilit gasing, gasing mestilah dipegang dengan tangan kiri dan tangan kanan bersedia untuk melilit. Ibu jari kiri digunakan untuk menekan rambu pada gasing. Lilitan pada gasing adalah melawan arah pusingan jam dan tali hendaklah dipastikan ketat dan kuat. Lilitan kedua dan ketiga hendaklah dilakukan seperti lilitan pertama. Pastikan ia sentiasa mencecah ke bahu gasing untuk mendapatkan lilitan yang kemas, padat dan sejat. Semasa melilit, pastikan yang tali tidak bertindih dan jika ia berlaku, gasing akan borot dan membahayakan orang lain.
Jenis-jenis Gasing.
            Permaianan gasing ini memang terkenal di kalangan golongan dewasa tapi terdapat juga gasing yang lebih kecil dan ringan yang dimainkan oleh kanak-kanak. Gasing kanak-kanak ada dua jenis iaitu gasing Melayu dan satu lagi bentuk yang dipanggil gasing Cina. Ia berbentuk seperti telur, besar di bahagian atasnya serta tirus di bahagian bawahnya. Di bahagian bawah inilah dipasang paku untuk gasing tersebut berpusing. Pada umumnya kanak-kanak suka bermain dengan gasing gasing Cina. Bagi golongan kanak-kanak, selain daripada dua jenis gasing ini, terdapat satu lagi jenis gasing yang dimainkan oleh mereka yang diperbuat daripada buah pinang atau buku benang. Buah pinang atau buku benang yang telah dibentuk khas, dicucukkan sebatang kayu bulat yang agak panjang di atasnya tetapi sedikit pendek di bahagian bawahnya. Pangkal kayu di bahagian bawah itu dijadikan bontot gasing dan ia ditajamkan sedikit untuk menjadi tempat gasing itu berpusing. Gasing ini dipusing dengan menggunakan tali dan sebatang kayu atau buluh panjang yang telah ditipiskan.
            Kanak-kanak ini bermain gasing dengan mengadakan kumpulan gasing masing-masing dan antaranya sering mengadakan perlawanan sesama mereka. Oleh kerana permainan gasing ini merupakan permainan yang digemari oleh kanak-kanak, maka pada masa dahulu gasing banyak dijual di kedai-kedai dan jenis gasing yang dijual ialah gasing Cina.

Selain itu, permainan gasing ini juga mempunyai berbagai-bagai jenis antaranya ialah :
•           Gasing Jantung
•           Gasing Piring
•           Gasing Kelamar
•           Gasing Telur
•           Gasing Berembang
•           Gasing Kepala Duri
Jenis-jenis gasing inilah yang sering dimainkan oleh orang dewasa sahaja. Manakala gasing Melayu dan Cina pula dimainkan oleh kanak-kanak. Gasing yang dimainkan oleh orang dewasa agak leper dan besar. Gasing ini memerlukan tenaga yang kuat untuk melilit tali ataupun melempar gasing. Lemparan yang lemah akan menjadikan gasing berpusing dengan perlahan dan tidak lama.
Selain itu, terdapat juga kini berbagai-bagai jenis gasing yang biasanya dapat dilihat dinegeri Pantai Timur kerana di sanalah aktiviti permainan gasing ini begitu popular. Antara yang dapat diketahui jenis gasing ini ialah :
a)         Gasing Uri
Gasing Uri ini berbentuk rendah dan agak leper serta mempunyai berat 6kg, lilitannya pula sepanjang 60cm serta mempunyai ketinggian setinggi 8cm. gasing ini amat popular di negeri Kelantan juga. Badan asas bagi gasing ini adalah kecil dan dililit dengan simpai. Gasing ini disimpai dengan menggunakan timah, besi atau plumbum. Jika simpai ini diperbuat daripada timah, ia digunakan untuk memusing dan jika simpainya diperbuat daripada besi maka ia digunakan untuk memangkah. Gasing ini berbentuk kecil namun ia berat.
b)         Gasing Baba
Gasing jenis ini biasanya berbentuk tinggi dan seperti telur. Ia mempunyai berat lebih kurang 0.6kg, lilitannya pula sepanjang 38cm dan mempunyai ketinggian setinggi 20cm. gasing yang beridentitikan wang seringgit ini juga merupakan jenis gasing yang digunakan dan dimainkan oleh kaum Baba. Gasing ini banyak terdapat di Kelantan, Pahang, Perlis, Negeri Sembilan dan Selangor. Pada asasnya gasing ini berbentuk telur.
c)         Gasing Kuno    
Gasing jenis ini biasanya dapat dilihat dalam bentuk yang sederhana dan berembang. Gasing ini mempunyai berat 0.6kg, mempunyai lilitan sepanjang 30cm serta mempunyai ketinggian 8cm. gasing ini merupakan reka bentuk lama yang diperbaiki pembuatannya daripada bentuk asalnya yang seperti buah berembang. Biasanya ia hanya digunakan untuk proses memangkah dan diperbuat daripada kayu merbau, ru, meranti dan keranji.
d)         Gasing Jantung
Gasing ini berbentuk jantung dan mempunyai berat 0.25kg serta mempunyai ukur lilit sepanjang 20cm serta mempunyai ketinggian setinggi 12cm.  Gasing jenis ini biasanya terdapat di negeri Kelantan, Kedah, Pahang, Perak, Negeri Sembilan dan Sarawak. Terdapat juga sesetengah pemain yang menggelarkan gasing ini sebagai gasing lundu. Jenis kayu yang digunakan untuk membuat gasing ini yang akan membezakan negeri asal gasing tersebut. Seperti di Pahang, gasing diperbuat dengan menggunakan kayu melawis dan mengaris.
Cara pembuatan gasing.
            Pada zaman dahulu, pembuatan gasing adalah dibuat secara tradisional dan secara manual. Kaedah ini biasanya mengambil masa yang panjang dan lama. Hanya orang yang mahir sahaja mampu menyiapkannya dalam masa yang begitu singkat dan berkualiti. Lazimnya bagi pembuat gasing yang membuat gasing secara tradisional akan mengambil masa selama dua hari untuk menyiapkan sesebuah gasing yang menarik.
            Bagaimanapun, perubahan keadaan waktu dan zaman telah mengubah cara pembuatan gasing. Peralatan moden diperkenalkan dan hasilnya dalam proses membuat gasing kini ia mampu menghasilkan beberapa buah gasing dalam masa satu hari dan mutu gasing yang dihasilkan pula jauh lebih baik daripada hasil membuat gasing secara tradisional.
            Terdapat beberapa perkara yang perly diambil perhatian dalam cara pembuatan sesebuah gasing iaitu :
I.          Pemilihan kayu
II.        Memasukkan paksi
III.       Melarik
IV.       Memasang timah
V.        Menggilap
VI.       Menyediakan tali

Gelanggang Gasing.
            Sejak mula dikenali hinggalah sekarang, gasing telah mengalami berbagai-bagai perubahan yang menyeluruh. Kalau dahulu gelanggang gasing sekadar kawasan lapang di halaman rumah atau di bawah pokok, tetapi sebagai langkah yang lebih kemas dan teratur,gelanggang sekarang telah diberikan ukuran dan saiz yang tertentu. Bahan binaannya juga teratur dan kemas bagi mengelak mendapan atau air bertakung. Selain menyediakan gelanggang dengan bahan yang baik dan seragam, langkah pengawasannya juga dikenakan. Semua proses pembinaan, pemilihan bahan, pemadatan dan pemeliharaan kelembapan juga dititikberatkan.
            Permainan gasing merupakan permainan yang tidak memerlukan peralatan yang rumit dan mahal. Peralatan ini boleh disediakan sendiri tanpa melibatkan perbelanjaan yang besar. Gelanggang gasing adalah tanah dan biasanya sekadar di halaman rumah sahaja. Ini kerana halaman rumah orang Melayu tradisional biasanya luas, rata, tidak berumput atau ditanam dengan pokok-pokok. Selain itu ia juga dijaga dengan rapi dan kedudukan-kedudukan yang menghadap jalan akan mudah menarik orang ramai lalu lalang. Sifat gelanggang yang terdedah ini akan dapat melembapkannya terutama apabila hari hujan dan dikeringkan apabila hari panas.
Gelanggang Moden.
            Gelanggang gasing moden biasanya tidak mempunyai ukuran yang tertentu. Ukuran yang khas juga tidak jelas, yang ada hanyalah ukuran umum sahaja. Bagi gelanggang moden ia mempunyai ukuran yang khas dan menetapkan sebuah bangunan untuk menutup gelanggang daripada hujan dan panas. Gelanggang tertutup ini akan dijaga dari segi kelembapan dan kekeringan.
            Untuk mengembangkan sukan gasing secara lebih terbuka dan meluas, satu bentuk gelanggang telah dibentuk. Gelanggang ini berbentuk empat segi sama dan berukuran 8m x 8m. ukuran ini adalah ukuran yang telah dipersetujui oleh Persatuan Gasing Malaysia dan Kementerian Belia dan Sukan. Pada masa kini terdapat beberapa gelanggang khas.
Bentuk Gelanggang Moden
            Tapak gelanggang ini diperbuat daripada tanah keras, rata, tidak berumput dan terbuka luas. Gelanggang ini berbentuk segi empat sama yang berukuran 8m x 8m. panjang keempat-empat gelanggang penjuru ini adalah sama.
Membuat Tapak Uri
            Selain memiliki gasing yang ligat, pemain yang cekap dan gelanggang yang baik, pemain juga harus menyediakan tapak uri yang khas. Tapak uri ini ialah permukaan tanah yang dipadatkan, diketuk supaya keras dan dititiskan dengan minyak secara licin. Antara minyak yang selalu digunakan ialah minyak zaitun atau minyak kelapa. Jadi apabila semua gasing selesai dipangkah gasing yang masih hidup akan diangkat dan dialihkan ke tapak uri.
Langkah Memusing.
            Terdapat berbagai-bagai gaya dalam memusing gasing, sama ada gasing tradisional atau gasing moden. Memusing mengikut cara yang betul akan menghasilkan pusingan yang tegak, kuat, ligat dan tetap. Untuk menghasilkan pusingan seperti ini, langkah yang disusun hendaklah mengikut cara yang betul supaya gasing tidak jatuh mengiring, meleret atau borot. Pastikan supaya ia tidak disentap kerana sentapan yang kuat mungkin akan mencederakan kaki pemain atau penonton.
            Umumnya terdapat dua jenis pusingan yang biasa diamalkan, iaitu pusingan sorong tarik dan pusingan sentap. Pusingan sorong tarik hanya sebagai pusingan tektikal dan pusingan sentap pula merupakan pusingan gasing berpusing tegak, ligat dan kuat. Yang membezakan pusingan ini ialah gaya dan bentuk pusingan gasing iu serta fungsi pusingannya.
1)      Pusing Sorong Tarik
            Gasing hendaklah dipegang secara mengiring dan dihayun ke belakang. Serentak dengan itu, mata  mestilah tertumpu kea rah sasaran di hadapan. Kedudukan gasing hendaklah sentiasa mengiring semasa gerakan ini. Semasa menghayun, gasing mestilah dalam kedudukan mengiring sehingga gasing tiba dihadapan, barulah gasing ditegakkan sebelum dilepaskan. Kedudukan badan mestilah rendah dan kaki berada tidak jauh dari sasaran yang hendak dipusingkan. Hayunan tangan pemain hendaklah mengikut hayunan gasing dan badan membongkok. Pusingan gaya ini agak rendah dan dekat, tetapi kedudukannya tepat. Walaupun ini merupakan pusingan tektikal, tetapi untuk melakukannya pemain memerlukan kemahiran, kecekapan dan tahap ketepatan yang tinggi dari segi masa, sasaran dan jangkaan terhadap pihak lawan.
2)      Pusing Sentap
Gaya pusingan ini menghasilkan pusingan yang tegak, ligat dan kuat. Pemain memegang gasing dengan kedudukan tegak, iaitu kepala gasing menghala keatas dan diangkat tinggi. Kedudukan tangan kira-kira 30 darjah dari paras lengan. Tangan dihayun kearah sasaran dengan kedudukan gasing tegak sehinggalah tiba ke hadapan, sebelum dilepaskan. Setelah gasing tercacak ke bumi, sedikit sentapan dikenakan dan pastikan ia berada dalam keadaan yang tegak. Jika tidak, gasing akan meliuk dan pusingannya akan menjadi kurang ligat.

1)      Pusingan Lemper
            Pusingan ini agak mudah untuk dipelajari. Kedudukan gasing hanya pada paras dada dan dalam keadaan tegak. Semasa melemparkan, gasing tidak perlu disentap, sekadar mencecah ke bumi. Pusingan yang dihasilkan adalah ligat dan tegak tetapi tidaklah seligat dan sekuat pusingan sentap. Cara pusingan ini selalunya untuk merapatkan gasing atau menutup ruang menarik gasing dari tepi ke tengah. Gaya seperti ini banyak dilihat dalam permainan gasing talar, gasing leper dan gasing piring.         
Memangkah Gasing.
            Memangkah adalah salah satu gerakan penting dalam permainan gasing. Tumpuan, perhatian dan hayunan hendaklah tepat mengenai sasaran sipaya gasing akan menghasilkan uri yang ligat, tegak dan kuat. Langkah pangkahan hendaklah dilakukan dengan betul agar tidak membahayakan pemangkah sendiri. Umpamanya terdapat empat gaya pemangkah yang biasa dimainkan oleh pemain dalam apa jua pertandingan iaitu pangkah totok, pangkah hentak, pangkah layang dan pangkah terbang. Kesan pangkah ini adalah berlainan kerana ia bergantung kepada kekuatan dan sasaran yang berlainan. Pemangkah harus lebih berhati-hati ketika menjangkakan sasaran yang akan dihalakan untuk mengelakkan daripada mendapat kecederaan. Penonton dan pengadil juga patut peka kepada gaya pangkahan seseorang pemain.
            Jenis pemangkahan yang digunakan adalah mengikut keperluan dan kesesuaian dalam regu. Bukan semua pemangkah sesuai melakukan pemangkahan yang sama. Pemangkah pertama biasanya hanya memipil, manakala pemain ketiga dan tekong berfungsi sebagai pembuat uri. Jika tekong gagal membuat uri, kemungkinan pasukan-pasukan mengalami kekalahan adalah jelas. Kemahiran memangkah bukan sekadar mengenai sasaran sahaja, tetapi memerlukan juga kecekapan menghala kearah gasing lawan dan dapat membuat uri seperti yang diperlukan.
            Selain empat bentuk pangkahan tadi, terdapat juga pangkahan bentuk lain yang terbit daripada pengalaman. Umumnya sasaran pangkahan adalah mengikut jenis pangkahan seperti pangkah layang dan pangkah hentak tertumpu pada bahu dan kepala gasing.
1)      Pangkah Tokok.
            Pangkahan yang dilakukan dari jarak dekat dan pemain perlu membongkokkan badan. Kemudian gasing mestilah di atas bahu dan siku, selaras pula dengan bahu pemangkah. Sasarannya pula ialah pada bahagian labu, kepala atau bahu gasing. Pangkahan ini bertujuan untuk menghalakan gasing lawan keluar dari gelanggang. Jika mrnggunakan gasing yang amat berat, pangkahan jenis ini kurang sesuai. Gasing yang berbentuk tinggi adalah sesuai dengan jenis pangkahan ini.
2)      Pangkah Hentak
            Untuk melakukan pangkah hentak, badan pemangkah mestilah tegak. Tangan pula diletakkan tegak atas kepala dengan memegang gasing secara tegak. Gasing dihayun tegak serta kuat kearah sasaran. Hayunan ini akan dilepaskan kesisi kiri atau kanan pemangkah. Sasarannya ialah pada kepala, labu atau bahu gasing. Jika tepat mengenai sasaran, kesannya amat ketara kerana ia boleh memecahkan gasing lawan. Sebab itulah dalam latihan biasa pemangkah ini tidak digalakkan. Jenis gasing yang sesuai untuk melakukan pangkah hentak ialah gasing berembang dan gasing leper. Pangkahan ini bertujuan mematikan dan merosakkan gasing lawan.

3)      Pangkah Layang
            Kedudukan tubuh pemangkah mestilah tegak. Tangan pula hendaklah tegak di atas kepala dengan memegang gasing secara tegak. Gasing dihayunkan ke arah sasaran dengan kuat, cepat dan kencang. Hayunan ini terus ke sisi kanan bagi pemain kidal dank e sisi iri bagi pemain tangan kanan. Kesan pangkahan ini amat ketara seperti terdapatnya gurisan, kepada gasing tertanggal dan yang paling teruk ialah gasing terbelah. Pangkahan ini selalunya menghasilkan pusingan yang ligat dan terus keluar dari sasaran selepas memangkah. Bahayanya pangkahan ini ialah jika digunakan untuk memangkah gasing pemain kidal kerana ia boleh merosakkan gasing pemangkah itu sendiri. Pangkahan jenis ini bukan bertujuan merosakkan, tetapi sekadar mengenai sasaran dan menghasilkan uri yang baik. Sasaran pangkahan jenis ini ialah bahagian bahu, labu, kepala atau tengkuk gasing.
4)      Pangkah Tebang
            Pangkahan ini bertujuan mengeluarkan gasing lawan jauh dari sasaran dan ia juga merupakan pangkahan jarak jauh. Untuk menghasilkan pangkahan yang kuat, kedudukan pangkah mestilah tegak. Gasing pemangkah akan mengenai labu gasing lawan serentak dengan paksinya mencecah ke bumi. Ini sering menyebabkan salah faham dikalangan pengadil dan penonton. Gasing yang paling sesuai untuk tujuan ini ialah gasing lipat kajang, gasing tanjung kerana sifatnya yang berat dan pepat.
Permainan Gasing.
            Pada keseluruhannya, permainan gasing di seluruh Negara adalah sama iaitu bermula dengan berlawan uri untuk menentukan pemusing dan pemangkah memusing, memangkah, mengangkat uri dan membela uri. Yang membezakan ialah cara memulakan dan pengiraan dalam permainan itu. Kebanyakan permainan gasing bermula dengan berlawan ligat untuk menentukan pihak pemusing dan pihak pemangkah.
            Setelah pemusing dan pemangkah ditentukan, pemusing akan memusingkan gasingnya dalam satu gelanggang dengan rapat. Setelah pusingan dibuat, pemangkah akan memangkah gasing satu persatu. Seorang pemangkah akan hanya memangkah sebiji gasing yang belum dipangkah. Jika memangkah lebih daripada satu gasing dinamakan ‘rambang’ dan jika memangkah gasing yang telah dipangkah pula dikatakan ‘debus’. Jika kedua-dua ini dilakukan, pasukan itu dikenakan tukar pusing.
            Hanya permainan gasing kanak-kanak sahaja yang tidak menetapkan peraturan. Gasing yang telah dipusingkan boleh dipangkah sesuka hati, tidak mengira gasing itu telah dipangkah atau belum. Permainan ini mempunyai persamaan dengan cara permainan gasing paku.
Bermain
       I.            Pemusing memusing keempat-empat biji gasing kedalam bulatan dan kemudian pemangkah akan memangkah gasing-gasing itu.
    II.            Jika pemangkah menang, ia mendapat mata dan memangkah lagi. Jika pemusing menang, maka ‘tukar pusing’.  Jika seri, pemangkah akan memangkah lagi.
 III.            Jika pemangkah ‘batal’, maka ‘tukar pusing’.
Pemberian mata kepada pemangkah
          I.            Pemangkah diberi 2 mata jika menang uri, 1 mata jika regu pemusing ‘faul’, dan dalam kedua-dua hal pemangkah memangkah terus.
       II.            Mata tidak diberi jika gasing pemangkah dan gasing pemusing tidak beruri atau ‘seri uri’.
Memusing
       I.            Memusing gasing setelah pengadil membunyikan wisel.
    II.            Memusing gasing dari tepi bulatan.
 III.            Pemusing tidak boleh memijak, melangkah atau mengangkat kaki di atas garisan semasa memusing gasing.
 IV.            Keempat-empat biji gasing hendaklah dipusing dalam bulatan dalam masa 10 minit.
Memangkah
       I.            Pemangkah dikehendaki memangkah dari dalam salah satu lorong pemangkah.
    II.            Boleh memangkah mana-mana gasing dalam bulatan yang belum dipangkah.
Uri
       I.            Uri gasing boleh dibela dalam gelanggang dengan menggunakan tali gasing.
    II.            Bela uri dibenarkan selepas keempat-empat gasing dipangkah.
 III.            Setelah gasing diletakkan di tapak uri, pemain-pemain dikehendaki keluar dari gelanggang permainan. Hanya seorang pemain bagi tiap-tiap pasukan dibenarkan masuk kedalam gelanggang semula untuk membela uri gasing. Setelah selesai ianya dikehendaki keluar dari gelanggang permainan.
 IV.            Uri hidup ialah uri yang sah iaitu :
a)         Gasing pemusing berada dalam bulatan sebelum dipangkah.
b)         Gasing pemusing berada di dalam gelanggang pemain setelah dipangkah.
c)         Gasing yang dipusing itu tercicah di luar bulatan dan serta merta tertarik ke dalam bulatan dengan pusingan itu juga, maka gasing itu dikira dalam bulatan.
d)         Gasing pemangkah berada di dalam gelanggang permainan setelah memangkah.
e)         Gasing ‘uri hidup’ bergerak dan dengan tidak sengaja kena pada anggota pemain pasukan lawan.
    V.            Uri mati ialah uri yang tidak sah iaitu :
a)      Gasing pemusing berada di luar bulatan sebelum dipangkah.
b)      Gasing pemusing atau gasing pemangkah keluar dari gelanggang permainan.
c)      Uri yang dibela sebelum keempat-empat gasing dipangkah.
d)     Uri yang dibela dengan benda selain daripada tali gasing.
e)      Uri gasing yang kena pada anggota pemain pasukannya.
f)       Uri gasing tidak dialih setelah diarahkan oleh pengadil.

Kesimpulan
            Permainan gasing bukanlah suatu permainan yang asing bagi kebanyakan penduduk di Negara ini, khususnya dari rantau Asia umumnya. Mewujudkan sistem permainan yang baru adalah sebagai satu langkah menyatukan permainan gasing agar dapat diterima oleh semua golongan dan lapisan masyarakat. Diharapkan suatu ketika nanti permainan ini dapat diketengahkan dengan lebih meluas dan menyeluruh. Pada masa yang sama kita juga mahu permainan yang dimiliki oleh negeri dan daerah ini dipelajari, dihayati dan dikekelkan keseniaannya agar ia tidak terus dilupakan.
            Sistem  permainan antara negeri berbeza bukan sahaja dari segi cara dan gaya pengadilan tetapi juga latihan dan pengurusan. Yang nyata ialah daerah mempunyai cara yang tersendiri yang telah diwarisi sejak zaman-berzaman. Gaya permainan tradisional perlulah dikekalkan untuk dijadikan sebagai pertunjukan dan pertandingan. Untuk tujuan pertandingan, sistem pengadilan mestilah diikuti.
            Sebagai langkah menyeragamkan corak permainan gasing pula, satu sukatan pelajaran yang khusus telah dirangkakan untuk bakal jurulatih yang akan membantu mengajarkan permainan ini di kalangan generasi muda. Aspek sejarah, perkembangan, reka bentuk dan teknologi gasing juga mendapat perhatian dalam sukatan tersebut. Semoga dengan ini nanti akan menjadikan gasing lebih sistematik dan diterima umum sebagai satu sukan tanah air lagi.
            Oleh itu, usaha yang sihat dan meluas harus dijalankan kepada seluruh masyarakat agar sesuatu jenis sukan tidak hanya tertumpu pada golongan tertentu sahaja. Semangat kesukanan harus dihayati dan diamalkan bersama supaya menjadi penghubung kea rah perpaduan.
            Permainan gasing bukan sekadar ingin dijadikan sukan dalam pertunjukan atau pengisi masa lapang sahaja, malah hendaklah dimainkan secara terbuka dan meluas. Sukan tradisional kini bukan bersifat seni malah mampu memberi saingan kepada sukan-sukan lain. Sebagai sukan yang telah diamalkan turun-temurun ia boleh dimainkan oleh semua peringkat masyarakat.
                                   










2 comments: